Berdasarkan kajian, wanita menyifatkan kebahagiaan hidup berkeluarga
sebagai satu kejayaan di samping kerjaya stabil. Masa bersama keluarga,
terutama anak menjadi keutamaan ibu. Justeru, ramai wanita
mempertimbangkan peluang untuk bekerja di rumah dan pada masa sama dapat
memainkan peranan sebagai ibu sepenuh masa.
Sememangnya, inilah yang sentiasa bermain di minda wanita bekerja iaitu memiliki pendapatan sendiri, tetapi tidak perlu mengorbankan terlalu banyak masa untuk bersama anak dan keluarga.
Bagaimanapun, apakah konsep bekerja di rumah yang semakin popular sejak
sedekad lalu ini cukup ideal untuk semua wanita? Bekerja di rumah
memang kedengarannya amat menarik dan mudah sekali. Maklum saja, anda adalah
bos kepada diri sendiri!
Persoalannya, apakah semua wanita mampu melakukan dua tugas dalam satu
masa? Hakikatnya bekerja di rumah bukanlah satu tugas mudah. Bijak menguruskan
masa adalah faktor utama apabila bekerja di rumah.
Anda juga perlu mempunyai disiplin tinggi dan tidak berkompromi dalam
memisahkan waktu bekerja dengan menguruskan keluarga.
Begitu pun, tiada maknanya jika hanya diri anda saja berada di rumah,
tetapi asyik sibuk bekerja hingga tiada masa untuk bersama anak, sedangkan
matlamat sebenar untuk mempunyai masa bersama si kecil.
Apa yang penting, seseorang itu perlu memasuki bidang yang selari dengan
minat dan kemahiran masing-masing. Kalau boleh berbincanglah dengan suami dan
keluarga.
Sokongan mereka penting kerana corak kerja anda yang kini sudah berbeza dengan dulu. Anak juga perlu faham bila anda sedang membuat kerja dan bila anda berperanan sebagai ibu.
Sokongan mereka penting kerana corak kerja anda yang kini sudah berbeza dengan dulu. Anak juga perlu faham bila anda sedang membuat kerja dan bila anda berperanan sebagai ibu.
Anda perlu bersikap adil terhadap anak dengan membahagikan masa bekerja
dengan lebih bijak. Misalnya, anda boleh mula bekerja apabila anak sedang tidur
atau pada awal pagi ketika anak ke sekolah. Pastikan apakah kepentingan waktu
itu. Jika anak perlukan perhatian, utamakan daripada melakukan kerja lain.
Saudara terdekat juga perlu tahu bahawa anda kini sedang bekerja di
rumah agar mereka tidak mengganggu waktu bekerja anda. Bantuan pembantu rumah
juga masih diperlukan, malah meringankan beban bagi mereka yang tidak mampu
melakukan dua tugas dalam satu masa.
Sebagai strategi awal, mereka yang sedang bercadang untuk bekerja di
rumah agar mula membina jaringan kerja sebelum berhenti kerja. Mengenali ramai
orang adalah satu faktor penting sebagai strategi pemasaran.
Jangan tunggu sehingga berhenti kerja baru hendak tercari-cari
pelanggan. Hubungan baik dengan orang sekeliling mewujudkan peluang luas
memasarkan barangan mahupun perkhidmatan yang anda tawarkan.
Pada masa inilah kena pandai gunakan peluang yang ada seperti menghadiri
kursus keusahawanan dan kemahiran lain yang boleh dijadikan sumber pendapatan
kemudian hari.
No comments:
Post a Comment