Cara
bantu orang kelainan upaya (OKU) berdikari. Bukan aku minta dilahirkan begini,
itulah satu keluhan biasa didengari diluahkan oleh OKU. OKU dikategorikan sebagai individu tidak sempurna anggota, pancaindera dan mental sejak dilahirkan atau akibat penyakit, kemalangan dan unsur-unsur lain.
Cacat tidak semestinya tidak mempunyai peluang untuk berjaya.
Individu mengalami kecacatan penglihatan, pertuturan dan pendengaran mempunyai
potensi untuk berjaya seperti individu normal jika diberi latihan dan
pendidikan khas. Mereka mempunyai kemampuan mental dan perasaan
seperti individu normal.
Ibu bapa yang mempunyai anak kategori OKU perlu memberi peluang
anak mereka untuk mendapat apa yang diperoleh anak-anak biasa berkaitan
pendidikan. Membiarkan anak kategori OKU tanpa usaha pemulihan dan pendidikan
yang sewajarnya akan menjadikan keadaan lebih buruk.
Jika mereka diasuh dan diberi latihan, sudah pasti sedikit
sebanyak penggantungan terhadap ibu bapa dapat dikurangkan apabila kemampuan
fizikal dan mental bertambah baik.
Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang diterima pakai
oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Malaysia menerima pakai
sebahagian besar perkara dalam konvensyen itu, jelas menunjukkan negara
mengiktiraf kanak-kanak OKU dan mereka berhak mendapat pendidikan setaraf
kanak-kanak normal.
Perkara 23 dalam konvensyen tersebut menyebut, di mana
kanak-kanak OKU mempunyai hak terhadap jagaan, pendidikan dan latihan khas
untuk membantunya menikmati kehidupan yang sepenuhnya.
Manakala, Perkara 29 dalam CRC juga menyebut, matlamat
pendidikan ialah bertujuan mengembangkan personaliti, bakat dan kebolehan
mental dan fizikal kanak-kanak pada tahap potensi yang paling tinggi.
Ini bermakna, tanpa mengira ketidakupayaan, semua kanak-kanak
OKU di negara ini memang berhak memperoleh pendidikan sewajarnya. Ibu bapa
berperanan penting dalam menentukan kejayaan pendidikan murid OKU.
Kerajaan mengambil usaha untuk membela nasib OKU. Pembelaan
tersebut bukan setakat memberi bantuan latihan khas dan bantuan alat sokongan,
tetapi memberi peluang untuk OKU sama-sama menyumbang tenaga dan fikiran untuk
kemajuan negara.
Kerajaan sedaya upaya untuk meningkatkan kemudahan untuk OKU
menikmati hidup lebih sempurna. Banyak kemudahan seperti laluan kerusi roda,
tandas khas, tempat duduk, kaunter dan kenderaan disediakan untuk kemudahan
OKU.
Usaha berterusan kerajaan melalui kementerian dan jabatan, serta
sokongan pihak swasta, pertubuhan kebajikan dan orang ramai memperlihatkan
kesan positif dalam meningkatkan taraf hidup OKU. Di samping itu, sikap
prejudis dan diskriminasi orang ramai terhadap OKU semakin berkurangan.
Apapun, usaha paling berkesan perlulah datang dari ibu bapa dan
OKU sendiri. Segala usaha dilakukan kerajaan tidak mencapai matlamatnya jika
masih ramai ibu bapa mempunyai anak OKU tidak memberi kerjasama menjayakannya.
Bagi OKU yang sudah dewasa, usaha mereka sendiri menentukan kejayaannya.
Sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk agensi
kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat juga amat dialu-alukan
bagi menjamin keberkesanan pendidikan kalangan kanak-kanak OKU.
Pada masa ini NGO banyak berfungsi membantu kanak-kanak
istimewa, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi latihan dan
kemahiran.
No comments:
Post a Comment