Sunday, 15 January 2017

Pengenalan sunah atau hadis

Sunah bermaksud jalan. Ia juga bererti "peraturan sesuatu amalan yang dilakukan berulang kali." Di dalam istilah syarak, sunah atau hadis bermaksud 'sesuatu yang terbit dari Nabi Muhammad SAW selain dari al-Quran, sama ada perkataan, perbuatan atau perakuan." 

Imam Ibn Hajar mendefinisikan hadis sebagai: "Sunah ialah apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW". Manakala Ali al-Qari dalam Syarh Nukhbah al-Fikir telah mentakrifkan hadis sebagai "Apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir, gerak dan diam, sama ada semasa jaga atau tidur."

Biarpun terdapat perbezaan definisi diberikan pakar hadis, hakikatnya ia membawa kepada maksud yang sama dalam menjelaskan mengenai sunah atau hadis.
           
Sesuai kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa rahmat dan pemimpin ulung, setiap apa yang dilakukan oleh baginda sentiasa diperhati dan dicontohi oleh para sahabat. 

Pakar sejarah menyatakan tidak ada manusia di dunia ini yang mana setiap apa yang dilakukan, dicakap maupun ketika diamnya diperhati oleh orang lain untuk dijadikan ikutan.

Kenyakinan penuh yang tidak berbelah bahagi para sahabat bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT yang membawa rahmat dan kesejahteraan hidup manusia di dunia dan akhirat  menjadikan mereka tidak mahu terlepas satupun apa yang dilakukan oleh baginda untuk diikuti.

Hal ini bertepatan dengan perintah Allah SWT seperti mana tercatat dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: "Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang dilarangnya bagimu tinggalkannya."

Sunah berkait rapat dengan Rasulullah SAW. Malah, Rasulullah SAW dipertanggungjawab oleh Allah SWT sebagai penjelas atau pentafsir kepada al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahal, ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka."

Kepentingan al-Quran dan sunah digabungkan bersama sebagai panduan umat Islam sehingga ke hari kiamat tidak dapat disangkal lagi. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya: Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya." (Hadis riwayat Malik).

Sunah dibahagikan kepada bahagian berbeza. Dari aspek hakikat, para ulama membahagikan sunah kepada tiga kategori. Pertamanya, sunah qawliyyah, iaitu merujuk kepada ucapan Rasulullah. Contoh hadis kategori inilah ialah penjelasan Rasulullah SAW berkaitan niat. Sabda Rasululla SAW  bermaksud: "Sesungguhnya (segala) amalan bergantung kepada niat." 

Kategori kedua ialah sunah filiyyah, yakni merujuk kepada perbuatan dilakukan oleh baginda seperti ketika menunaikan sembahyang, haji dan puasa. Manakala sunnah taqaririyyah pula merujuk kepada perakuan atau persetujuan Rasulullah terhadap perbuatan sesetengah sahabatnya. Contohnya Rasulullah melarang Abu Bakar daripada menghentikan persembahan hiburan pada satu majlis perkahwinan. 

Sementara itu, sunnah dibahagikan kepada dua kategori berbeza dari segi aspek jumlah perawi. Hadis mutawatir adalah hadis sahih yang diriwayat di setiap peringkat oleh sekumpulan ramai perawi yang mustahil pada akal dan adat, mereka berpakat untuk berdusta dari awal sanad hingga ke akhirnya.         

Hadis Ahad pula adalah hadis yang tidak memenuhi syarat hadis mutawatir. Satu lagi tingkat hadis ialah Gharib yang mana hadis itu hanya diriwayatkan oleh seorang perawi dalam seluruh sanadnya atau sesetengahnya.

Dari segi kekuatan dan kelemahan, hadis dibahagi kepada dua iaitu diterima dan ditolak. Di antara jenis hadis yang diterima ialah hadis sahih. Satu lagi hadis ialah hadis daif, yakni yang tidak memenuhi sifat-sifat hadis yang diterima. 

Manakala satu lagi jenis hadis ialah hadis mawdhu, yakni yang direka atau diadakan-adakan terhadap Rasulullah. Pada hakikatnya, hadis mawdhu sebenarnya bukanlah hadis kerana ia bukan daripada Rasulullah. Namun, ia tetap dinamai 'hadis mawdhu' sebagai satu kategori untuk dijadikan peringatan kepada umat Islam agar tidak keliru dan dikelirukan. Ia tidak boleh diterima atau digunakan untuk apa tujuan sekalipun berkaitan hukum.

Contoh hadis mawdhu ialah: "Sesiapa yang memandu seorang buta sejauh 40 langkah, Allah akan memperuntukkan kepadanya syurga." Ungkapan itu sebenarnya dicipta oleh Muhammad bin Abd Malik yang cacat penglihatan, untuk kepentingan peribadinya.

No comments:

Post a Comment