Bentuk isi kandungan al-Quran meliputi perintah-perintah Allah
kepada manusia, hukum-hukum, cerita-cerita sejarah untuk dijadikan pedomen
hidup, asas-asas ilmu pengetahuan dan segala macam panduan berguna untuk
manusia.
Penurunan al-Quran dianggap mukjizat yang memberi kebaikan dan
kelebihan kepada seluruh umat manusia yang kekal hingga ke hari kiamat.
Penurunan kitab menjadi wasilah untuk agama sampai kepada kita untuk dijadikan
pegangan.
Selain al-Quran, Allah juga menurunkan kitab-kitab kepada umat
terdahulu. Namun kitab itu telah dimansuhkan penggunaannya apabila Al-Quran
yang lengkap diturunkan. Tidak ada yang tertinggal, melainkan semuanya tercatat
dalam al-Quran untuk panduan hidup
manusia.
Manakala, sunnah pula dari segi bahasa bermaksud
jalan. Ia juga bererti "peraturan sesuatu amalan yang dilakukan berulang
kali." Di dalam istilah syarak, sunnah atau hadith bermaksud 'sesuatu yang
terbit dari Nabi Muhammad saw selain dari al-Quran, sama ada perkataan,
perbuatan atau perakuan."
Imam Ibn Hajar mendefinisikan hadis
sebagai: "Sunnah ialah apa-apa yang disandarkan kepda Rasulullah
SAW." Manakala Ali al-Qari dalam Syarh Nukhbah al-Fikir
telah mentakrifkan hadis sebagai "Apa yang disandarkan kepada Nabi daripada
perkataan, perbuatan, taqrir, gerak dan diam, sama ada semasa jaga atau
tidur."
Sesuai kedudukan Nabi Muhammad sebagai
pembawa rahmat dan pemimpin ulung, setiap apa yang dilakukan oleh baginda
sentiasa diperhati dan dicontohi oleh para sahabat. Pakar sejarah menyatakan
tidak ada manusia di dunia ini yang mana setiap apa yang dilakukan, dicakap
maupun ketika diamnya diperhati oleh orang lain untuk dijadikan ikutan.
Dalam perundangan Islam, sumber utama kepda
sesuatu hukum ialah al-Quran dan al-sunnah atau dikenali dengan al-nas
al-sharie. Hal ini bertepatan dengan perintah Allah seperti mana tercatat dalam
al-Quran surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: "Apa yang diberikan Rasul
kepadamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang dilarangnya bagimu
tinggalkannya."
Sunnah berkait rapat dengan Rasulullah.
Malah, Rasulullah dipertanggungjawab oleh Allah sebagai penjelas atau pentafsir
kepada al-Quran.
Firman Allah dalam surah an-Nahal, ayat 44
yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran
supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan
kepada mereka."
Ayat-ayat al-Quran terdapat sebanyak 6236 ayat (sebahagian ulama
menyatakan 6,666 ayat) diturunkan dalam tempoh 22 tahun 2 bulan 22 hari, iaitu
sembilan tahun di Makkah dan 13 tahun di Madinah. Ia melibatkan 74,437 kalimat
dan 325,345 huruf. Setelah dikumpulkan, ia dibahagikan kepada 30 juz dan 114
surah.
Manakala sunnah pula terdapat ratusan ribu yang tersebar di
kalangan para sahabat dan dikumpul oleh para pakar hadis.
Maka itu, kita dapat bayangkan akan wujud bermacam-macam bentuk
lafaz yang digunakan di dalam setiap dalil sama ada dari al-Quran mahupun
sunnah. Ulama telah membahagikan kepada dua kategori, iaitu lafaz yang jelas
dan lafaz yang tidak jelas.
No comments:
Post a Comment