Al-adah muhkkamah secara bahasa diambil dari
kata al-aud atau al-muawadah yang bermaksud berulang. Dengan kata lain, al-adah muhkkamah membawa erti perbuatan atau
amalan yang diulang-ulang yang menjadi budaya dan kebiasaan yang dapat diterima
dalam masyarakat.
Manakala uruf pula memberi maksud sesuatu perkara yang
telah diketahui oleh individu atau masyarakat yang tinggal di sesuatu kawasan
dan menjadi kebiasaan mereka mematuhinya sama ada dalam bentuk perkataan ataupun
perbuatan. Uruf juga berkaitan perkara-perkara yang mereka tidak lakukan
kerana kefahamannya mengenainya.
Biarpun difinisi al-adah dan uruf nampak berbeza, namun
kebanyakan ulama meletakkan ia sebagai satu perkara sama dalam membincangkan kedudukannya
sebagai satu cabang daripada lima kaedah fiqh yang digunakan sebagai rujukan
hukum.
Adat telah disepakati majoriti ulama sebagai salah satu
kaedah fiqh daripada lima kaedah utama yang diguna pakai untuk mensabitkan
sesuatu hukum syarak. Perkara ini banyak diamalkan dalam
masyarakat. Namun, banyak di kalangan masyarakat tidak mengetahui bahawa amalan
agama yang dilakukan itu sebenarnya adalah adat yang telah diserap dan diterima
sebagai hukum.
Bagaimanapun, adat hanya dijadikan rujukan untuk tujuan
mensabitkan hukum syarak ketika tidak terdapat nas yang jelas bagi sesuatu
hukum yang hendak disabitkan. Jika telah ada nas jelas, suruhan atau larangan,
maka perlu dipatuhi nas itu.
Maknanya, tidak harus menjadikan adat sebagai sumber
hukum yang berkaitan dengannya jika telah ada nas yang jelas meletakkan
hukumnya. Adat sedemikan dipanggil adat batil atau salah. Jika
diteruskan diamalkan adat yang batil itu, maka termasuklah dalam perbuatan
ditegah dan berdosa.
Para ulama sepakat menjadikan adat sebagai salah satu
asas menentukan hukum. Penerimaan kaedah ini antara lain berdalil dengan firman
Allah SWT yang bermaksud: "Terimalah yang mudah dilakukan dan suruhlah
dengan perkara yang baik." (Surah al-Araf, ayat 199)
Ayat itu dapat difahami perkara baik yang sudah diterima
dan diamalkan dalam sesuatu masyarakat hendaklah diteruskan, sesuai dengan
matlamat Islam yang ingin kepada kebaikan. Islam itu mudah dan memberikan
kemudahan kepada penganutnya.
Turut dijadikan hujah berdasarkan hadis Rasulullah SAW
yang bermaksud: "Apa-apa yang didapati dan yang dilihat oleh orang-orang
Islam sebagai sesuatu yang baik, maka ia juga baik di sisi Allah."
Pun begitu, mengikut tafsir hadis tersebut, ulama
menjelaskan bukan mutlak kepada semua adat. Sesuatu adat berdasarkan
kepada hawa nafsu semata-mata hendaklah ditolak. Banyak adat berasaskan
kepada hawa nafsu seperti perempuan mendedahkan aurat tidak boleh diterima
sebagai adat yang boleh dijadikan asas mengharuskan perbuatan
itu. Mendedahkan aurat satu perkara ditegah.
Walaupun adat diterima sebagai rujukan hukum, ia tidak
berasingan dengan sumber hukum asal. Semua hukum bersumberkan daripada
Allah SWT. Penerimaan adat sebagai sumber hukum dianggap satu rahmat daripada
Allah SWT, yang menjadikan adat itu selari dengan hukum asal. Dengan kata
lain, penerimaan adat itu sendiri bersandarkan kepada kaedah hukum yang ditetapkan
oleh Allah SWT.
Untuk menjadikan adat sebagai sumber hukum, beberapa
syarat perlu dipatuhi:-
Adat itu tidak berlawanan dengan nas syarak. Contohnya, adat membuat
urusniaga di atas talian. Adat ini telah berkembang selari dengan
kewujudan internet. Pembeli dan penjual tidak bersua muka ketika
melakukan urusniaga. Tidak dinafikan kaedah ini asal bertentangan nas
syarak, yakni tidak dibolehkan membeli sesuatu yang tidak wujud di hadapan
mata, tetapi ulama menerimanya atas kaedah maslahat dan telah dijadikan amalan
biasa dalam masyarakat, dan ia tidak berlawanan dengan semua aspek hukum.
Sebaliknya jika adat itu nyata berlawanan dengan nas
syarak, maka adat itu mesti ditolak. Contohnya, perniagaan berasaskan
kepada riba yang jelas terdapat ayat al-Quran dan hadis
mengharamkannya. Firman Allah SWT bermaksud: "Allah menghalkan
jualbeli dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah, ayat 275).
Amalan riba menjadi kebiasaan dalam sistem pembankan
konvensional. Namun, kini umat Islam ada altenatif menggunakan pembankan Islam
yang bebas unsur riba.
Adat yang diterima harus itu hendaklah telah diamalkan
oleh individu dalam masyarakat secara menyeluruh dan meluas. Bahkan, jika ada yang tidak
mengamalkannya, jumlahnya amat sedikit.
Contoh amalan ini ialah adat menunaikan solat Tarawaih
yang diadakan secara berjamaah. Sedangkan pada hakikatnya, solat Tarawih
tidak semestinya diadakan secara berjamaah. Ia boleh dilaksanakan di rumah atau di mana-mana sahaja secara berseorangan.
Di Malaysia, apabila disebut sembahyang Tarawih, terus
tergambar ia dilakukan secara berjamaah di masjid. Sesiapa tidak melakukannya
dianggap tidak bertarawih, biarpun sebenarnya ia melakukannya di rumah.
Begitulah gambaran besarnya pengaruh adat dalam masyarakat.
Adat dalam satu-satu tindakan itu sudah wujud ketika
hendak dilakukan tindakan itu. Maksudnya, kejadian adat itu berlaku sebelum
sesuatu tindakan dilakukan dan ketika tindakan itu dan ia berterusan sehingga
masa berlakunya tindakan itu. Ini bermaksud, tidak harus diamalkan adat
yang baru timbul. Adat mendahului nas syarak sahaja yang dikira sah.
Contohnya, mewakafkan harta kepada anak yatim. Perlu
difahami istilah anak yatim adalah anak yang ketiadaan ibu bapa atau salah
seorang daripadanya. Tetapi, sekarang rumah anak yatim turut menempatkan
anak golongan miskin biarpun kedua ibu bapa masih hidup.
Maka dalam kes ini, jika wakaf diberikan dinyatakan
khusus kegunaan anak yatim, maka mesti dipastikan ketika wakaf itu dilakukan,
siapakah dimaksudkan anak yatim. Maka, mereka yang dimaksudkan anak yatim
pada masa lalu saja berhak mendapat manfaat wakaf itu.
Tidak ada perkataan atau perbuatan atau kedua-duanya
secara terang bertentangan dengan adat. Sesungguhnya, tidak harus
berpegang kepada adat apabila kedua-dua pihak berakad setuju mengetepikan adat
biasa diamalkan. Keperluan merujuk kepada adat hanya apabila kedua-dua
pihak diam.
Sebaliknya, jika pihak terlibat memperjelaskan apa ingin
dilakukan berkaitannya, maka adat mesti diketepikan. Hal
ini bertepatan dengan kaedah fiqliyyah yang menyebut: "setiap hukum
yang sabit berdasarkan adat apabila dua orang terlibat berterus terang
menolaknya dan bersetuju dengan syarat yang selari dengan maksud perbuatan itu,
maka sah akad dan syarat itu.
Contohnya, hantaran berupa peralatan peribadi pengantin
perempuan berupa perhiasan, pakaian dan makanan biasanya tidak termasuk dalam
kiraan mas kahwin seperti diamalkan masyarakat Melayu. Namun ia akan
menjadi sebahagian mas kahwin jika kedua-dua pihak bersetuju atas perkara itu.
No comments:
Post a Comment