Wednesday, 29 March 2017

Hukum segera urus jenazah

Apabila berlaku kematian, hendaklah disegerakan urus jenazah, iaitu memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan kemudian menghantar dan mengkebumikan.

Islam melarang jenazah lambat diuruskan. Keluarga atau pihak yang sepatutnya menguruskan jenazah perlu bertindak segera mengikut kesesuaian. 

Dibolehkan penangguhan jika wujud kesukaran. Contohnya, tidak harus mengebumikan jenazah pada sebelah malam jika keadaan gelap dan boleh mendatangkan bahaya.  

Satu lagi perkara perlu diberi perhatian atau diambil kira apabila berlaku kematian ialah berkaitan dengan harta peninggalan si mati. Ini terutamanya berkaitan dengan hutang si mati.  

Perkara ini perlu dilakukan oleh waris si mati, terutama mereka yang menguruskan harta si mari.

Isu tidak membayar hutang si mati bukan perkara kecil. Justeru, soal hutang si mati perlu diutamakan dalam pengurusan harta pusaka yang ditinggalkan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Roh orang beriman tergantung (terhalang dari mendapat nikmat) kerana hutangnya sehingga di tunaikan ke atasnya." (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).

Perlu disedari bahawa harta yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya terikat dengan urutan di bawah ini dari segi penggunannya, bukan terus difaridkan.

Urutan seperti berikut.
- Digunakan untuk membayar kos pengembumian.
- Membayar hutang.
- Menunaikan wasiat.
- Difaraidkan kepada ahli waris.

Semoga waris dapat melaksanakan tugas ini sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment