Friday, 31 March 2017

Akta 355 bidang kuasa Mahkamah Syariah

Akta 355 adalah suatu akta untuk memberi bidang kuasa jenayah kepada mahkamah yang ditubuhkan bawah mana-mana undang-undang negeri bagi maksud membicarakan kesalahan jenayah bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Akta ini mula-mula dikanunkan pada tahun 1965 dan waktu itu, ia dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Hukuman yang tersenarai dalam akta ini ialah denda RM1,000 dan penjara 6 bulan.

Pada tahun 1984 dibuat pindaan dan dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984. Pindaan itu meluaskan lagi kuasa menghukum Mahkamah Syariah kepada tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

Selepas itu, akta ini dipinda lagi pada tahun 1989 untuk diluaskan ke Sabah dan Sarawak dan dinamakan sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan dan Perluasan) 1989.

Pada tahun 1997 sekali dipinda tetapi pada tafsiran sahaja, dan ia digelar Akta Tafsiran (Pindaan) 1997.

Bermula dikanunkan dan kesemua pindaan diusulkan oleh pihak kerajaan. Malah, pihak-pihak tertentu dalam kerajaan sudah mula membincangkan berkaitan untuk membuat pindaan sejak beberapa tahun lalu.

Namun, tiba-tiba pada tahun 2016, Pas melalui ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang telah membawa secara usul persendirian untuk membuat pindaan terhadap Akta 355.

Sejak itu RUU 355 mula menjadi polimik melibatkan pemimpin politik, NGO dan rakyat.  Banyak pihak melihat RUU 355 sebagai jalan belakang kepada pelaksanaan hudud, terutama di kalangan bukan Islam yang menjadikan mengapa mereka menentang.

Ketakutan itu berasas kerana di kalangan pemimpin Pas sebelum itu mendakwa ingin melaksanakan hudud.  Jadi, sebarang bentuk usul yang diusahakan oleh Pas dilihat sebagai usaha ke arah melaksanakan hudud.

Sama ada ke arah hudud atau tidak, hakikatnya ia adalah hanya terpakai terhadap orang Islam.  Mengapa bukan Islam perlu gusar dan takut mengenainya. Lebih pelik lagi apabila turut melibatkan ahli parlimen beragama Islam yang sebelum itu beriya-iya ingin memperjuangkan hudud ketika bersama-sama Pas.

Bagi ahli akademik dan perundangan, isu RUU 355 perlu diteliti dengan bijaksana. Ia bukan isu untuk kepentingan politik, sama ada menyokong atau menentang.  RUU 355 adalah syiar Islam dan untuk kebaikan umat Islam serta masyarakat seluruhnya.

Jadi, ia perlu dirancang dan bincang secara mendalam. Hakikatnya, ia hanyalah sebuah cadangan perubahan aturan undang-undang yang sangat bersifat prosedural yang melibatkan mahkamah bawah bidang kuasa persekutuan.

Maka, setiap Muslim boleh memilih untuk menyokong ataupun menolak perubahan aturan ini, tetapi biarlah munasabah dan tidak dipengaruhi fahaman politik.

Namun, perkara ini sukar untuk diterima di kalangan ahli politik Malaysia. Mereka lebih mementingkan politik.  Sebab itu, banyak perkara yang dahulunya diperjuangkan, bertukar menentang apabila bertukar blok politik.

Asal saja perkara itu diusulkan oleh bukan blok politik mereka, maka perkara itu perlu ditentang. Sedangkan yang sepatutnya ialah sama-sama berbincang untuk mencari sesuatu yang lebih baik.

Sebelum cadangan dibawa ke parlimen, perlunya rundingan dan perbincangan dengan banyak pihak, antaranya pihak berkepentingan dalam isu ini, seperti bidang penguatkuasaan, pendakwaan, hakim Mahkamah Syariah, peguam syarie, dan jabatan-jabatan agama untuk memastikan kelancaran proses pindaan akta ini.

RUU 355 ini bagus kerana ia bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

Tetapi yang menjadi kebimbangan adalah dari sudut pelaksanaan, kecukupan fasiliti dan sejauh mana kemampuan sistem undang-undang di peringkat negeri bersedia untuk menjalankan hukuman tersebut.

Contohnya institusi penjara, pemakaian kaedah pembuktian Mahkamah Syariah yang lebih menyeluruh, memastikan semua daerah mempunyai jumlah hakim syarie yang mencukupi, dan mempersiapkan pelatihan profesional kepada pihak-pihak yang akan terlibat sebagai contoh bahagian pendakwaan, guaman, kehakiman dan pengurusan Mahkamah Syariah.

Jangan disebabkan ketidaksempurnaan melaksanakan hukum Islam, Islam difitnah.
Apabila pindaan ini diluluskan dalam keadaan persediaan yang tidak rapi dan sempurna, ia akan membuka jalan kepada keburukan yang lebih besar.

Nama baik Islam akan tercalar dek kerana sistem keadilan syariah yang tidak teratur dan tidak adil.

Seterusnya, wujud persepsi dari segi ketidakmampuan sistem undang-undang negeri untuk menjalankan hukuman tersebut, terutamanya pada bahagian pendakwaan dan perlaksanaan hukuman,yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.

Di samping itu, ketidaksempurnaan perlaksanaan hukum Islam juga akan mencemari nama baik negara Islam itu sendiri.

Sebagai contoh,perlaksanaan syariah di Pakistan telah menyebabkan mangsa rogol dibicara bawah hukuman zina sehingga mangsa rogol juga dimasukkan ke dalam penjara.

Di negara Sudan, kes terkenal Mahmud Mohd Taha (yang dibunuh kerana pandangan politik yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan syariah).

Ia menggambarkan bukan sahaja kurang kesempurnaan dalam perlaksanaan hukum Islam, tetapi salah guna institusi agama untuk menindas orang yang mereka tidak suka atau menyingkirkan individu tertentu kerana kepentingan politik.

Jadi, jelas bahawa ketidaksempurnaan pelaksanaan hukum Islam akan memberi kesan yang besar.

Pindaan ini matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan memberi ruang kepada profesion kehakiman syariah. Hentikan isu ini dijadikan bahan untuk kepentingan politik.

Semakin lama polimik ini berterusan, ia menampakan tiada kerjasama di kalangan ahli parlimen Islam dan membawa perpecahan di kalangan umat Islam di Malaysia.

No comments:

Post a Comment