Saturday, 18 August 2018

Tegas hadapi penindasan kapitalis

Di negara miskin dan berperang, rakyat berdepan krisis makanan yang mencengkam parah. Gambar yang tersebar memperlihatkan gambar-gambar kanak-kanak kebuluran dan tidak cukup zat makanan. Hiba rasanya melihat gambar kanak-kanak begitu kurus sehingga menampakkan bentuk rangka tulang, dan ada yang mengais-ngais makanan di tanah untuk mengutip sisa-sisa makanan. Alangkah bertuahnya kita di Malaysia kerana tidak mengalami krisis seburuk itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malah pemimpin beberapa negara telah menyimpulkan krisis itu sebagai 'tsunami senyap' atau 'pembunuhan ramai-ramai dalam diam.' Nyata krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua telah memberi impak yang besar, bukan sahaja dari sudut kesihatan penduduk tetapi juga daripada aspek sosial, ekonomi dan dasar-dasar negara.

Di sesetengah negara, rusuhan berlaku akibat daripada rasa tidak puas hati rakyat atas tekanan yang terpaksa mereka hadapi. Impak daripada kenaikan harga makanan asas dan bahan mentah lain seperti petroleum, benar-benar memberi kesan kepada kehidupan setiap warga.

Sejauh mana kita bersyukur dan berusaha  Di sebalik semua itu, untuk negara yang tidak terasa begitu ketara mengenai kekurangan makanan seperti Malaysia, perjuangan rakyat mungkin belum sampai merusuh untuk mendapatkan sesuap nasi, tetapi mungkin dalam mengimbangkan pendapatan dan taraf hidup dengan beban kenaikan harga barang yang terpaksa ditanggung. Rakyat digalakkan berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian, dan bersedia untuk mencari alternatif untuk sumber makanan yang ada.

Dalam konteks negara Islam, negara Islam mempunyai kelebihan yang banyak. Nikmat bumi Islam adalah hasil bumi yang banyak seperti gas asli, minyak, uranium dan sebagainya, tanah yang luas, kepadatan penduduk yang tinggi serta ajaran Islam dan contoh ikutan yang unggul.

Namun, sistem kapitalis Barat yang mencengkam sistem pasaran dunia nyata telah memberi impak yang besar kepada dunia Islam. Umat Islam tertindas kerana mereka bukan negara pengeluar, sebaliknya hasil bumi mereka dikaut oleh negara-negara besar lain, lantas cuba disorokkan dengan alasan-alasan untuk melindungi kenaikan harga barang.

Untuk mengatasi masalah kekurangan sumber makanan, aspek pertanian serta pengeluaran makanan dan hasil bumi perlu diberi perhatian. Orang Islam perlu melibatkan diri secara langsung dalam penyediaan bekalan makanan dan rantaian perniagaan yang berkaitan untuk mengelak monopoli pihak tidak bertanggungjawab.  

Pengurusan yang cekap, telus dan efisien perlu untuk memastikan pengeluaran dan penghasilan bahan mentah menjadi lebih sistematik dan memberi faedah langsung kepada pengeluar dan pengguna. Penggunaan teknologi dan kaedah yang lebih maju perlulah lebih sentiasa ditingkatkan dan berupaya memberi pulangan kos dan keuntungan.

Allah telah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi, justeru, kelebihan akal dan sumber bumi yang banyak perlu diuruskan dengan cara yang lebih baik bagi memastikan tiada yang tertindas disebabkan pihak yang ingin mengaut keuntungan daripada keringat orang lain.

Dalam mendepani cabaran ini, sewajarnya remaja sebagai pewaris hari depan peka dan sedar tentang permasalahan ini. Isu yang telah menjadi permasalahan global ini perlu diberi perhatian serius. Selain daripada tindakan-tindakan serta usaha kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengurangkan beban kenaikan harga ini, kita juga perlu menyemaikan sifat berjimat cermat dan berhemah ketika berbelanja.  

Renungilah nasib orang-orang yang kurang bernasib baik apabila pembaziran berlaku serta sentiasa menanamkan kesyukuran di atas apa yang Allah telah berikan kepada kita dan berusaha untuk berkongsi kemakmuran yang dikecapi dengan orang lain. Hargailah setiap butir nasi yang kita makan. Jauhi pembaziran dan sikap tamak memuaskan hawa nafsu.  

No comments:

Post a Comment