Saturday, 18 August 2018

Surah al-Hujurat berkaitan menjaga hubungan

Memelihara keharmonian pergaulan dan berinteraksi sesama insan terutama dalam masyarakat majmuk perlukan formula efektif. Formula efektif ini atau landasan yang boleh dijadikan panduan dalam proses mengembalikan kekeruhan ialah al-Quran.  

Formula itu ada dalam al-Quran antaranya Surah al-Hujurat. Banyak ayat dalam surah itu menyentuh adat sopan santun dan etika pergaulan orang terhormat.  

Dinamakan al-Hujurat yang bermaksud bilik-bilik, sebab diturunkan ketika ada di kalangan sahabat memanggil Nabi Muhammad SAW yang sedang berehat di bilik isterinya. Mereka memanggil dengan cara kurang sopan dan keadaan demikian menunjukkan sifat kurang hormat serta mengganggu ketenteraman Baginda.  

Surah ini mencela sahabat berkenaan sekali gus mengajar cara yang sebenarnya. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang memanggil kamu dari luar bilikmu kebanyakan mereka tidak mengerti." – (Surah al-Hujurat, ayat 4)  

Surah al-Hujurat mengandungi 18 ayat mendidik supaya hormat dan sopan santun terhadap Rasulullah SAW ketika hidup dan sesudah wafatnya. Perihal sopan santun bukan setakat kepada Rasulullah SAW, malah sesama Muslim dan bukan Muslim.  

Cantiknya ayat ini menerangkan hikmah Allah menciptakan manusia berbangsa dan bersuku supaya saling kenal mengenal. Taraf setiap insan ciptaan-Nya adalah sama saja dan yang membezakan ialah ketakwaan kepada Allah.  

Justeru jangan terpesona dengan urusan bangsa dan suku kaum kerana ini akan menimbulkan permusuhan serta persengketaan. Seruan "wahai orang yang beriman" dimulakan berulang kali, menjadi bukti yang harus direnungkan bahawa antara iman dengan sopan santun dalam pergaulan tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu.  

Orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul, tidak akan tergamak mendahulukan fikiran serta pendapatnya sendiri dalam hal berkenaan hukum hakam agama sebelum terlebih dulu menilik, memandang dan memperhatikan firman Allah dan sabda Rasul.  

Begitulah sifat orang beriman dan bertakwa yang sangat berhati-hati dalam segala gerak langkah, sehingga fatwa yang dikeluarkan dapat dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Orang mukmin dilarang bersuara keras apabila berbicara sesama sendiri di hadapan Rasulullah SAW, apatah lagi apabila berbicara dengan Baginda. Bertengkar dengan suara keras di hadapan kuburan Nabi SAW juga tidak wajar.  

Apabila seseorang ingin berbicara sedangkan perkara itu tidak penting, maka ketika itu datang ujian kepada diri sendiri, supaya menahan hati dan menumbuhkan rasa ketakwaan dalam berbicara. Bagi mereka yang berhati-hati dalam berbicara adalah ampunan dan pahala yang besar.  

Orang yang tidak beradab ketika berbicara juga dikatakan sebagai orang tidak menggunakan akal. Namun kesalahan yang dilakukan pada masa lalu dalam keadaan jahil akan diampuni kerana Allah Maha Pengampun.

Bagi orang yang beriman, jika datang kepada mereka orang fasik (pembohong) membawa berita, maka selidik dulu kebenarannya, bimbang cerita bohong itu nanti akan menimpakan musibah kepada sesuatu kaum atau insan.  

Janganlah berita itu terus diiyakan atau ditidakkan, janganlah terburu-buru menjatuhkan keputusan sehingga orang terbabit mendapat hukuman, padahal ternyata kemudian tidak ada kebenaran mengenainya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah adalah daripada syaitan."  

Namun masih ada yang jujur dan mencintai iman, yang bertanggungjawab menyampaikan kebenaran. Mereka itulah orang yang bijak, memikirkan manfaat dan mudarat sesuatu hal sebelum dikerjakan.

Orang beriman yang bijak inilah yang diperlukan dan membawa kebahagiaan bersamanya kerana berpandangan jauh serta mempunyai kefahaman luas. Jika ada dua golongan yang sama-sama beriman tetapi timbul salah faham sehingga tercetus perkelahian, seterusnya peperangan, maka hendaklah ada orang beriman lain segera mendamaikan antara keduanya. Dengan mengetahui sebabnya hendaklah disuruh berdamai.

Golongan yang tidak mahu berdamai itu disebut orang yang menganiaya, hendaklah diperangi sehingga tunduk dan patuh kepada kebenaran. Keduanya, diadili dengan adil dan saksama serta dijatuhkan hukuman setimpal.

Orang yang berlaku adil di dunia akan duduk diatas mimbar daripada mutiara di hadapan Tuhan yang bersifat Rahman kerana keadilan mereka di dunia. Orang beriman perlu berkasih sayang sesama mereka dan bersikap keras terhadap orang kafir. Perkelahian yang timbul adalah akibat salah faham dan salah terima.

Seterusnya surah al-Hujurat memberi peringatan halus dan tepat dari Allah supaya tidak mengejek dan menghina. Perbuatan itu sering dilakukan mereka yang merasakan dirinya sempurna, tidak punya kekurangan, kealpaan dan kesalahan.

Bahkan peringatan itu turut ditujukan kepada wanita yang mencela, menggelar dan memanggil dengan panggilan buruk kepada orang lain, padahal perbuatan itu sama seperti mencela diri sendiri. Sebaiknya nama buruk diganti dengan panggilan baik kerana nama itu ada pengaruhnya bagi jiwa.

Begitu juga perangai buruk sangka yang mengundang perpecahan dan memutuskan silaturahim antara orang beriman. Kita perlu bersegera menghentikan, bertaubat dan menyesali perbuatan itu.

Surah ini memberi keterangan mengenai nilai iman iaitu seseorang yang didatangkan penderitaan ke atas dirinya baik daripada segi harta benda, tenaga dan sebagainya. Mereka mengharunginya dengan reda dan pasrah tanpa ragu-ragu terhadap Allah.

Mereka itulah orang yang jujur dan layak mengaku orang beriman. Pengetahuan manusia amat terbatas. Janganlah merasa diri penting serta bangga sebaliknya bersyukur dan meneguhkan iman dengan jujur.

Surah al-Hujurat memberi peringatan dan mendidik manusia supaya ikhlas beramal serta menginsafi bahawa Allah mengetahui apa yang dizahirkan dan disembunyikan untuk menguatkan iman, meyakinkan hati dengan takwa.

No comments:

Post a Comment