Allah
menguji hamba-Nya dengan pelbagai cara dan tahap. Sesungguhnya tanpa ujian
daripada Allah, kehidupan ini sekadar satu perjalanan biasa.
Allah
berfirman dengan maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji
kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi
Maha Pengampun.” - (Surah al-Mulk, ayat 2).
Serangan
wabak penyakit, banjir, kamarau, gempa bumi atau ribut, adalah sebahagian
daripada ujian yang Allah melibatkan seluruh penduduk. Ujian tersebut terkena
tanpa mengira siapakah taraf keimanan dan ketakwaan seseorang. Orang yang
beriman turut menerima kesannya sebagai ujian.
Rasulullah
bersabda diriwayatkan Tarmizi bermaksud: “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum,
mereka Dia menguji mereka. sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah
dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah.”
Dalam
sabda lain Rasulullah menjelaskan bermaksud: “Demi zat yang diriku ada di
tangan-Nya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang
mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya.” - (Hadis riwayat Muslim).
Oleh
itu, apabila berdepan dengan sesuatu bencana, tindakan pertama ialah reda
terhadap apa yang menimpa, kemudian dilakukan usaha yang sepatutnya
mengurangkan kesan musibah dan seterusnya memulihnya kembali.
Setiap
musibah menimpa perlu diatasi untuk mendapat kembali apa diingini. Jika mengalami penyakit, usaha perlu dilakukan
ialah berubat untuk kembali sihat. Begitulah dengan musibah-musibah lain yang
perlu ditangani.
Angapan
mengatakan setiap cubaan daripada Allah hanya perlu dihadapi dengan reda dan
berserah kepada takdir menentukan adalah satu fahaman salah. Allah menyuruh
kita berusaha mendapatkan kembali keadaan asal, bahkan dengan sesuatu lebih
baik lagi.
Allah
memberikan kita akal untuk memikirkan perkara kebaikan dan menyelesaikan
permasalahan hidup yang menimpa diri, keluarga dan masyarakat. Berserah kepada
Allah semata-mata tanpa berusaha bermakna tidak menggunakan keistimewaan akal
dan kebolehan dikurniakan oleh Allah.
Sekiranya
kita menerima sesuatu musibah dengan reda dan tenang, Allah akan membuka
rahmat-Nya dengan seluas-luasnya. Fikiran dalam keadaan tenang dan bijaksana
biarpun berdepan saat mencemasakan. Tindakan yang dilakukan akan mendapat
petunjuk daripada Allah dan lebih mudah untuk diselesaikan.
Sebaliknya, perasaan tidak menentu, takut dan marah kepada apa yang menimpa, akan menjadikan keadaan lebih kelam kabut. Tanpa disedari diri kita lebih dikuasai oleh syaitan berbanding akal. Syaitan bukan sahaja menunjukkan jalan yang salah, bahkan menjauhkan manusia daripada mengingati Allah.
Orang
yang tidak dapat menerima hakikat apa yang menimpa dirinya mudah berputus asa
dan mencampakkan diri dalam kebinasaan. Ramai berputus asa untuk terus berusaha
mengubati penyakit yang dialami yang dianggap tidak mungkin lagi dapat
disembuhkan.
Sesungguhnya
setiap usaha yang dilakukan untuk kebaikan akan mendapat balasan daripada
Allah. Biarpun mungkin usaha dilakukan tidak memberi apa-apa kesan positif,
anggaplah itu sebahagian daripada menuruti tuntutan agama dan balasan kebaikan
diterima di akhirat nanti.
Sebagai
Muslim yang yakin dengan kekuasaan Allah, tidak ada apa yang mustahil bagi
Allah. Banyak ‘keajaiban’ yang Allah kurniakan kepada sesiapa yang tidak mudah
menyerah kalah dalam perjuangan hidup. Manusia hanya merancang, sedangkan Allah
menentukannya.
Firman
Allah bermaksud: “Apa saja nikmat yang kamu perolehi ialah daripada Allah dan
apa saja bencana yang menimpa kamu, maka daripada (kesalahan) diri kamu
sendiri.” - (Surah an-Nisa, ayat 79).
No comments:
Post a Comment