Amalan
suka berbantah-bantahan dalam perkara yang mempunyai berbagai-bagai sudut dalam
menentukan ‘betul’ dan ‘salah’ adalah tindakan yang amat merugikan. Ada pihak
merasakan apa yang dilakukan olehnya adalah betul sedangkan apa yang dilakukan
pihak lain salah.
Bagi
yang melihat perpecahan, wajib baginya melakukan usaha mengembalikan perpaduan.
Usaha dilakukan itu perlu berhemah dan bukannya membawa kepada keadaan lebih
buruk.
Cara
berfikir memang berbeza antara satu sama lain, tetapi agama telah menunjukkan
batas-batas perbezaan itu. Hakikatnya Islam dibina atas kesatuan akidah,
ibadah, akhlak, matlamat, cara hidup dan panduan yang sama iaitu al-Quran dan
sunnah.
Firman
Allah bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali (agama) Allah,
jangan kamu berpecah belah. Ingatlah akan kurniaan Allah kepadamu ketika kamu
sedang bermusuh-musuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga kamu menjadi
satu saudara dengan kurnia-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 103).
Setiap
antara kita mengaku mengesakan hanya Allah Yang Satu. Justeru, matlamat hidup
juga adalah satu, yakni mencari keredaan Allah. Kita menjadi hamba-Nya yang
semata-mata melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah.
Sesungguhnya
sesiapa yang benar-benar menghayati ajaran Islam tidak sekali-kali menyukai
kepada perpecahan, keganasan dan kemusnahan. Islam diturunkan kepada manusia
untuk dijadikan panduan hidup yang memenuhi fitrah manusia ingin hidup dalam
sejahtera, aman dan selamat.
Malah
makna Islam sendiri membawa maksud sejahtera, aman dan selamat. Allah menyeru
manusia agar menikmati kesejahteraan hidup secara mutlak melalui Islam.
Firman
Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam
(keamanan, kesejahteraan) secara keseluruhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 208).
Sesiapa
menerima Islam bermakna perlu menghayati perpaduan yang membawa kepada keamanan
dan kesejahteraan yang bukan saja dalam lingkungan orang Islam, bahkan seluruh
manusia dan makhluk di muka bumi ini.
Islam
menegah umatnya mencetuskan sesuatu yang boleh mendatangkan perpecahan dalam
semua ertikata. Kehalusan dan ketelitian ajaran Islam mencegah berlaku
perpecahan dalam hubungan sesama manusia dapat dilihat melalui perintah agar
manusia sentiasa merendahkan diri.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Amat baiklah orang yang merendahkan dirinya bukan ketika
dia miskin, tetapi juga ketika berada (senang).” (Hadis riwayat Tabrani dan
Bazar).
No comments:
Post a Comment