Saturday, 8 September 2018

TAKWIN HIJRAH BERI KEADILAN MUSIM IBADAH

Penggunaan kalendar Hijrah dalam sistem pentarikhan memberi keadilan dalam melaksanakan ibadah. Oleh itu, kita berpuasa Ramadan pada semua musim; hujan dan kemarau; sejuk, panas, bunga dan gugur. Begitu juga pelaksanaan haji dan merayakan hari kebesaran Islam lain.

Dengan perkataan lain, sistem ibadah dalam Islam tidak dihadkan pelaksanaannya pada masa yang tetap dan statik, tapi berubah mengikuti perubahan iklim. Sistem ini memberikan keadilan kepada semua masa untuk berasakan nuansa keislaman di dalamnya. Sebagai contoh, jika Ramadan pada Julai saja, tentu kita tidak akan berasakan keindahan berpuasa pada musim sejuk. Begitu pula sebaliknya, jika kita tetapkan puasa Ramadan pada Disember saja, tentu kita tidak akan berasa betapa beratnya berpuasa pada musim panas.

Sistem pentarikhan pertama diajarkan Nabi Adam kepada anaknya, Nabi Syits yang bermakna pemberian Allah sebagai pengganti anaknya, Habil yang dibunuh Qabil dalam peristiwa pembunuhan manusia pertama berpunca daripada kisah pengorbanan.  

Kepada Nabi Syits, Allah turunkan 50 lembaran (suhuf) yang berisi ajaran Allah SWT. Untuk pengetahuan tambahan, empat kitab suci yang diturunkan Allah ialah Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran, manakala suhuf ialah 104 dan 50 daripadanya diturunkan kepada Nabi Syits seperti diriwayatkan Ibn Hibban daripada Abu Darda’ secara marfu’.

Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya Qishashul Anbiya’ (Kisah Nabi) menukil perkataan Muhammad ibn Ishaq bahawa ketika Nabi Adam mendekati ajalnya, Baginda berpesan kepada anaknya, Syits dan mengajarkan kepadanya perihal waktu malam dan siang. Baginda juga mengajarkan ibadah pada waktu berkenaan serta memberitahu kepadanya taufan yang akan berlaku.

Siang dan malam adalah tanda kebesaran Allah dengan diputar-Nya matahari dan bulan, menerusinya kita boleh mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah berfirman maksudnya: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan setiap satu itu (berpindah-pindah) di tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semua itu melainkan dengan faedah. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya).” (Surah Yunus: ayat 5)

Daripada apa yang diajarkan Adam kepada Syits ialah Allah menetapkan 12 bulan dalam setahun. Al-Quran menjelaskan maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka jangan kamu menganiaya diri kamu pada bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa.” (Surah al-Taubah: ayat 36)

Bulan pada tahun Hijrah bermula dengan Muharam dan tahun Masihi bermula dengan Mac pada asalnya. Kedua-dua bulan ini berkaitan dengan perang. Nama Muharam diberikan orang Arab terdahulu kerana di dalamnya dilarang peperangan selepas pelaksanaan haji pada Zulhijjah. Sedangkan Mac adalah nama tuhan perang orang Rom.

Jika diperhatikan sejarah penamaan bulan dalam tradisi Masihi dan Hijrah dan tahun lain kita dapati semuanya menggunakan bulan sebagai asal pengiraan masa. Pada mulanya bulan pada tahun Masihi hanya 10 bermula dari Mac hingga Disember yang bermakna bulan ke-10.

Mereka menambah Januari dan Februari ke dalam kalendar kerana pada dua bulan tidak ada kegiatan kehidupan bermakna bulan berkenaan adalah musim sejuk.

Lain halnya dengan bulan pada Hijrah. Ia dari awal berjumlah 12 seperti diajarkan Syits dengan ketetapan Allah. Ketika orang Arab terdahulu hendak menamakan bulan, mereka sepakat awal tahun dimulakan selepas selesainya pelaksanaan haji pada Zulhijjah supaya mudah diingati kerana ibadah itu adalah penyatuan bangsa Arab yang mengikuti ajaran Nabi Ibrahim.

Selepas menentukan bahawa permulaan bulan adalah dengan melihat anak bulan, mereka sepakat menamakan bulan pertama dengan Muharam kerana bersetuju untuk tidak berperang pada bulan itu. Ketika ruyat hilal bulan kedua mereka melihat cuaca cerah maka, mereka menamakannya dengan Safar yang bermakna kuning atau kosong.

Bulan berikutnya dinamakan Rabi kerana mereka mendapati keadaan alam berbunga dan berlanjutan pada bulan berikutnya, maka Rabi ada dua yakni Rabiulawal dan Rabiulakhir. Selepas musim bunga datang pula musim sejuk yang membekukan bumi Arab, maka dinamakan bulan berikutnya Jamad yang ertinya beku.

Ia sama dengan musim bunga selama dua bulan maka dinamakan Jamadilawal dan Jamadilakhir. Musim beku habis, maka datang musim penghormatan kepada suku paling terhormat di kalangan orang Arab iaitu bani Mudhr yang menghormati Rajab sebagai bulan tidak dibenarkan perang.

Rajab dijadikan ungkapan bahasa Arab berbunyi 'Isy rajaban tara ‘ajaban atau ‘hiduplah dari Rajab ke Rajab lagi maka engkau akan melihat pelbagai keajaiban’. Selepas penghormatan diberikan kepada suku Mudhr, akhirnya mereka berpecah dan menamakan bulan berpecah untuk berperang atau mencari air untuk persiapan bulan berikutnya dengan Syaaban. Selepas Syaaban datang Ramadan kerana ketika itu musim panas.

Selepas musim panas berlalu, mereka memerhatikan bulan itu banyak unta bunting maka dinamakan bulan itu Syawal. Bulan ke-11 adalah Zulkaedah yang bermakna duduk. Ia dinamakan demikian kerana orang Arab bersiap menunaikan ibadah haji pada bulan berikutnya.

Mereka dilarang berperang pada bulan ini dan bulan ke-12 iaitu Zulhijjah kerana haji berlangsung sepanjang bulan. Inilah ringkasan sejarah penamaan bulan orang Arab terdahulu yang kemudian dijadikan takwim Hijrah oleh Saidina Umar ketika pemerintahannya antara 12 hingga 20 Hijrah.

Seandainya kita memahami kepentingan masa dalam hidup, maka kita akan sependapat dengan Imam Ibnul Jauzi yang ketika diajak temannya: “Marilah kita sejenak bersembang santai.” Beliau menjawab: “Kalau begitu, hentikanlah matahari untuk sementara waktu.”

Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-Khattab ketika beliau memegang jawatan khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah.

Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada mencadangkan tarikh kelahiran Rasulullah SAW, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada mencadangkan tahun kewafatan Baginda.

Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui Saidina Umar memandangkan hijrah adalah peristiwa terpenting antara peristiwa lain, seperti mana katanya: “Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah SAW kerana hijrahnya itu adalah perbezaan antara yang benar dengan yang batal.”  

Pendapat itu disokong oleh Saidina Ali. Sebenarnya, wujud jalinan antara perkiraan tahun masihi dan hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut peredaran matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari).

Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-Syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai.

Sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu.

Dalam setahun, Takwim Hijriah mempunyai 354 atau 355(354.36) hari, iaitu beza 10 atau 11 hari dari jumlah hari dalam kalendar Masihi. Setiap tahun, hari-hari kebesaran Islam dirayakan dalam musim yang berlainan. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun (satu pusingan lengkap). Tahun baru hijrah iaitu 1 Muharam disambut pada musim berlainan iaitu ia berganjak kehadapan sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun. 

Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk, tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.

No comments:

Post a Comment