Friday, 7 September 2018

TIADA ISTILAH SUNAT BERBOHONG


Bohong atau al-kazib ialah menyatakan tidak benar atau dusta mengenai sesuatu. Bohong juga berkaitan janji dusta. Berbohong perbuatan terkutut yang dilaknat Allah dan termasuk dosa besar melibatkan lidah. Amalan tersebut merupakan salah satu ciri orang munafik. 

Firman Allah bermaksud: “Bahawa orang-orang yang suka melakukan pembohongan adalah orang tidak beriman kepada Allah, mereka itulah pendusta.” - (Surah an-Nahl, ayat 105).

Jelas sekali, sesiapa berbohong bemakna keimannya masih tidak sempurna biarpun dirinya mengaku beriman kepada Allah.

Sesiapa berbuat bohong adalah layak ditimpakan laknat daripada Allah. Tiada keberkatan dan rahmat Allah kepada pembohong. Firman Allah bermaksud: “Agar laknat Allah itu ditimpakan kepada orang-orang yang berbohong.” - (Surah Ali Imran, ayat 61).

Justeru, berhati-hati dalam percakapan. Banyak bercakap mungkin ada perkataan yang bersifat bohong. Ada orang berbohong kerana ini kelihatan dirinya hebat atau ingin menutup kelemahan diri.

Orang akan berbohong apabila terdesak dalam sesuatu keadaan. Contohnya, apabila melakukan kesalahan, akan berlaku pembohongan untuk memberi alasan mengapa perbuatan salah itu dilakukan atau berlaku.

Orang suka berbohong sebenarnya memantingkan diri sendiri. Dia tidak fikir kesan dia berbohong asalkan dia mendapat apa yang diingini. Janji untuk melakukan sesuatu biarpun diketahui tidak mampu dilakukan merupakan antara sikap pembohongan atau penipuan yang nyata. Sikap ini banyak berlaku di kalangan masyarakat sekarang yang menjadi punca kepada konflik dalam hubungan sesama rakan.

Berhati-hatilah dalam berjanji kerana takut nanti menjadi satu pembohongan yang nyata. Berjanji dengan niat untuk memungkiri janji itu adalah sifat orang munafik.

Semua pembohongan atau penipuan diharamkan, melainkan atas dasar terpaksa. Islam membenarkan dilakukan perbuatan pada asalnya diharamkan, dilakukan dalam keadaan terpaksa bagi mengelak daripada keburukan.

Firman Allah dalam surah al-Anam, ayat 119 bermaksud: “Sedang Dia (Allah) telah jelaskan kepada kamu apa-apa yang diharamkan-Nya ke atas kamu, kecuali apabila yang terpaksa.”

Islam mengharuskan berdusta semata-mata untuk tujuan kebaikan. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah termasuk pendusta, orang yang berusaha mendamaikan perselisihan antara manusia, dan menghasilkan yang baik.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis diriwayatkan Muslim dari Ummu Kaltsum menjelaskan beliau (Kaltsum) belum pernah mendengar adanya keringanan (diharuskan) dalam hal pendustaan biarpun sedikitpun, kecuali dalam tiga perkara iaitu dalam hal peperangan, mewujudkan perdamaian dalam masyarakat dan hubungan rumahtangga untuk mengekalkan kebahagiaan.

Pembohongan dalam peperangan dibenarkan kerana ia strategi untuk memenangi peperangan. Rasulullah merupakan panglima perang yang bijak merancang strategi. Contohnya, dalam usaha menguasai kota Makkah pada tahun kelapan Hijrah, baginda melakukan tipu muslihat paling berkesan.

Ketika Rasulullah memimpin angkatan perang menuju ke Makkah, baginda tidak menggaunakan jalan biasa menuju ke Makkah. Sebab itu, puak Musyrikin di Makkah tidak menduga angkatan perang itu menuju ke Makkah. Mereka hanya mengetahui apabila angkatan perang telah berada berhampiran kota. 

Ketika bemalam di luar kota, tentera Islam memasang sekian banyak unggun api bagi mengelirukan musuh jumlah sebenar tentera Islam. Puak musyrikin yang mengintip kekuatan tenterta Islam menyangka jumlahnya mungkin mencecah lebih tiga atau empat puluh ribu orang, sedangkan jumlah sebenarnya hanya 10,000 orang. 

Disebabkan terlalu yakin jumlah tentera Islam terlalu ramai dan tiada persiapan perang di pihak Musyrikin, maka pihak Musyrikin telah mengaku kalah dan membiarkan tentera Islam menguasai kota Makkah dengan mudah. 

Dalam peperangan Khandak, Rasulullah menggunakan Naeem bin Masud al-Ghatfani untuk memecah belahkan kesatuan pihak musuh dengan menyebarkan berita palsu. 

Pembohongan Naeem ternyata berjaya melemahkan kekuatan tentera musuh apabila wujud perasaan curiga tentang kesetiaan pakataan. Kedudukan musuh yang tidak bersatu memudahkan tentera Islam memenangi peperangan tersebut. 

Situasi diharuskan berbohong berkaitan kepentingan masyarakat ialah menyatakan sesuatu yang difikirkan akan mendatangkan kebaikan bersama. Kita diharuskan berbohong sebagai mengelak berlaku perkara tidak diingini.

Umpamanya, kita mendengar individu atau kumpulan mengatakan perihal keburukan individu atau kumpulan lain yang sememangnya kita mengetahuinya betul. Untuk mengelak cakap-cakap itu merebak dan kemungkinan berlaku persengketaan, maka harus kita berbohong bahawa apa diperkatakan itu tidak benar. 

Sebagai orang tengah dalam pertelingkahan kita tersempit dengan desakan pihak ingin mengetahui perkara diperkatakan pihak berlawanan. Kita mengetahui tentang kata-kata buruk dilempar kedua-dua pihak. Dalam hal ini, kita harus berbohong mengatakan kedua-duanya tidak mengatakan perihal keburukan. 

Ibu bapa perlu menjauhkan kebiasaan berjanji bohong kepada anak-anak. Ibu bapa biasa berjanji sebagai satu cara memujuk anak. Dalam keadaan terdesak, keharusan berjanji bohong masih boleh diterima pakai.

Tetapi, jika setiap kali berjanji terkandung maksud bohong, ia satu perbuatan keji.  Dalam kes berjanji bohong dilakukan ibu bapa terhadap anak-anak, perbuatan tersebut seperti mendidik anak bersifat bohong.

Amat penting bagi ibu bapa mendidik anak agar menjauhi sifat berbohong.  Didikan paling berkesan agar anak tidak berbohong ialah ibu bapa sendiri tidak berbohong. Menakut-nakutkan anak dengan sesuatu yang tidak wujud juga satu pembohongan.

No comments:

Post a Comment