Ada yang bertanya adakah orang kaya boleh
menerima zakat, sedangkan zakat diperuntukkan untuk orang miskin. Tidak
dinafikan, itu adalah tanggapan umum yang mengaitkan zakat dengan fakir dan
miskin.
Hakikatnya,
daripada jumlah lapan asnaf zakat, hanya dua asnaf disyaratkan miskin, iaitu
fakir dan miskin. Bagi hamba sahaya, mereka bukan miskin melainkan mereka asnaf
istimewa, justeru diri mereka adalah milik tuannya
Dalam
Islam, hamba hendaklah dilayani dengan santun dan kebajikannya dipelihara oleh
tuannya. Mereka memang tiada harta, tetapi kebajikan mereka terjaga, justeru
mereka adalah milik tuannya yang kaya. Hamba ini hanya diberikan zakat apabila
tuannya menawarkan pembebasan kepadanya.
Lima
lagi asnaf zakat iaitu amil, mualaf, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil,
tidaklah disyaratkan miskin ke atas mereka. Walaupun begitu, pastilah dalam
tatacara pengagihan zakat, hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin,
justeru mereka inilah yang paling layak diraikan dalam agihan zakat sesuai
dengan saranan dianjurkan Rasulullah SAW.
Mungkin
ada yang berhujah, bukankah ulama fikah menegah zakat diberikan kepada orang
kaya. Dalilnya, iaitu saat Nabi Muhammad SAW mengutuskan Muadz bin Jabal ke
Yaman, maka Nabi berpesan: Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang kaya dan
diagihkan kepada orang miskin dalam kalangan mereka. (Riwayat Bukhari)
Namun,
kita mesti melihatnya secara objektif dan jelas. Fuqaha, Dr Abdullah Nashih
Ulwan menyatakan, orang kaya itu ditegah daripada mendapat agihan zakat, namun,
apa yang dimaksudkan dengan tegahan itu ialah jika diambil harta zakat itu
daripada bahagian (asnaf) fakir dan miskin lalu diberikan kepada orang kaya.
Jika diambil daripada asnaf lain seperti asnaf fisabilillah, maka tidaklah
disyaratkan penerimanya seorang yang miskin.
Sehubungan
itu, amalan zakat di Malaysia, setiap orang Islam boleh mendapat bantuan zakat
walaupun mereka tidak miskin. Contohnya, untuk kes hutang rawatan dan membantu
melanjutkan pendidikan. Mereka dibantu atas nama asnaf fisabilillah, asnaf
gharimin (berhutang) atau asnaf lain yang sesuai, bukan atas sifat
kemiskinannya.
Mungkin
ada pihak berhujah, Nabi SAW pernah menolak untuk memberikan zakat kepada orang
kaya, seperti diriwayatkan dalam hadis: Tidak ada bahagian zakat bagi seorang
yang kaya dan seorang kuat yang mampu berkerja, (Riwayat Abu Daud)
Bagaimanapun,
Nabi Muhammad SAW juga membuat pengecualian bahawa zakat masih boleh diberikan
kepada orang kaya jika mereka memerlukan zakat, sesuai dengan keadaan diri
mereka iaitu tidak sampai berlebih-lebihan serta mengabaikan hak fakir dan
miskin.
Diriwayatkan
oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda: Zakat
tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan iaitu amil; orang yang
memberi zakat dengan hartanya sendiri (mualaf); orang yang ikut berperang di
jalan Allah SWT; orang yang berhutang dan orang miskin yang menerima zakat
daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkannya kembali kepada orang
kaya itu.
Imam
Syafie dan Hambali menyatakan, dalil di atas membolehkan lima golongan kaya ini
menerima zakat demi kemaslahatan mereka. Amil, diberikan zakat sebagai imbuhan
sesuai dengan usaha dan kerja keras mereka menguruskan zakat dan asnaf lainnya.
Mualaf boleh mendapat zakat, bertujuan melunakkan hatinya supaya lebih
mendekati Islam dan dengannya ia mampu menarik lebih ramai kepada Islam.
Orang
yang ikut berperang diberi zakat kerana itu adalah tugas mulia di jalan Allah
SWT (fisabilillah) dan mereka tidak lagi sempat mencari rezeki. Ia dikiaskan
kepada pencari ilmu, sehingga melayakkan mereka menerima zakat atas nama
fisabilillah.
Orang
yang berhutang (gharimin) pula dibantu demi meringankan beban dan mengelakkan
mereka menjadi fakir kerana hutangnya. Orang yang dipulangkan zakatnya sebagai
hadiah, sudah pasti lebih berhak menikmatinya kerana namanya pun bukan lagi
zakat, tetapi hadiah.
Kesimpulannya,
golongan kaya masih boleh menerima bantuan zakat jika mereka termasuk dalam
kategori diizinkan ini. Bagaimanapun, dalam konteks amalan semasa sudah
pastilah golongan fakir dan miskin lebih diutamakan, manakala kesemua asnaf
lain masih tertakluk kepada tatacara agihan zakat, sesuai dengan apa yang telah
diputuskan Majlis Fatwa.
No comments:
Post a Comment