Perniagaan
dikategori di bawah kaedah fikah muamalat. Seperti juga urusan lain, perniagaan
terikat kepada peraturan yang ketat untuk memastikan ia membawa kebaikan dan
mengelak berlaku penindasan dan penipuan. Islam menetapkan garis panduan
berkaitan perniagaan halal dan haram.
Perniagaan
merujuk kepada pertukaran manfaat antara dua atau lebih pihak dalam sesuatu
urusniaga. Pertukaran itu mungkin dalam bentuk wang dengan barang, perkhidmatan
fizikal (pengangkutan, hotel dan sebagainya) dan perkhidmatan kepakaran
(peguam, kaunselor, doktor dan sebagainya). Wujud juga pertukaran wang dengan
wang dan barang dengan barang.
Konsep
perniagaan yang berteraskan Islam akan membentuk prinsip keadilan serta
nilai-nilai murni yang positif. Peniaga dan pembeli mesti berpegang kepada
konsep mencari kebaikan di dunia dan akhirat dalam urusniaga yang
terlibat.
Kejujuran
amat penting bagi mengelak berlaku penindasan. Islam menolak sistem yang
membenarkan peniaga memperoleh keuntungan berlebihan yang nyata memberi
keburukan kepada pengguna seperti yang diamalkan dalam sistem ekonomi
kapitalis.
Dalam
al-Quran diceritakan mengenai Nabi Syuaib menasihatkan kaum peniaga di Madyan
yang gemar menindas melalui penipuan dalam berjual beli.
Firman
Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata
daripada Tuhanmu. Lalu sempurnakanlah takaran dan timbangan dan jangan kamu
kurangi barang-barang takaran dan timbagan bagi manusia.” (Surah al-Araaf, ayat
85).
Peniaga
mengharapkan keuntungan kerana telah memperuntukan modal, kepakaran, fikiran,
tenaga dan masa untuk tujuan itu. Namun ia perlu mengikut landasan yang adil
dan tidak bercanggah dengan syariat.
Sesungguhnya
antara pembeli dan peniaga saling memerlukan. Tiada peniaga tanpa pembeli dan
tiada pembeli tanpa peniaga. Justeru, antara kedua-dua pihak perlu saling
menghormati, menjaga hubungan baik dan memahami keperluan antara satu sama
lain.
Untuk
kedua-dua pihak mendapat kebaikan, urusniaga perlu berjalan dalam suasana
harmoni, selesa, selamat, berterusan dan memenuhi keperluan. Sebaliknya, sebarang
bentuk kezaliman dan penindasan dalam perniagaan mesti diperangi.
Dalam
ghairah mencari keuntungan inilah wujud peniaga yang tidak amanah. Sikap tamak
dan tidak ada kasihan belas menguasai sesetengah peniaga pada musim perayaan. Waktu
itu dianggap masa terbaik untuk mengaut sebanyak mungin keuntungan, biarpun
dengan cara batil.
Ketika
keadaan semakin suntuk, pengguna tidak ada banyak pilihan dan ruang masa.
Kesempatan ini diambil oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab untuk menipu an
menindas pembeli.
Perbuatan
itu sebenarnya bukan sahaja pengguna menjadi mangsa, bahkan peniaga sendiri
terdedah kepada kerugian. Pengguna juga kadangkala bijak menipu peniaga. Banyak
peniaga menjalankan sewabeli atau bayar kali menanggung kerugian apabila
pembeli tidak melunaskan bayaran biarpun telah mendapat barang atau menggunakan
perkhidmatan.
Etika
utama yang patut diamalkan oleh peniaga ialah jujur, amanah dan ikhlas. Mereka
adalah sebahagian daripada golongan yang berjihad ke jalan Allah dengan
menyediakan keperluan kepada masyarakat. Peniaga sedemikian mendapat keuntungan
dari perniagannya di dunia dan akhirat.
Sabda
Nabi Muhammad bermaksud: “Peniaga yang jujur akan bersama-sama para nabi,
siddiqin dan golongan mati syahid.” (Hadis riwayat Hakim dan Tirmizi).
Sebaliknya,
terdapat banyak peniaga yang melanggar etika, menjalankan perniagaan yang
terkeluar daripada landasan ditetapkan Islam. Apa yang dilakukan mendapat
keuntungan secara batil dan dusta.
Peniaga
tidak beretika mengambil peluang mendapat keuntungan lebih tinggi dengan
menindas pembeli. Pembeli yang terdesak memerlukan barangan atau perkhidmatan
terpaksa membayar lebih biarpun mengetahui harga sepatutnya lebih rendah
daripada itu.
Selain
itu banyak barang dan perkhidmatan yang disediakan tidak berkualiti, sedangkan
harga yang ditetapkan masih tinggi. Paling malang jika ia melibatkan
keselamatan pembeli. Kercunan makanan yang tamat tempoh sering berlaku. Begitu
juga dengan peralatan elektrik yang tidak ada pengesahan kualiti oleh pihak
berkuasa yang berkenaan.
Sikap
pengguna yang sanggup bertolak ansur dalam perkara ini menyebabkan peniaga
mengambil kesempatan menindas pembeli. Pengguna sepatutnya sanggup untuk
memulau peniaga yang tidak jujur. Pendidikan kepenggunaan perlu diterapkan di
kalangan anggota masyarakat agar tidak menjadi mangsa peniaga tamak.
Kenaikan
harga terlampau tinggi tanpa alasan munasabah menyalahi kontrak sosial atau
hubungan baik antara peniaga dengan pembeli. Peniaga merasakan dirinya berkuasa
penuh menentukan apa yang diingini dan menafikan hak pengguna serta hukum
agama.
Dalam
istilah perniagaan, sikap peniaga menaikkan harga sesuka hati atau
memperdayakan pembeli dengan harga lebih tinggi dipanggil manipulasi harga.
Peniaga mewujudkan keadaan cemas pengguna dengan mengurangkan penawaran dengan
harapan agar harga meningkat dan pengguna pula sanggup membayarnya.
Keadaan
manipulasi harga biasanya berlaku ketika musim perayaan. Ketika itu permintaan
meningkat berkaliganda sedangkan penawaran tidak bertambah selari dengan
permintaan.
Keadaan
menjadi lebih parah apabila peniaga menyorokkan barang-barang keperluan untuk
mengaut keuntungan apabila pengumuman kenaikan harga atau pengguna sanggup
membayar lebih.
Ada
pihak cuba meraih untung atas angin dengan cara menawarkan perkhidmatan yang
sebenarnya tidak wujud. Paling banyak yang menjadi mangsa ialah penumpang bas
ekspres. Penumpang menanggung kerugian membayar tiket yang tidak ada
perkhidmatan dan tidak dapat pulang ke kampung halaman.
Islam
amat menitikberatkan soal manfaat untuk semua. Tidak ada pihak yang boleh
menindas mana-mana pihak lain biar dengan apa alasan sekalipun. Keuntungan
dunia hanya sementara.
Semakin
besar keuntungan yang diperoleh, semakin besar juga sifat tamak di hati para
peniaga yang dilalaikan hati mereka daripada mematuhi tuntutan syariat. Mereka
bertindak melakukan perbuatan ditegah agama untuk mendapat keuntungan
lebih.
Peniaga
berhak menaikkan harga jika kos modal meningkat. Kenaikan itu hendaklah setara
dengan kenaikan kos modal. Kos modal barangan bergantung kepada banyak faktor
seperti tingkat upah, barang mentah, cukai dan sewa.
Pembeli
sudah pasti dapat menerima hakikat dan bersedia membayar lebih bagi mendapatkan
barang yang diingini jika mengetahui kenaikan harga itu berpunca kenaikan kos. Malah,
pembeli yang terdidik dengan isu kepengunaan memahami mengenai kenaikan indeks
harga pengguna atau inflasi yang menyebabkan mereka terpaksa membayar lebih
tinggi berbanding biasa.
Sebarang
tindakan peniaga yang menyalahi undang-undang perlu dilaporkan kepada pihak
berkuasa. Ini juga termasuk dalam dakwah seruan ‘amar makruf dan nahi mungkar’
untuk kepenting bersama.
No comments:
Post a Comment