Tuesday, 23 October 2018

MENGAPA MAKANAN SEGERA DIGEMARI

Rakyat di negara kita tidak asing lagi dengan makanan segera. Menu burger, ayam goreng, pizza, sosej, keju, steak, chips dan sebagainya sudah menjadi sebahagian hidangan utama golongan tertentu.  

Dahulu makanan segera hanya dinikmati golongan kaya dan yang tinggal di bandar, yang hanya boleh didapati di restoran mewah. Bagaimanapun, sekarang ini makanan segera seperti burger dapat dibeli di gerai kecil di tepi jalan dengan harga murah. 
 
Selain itu restoran makanan segera berjenama juga telah memperluaskan operasi perniagaan ke bandar-bandar kecil di seluruh negara.

Beberapa jenama makanan segera dari luar negara telah menguasai pasaran dan menjadi sebutan ramai. Apabila disebut makanan segera seperti ayam goreng dan burger, maka terbayanglah jenama terkenal yang sinonim dengan masyarakat kita. 

Pengaruh makanan segera amat besar sehingga kanak-kanak yang baru pandai bercakap sudah boleh menyebut nama jenama makanan segera yang terkenal. Malah, apabila melihat sahaja logo, warna dan wataknya, kanak-kanak sudah dapat mengenalinya. 

Resepi makanan segera berasal dari negara Barat. Sebab itu bahan utama membuat makanan segera kebanyakannya terdiri roti, daging lembu, ayam, kentang dan salad. Menu makanan tersebut sesuai dengan budaya dan cara hidup masyarakat di Barat. 

Perniagaan makanan segera berkembang ke seluruh dunia melalui sistem franchise. Melalui sistem itu, syarikat induk memberi hak menggunakan jenama, kepakaran, resipi dan keperluan lain kepada syarikat lain. 
 
Syarikat induk menerima bayaran royalti daripada syarikat pengguna jenamanya. Banyak syarikat makanan segera beroperasi di seluruh dunia melalui sistem franchise.

Restoran makanan segera yang pertama di negara kita ialah A & W yang dibuka pada tahun 1963 di Kuala Lumpur dan diikuti Ayam Goreng Kentucky (KFC) pada tahun 1972 di Petaling Jaya. Kedua-dua syarikat berasal dari Amerika Syarikat itu beroperasi hampir di semua negara di seluruh dunia.

Sejak dari itu, restoran makanan segera terus berkembang di negara kita. Bukan sahaja A & W dan KFC, bahkan beberapa jenama lain turut memulakan perniagaan. Malaysia adalah antara negara terawal yang menerima pengaruh makanan segera di Asia Tenggara. 

Terdapat beberapa sebab mengapa makanan segera amat diminati ramai di negara kita. Pertamanya ialah disebabkan pengaruh iklan yang meluas. 
 
Iklan makanan segera banyak disiarkan di media elektronik dan media cetak. Iklan makanan segera merupakan antara jenis iklan paling banyak menyumbang pendapatan iklan kepada stesyen televisyen.

Iklan banyak mempengaruhi pengguna membuat pilihan dan secara tidak sedar mereka ‘terikat’ dengan sesuatu jenama. Pengeluar makanan segera terpaksa membuat iklan secara besar-besaran memandangkan terdapat persaingan. Kos iklan sebenarnya ditanggung oleh pengguna melalui kenaikan harga jualan.  

Iklan juga bertujuan memecah ‘tembok’ pemikiran penduduk di negara kita tentang makanan segera yang secara total bertentangan dengan amalan biasa pemakanan rakyat di negara kita.

Tentulah sesuatu yang dianggap keterlaluan jika makan hidangan ayam goreng tanpa dimakan dengan nasi. Begitu juga dengan daging hancur yang dibentuk semula dimakan dengan roti, salad, keju dan sebagainya. 
 
Malah ada yang ragu-ragu hendak makan hot dog yang dikatakan mempunyai kandungan daging anjing berdasarkan perkataan ‘dog’ yang bermaksud anjing.

Iklan makanan segera di media elektronik menggambarkan betapa hebatnya dapat menikmati makanan segera. 
 
Keceriaan tidak terkata sehingga menjilat jari, perbuatan ekstrem, tanpa sedar dan impian fantastik banyak ditampilkan dalam iklan-iklan makanan segera di negara kita.

Tidak kurang juga iklan makanan segera menampilkan suasana hidup mewah dan gaya hidup moden. Satu gambaran hidup cukup ‘sempurna’ dan serba menjadi. Iklan seperti ini meletakkan satu status bagi sesiapa menikmati makanan segera.   

Iklan itu secara langsung mendorong seseorang untuk turut merasai status tersebut dengan hanya perlu membayar sejumlah wang dan menikmati hidangan yang lazat. 

Tidak dinafikan harga sesetegah makanan segera boleh dianggap murah dan menjimatkan untuk satu hidangan (untuk menu tertentu). Oleh itu ada orang berjimat dengan menjadikan makanan segera sebagai menu harian. Pendek kata, tidak membebankan biarpun banyak yang turut serta menikmatinya. 

Selain itu didapati majoriti iklan makanan segera menampilkan model kanak-kanak. Pendekatan itu dapat mempengaruhi kanak-kanak yang mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengari dilakukan oleh rakan sebaya. 

Kanak-kanak akan mengajak dan memujuk keluarga berkunjung ke restoran makanan segera berkenaan untuk menikmati dan mengalami sama apa yang dilihat di dalam iklan. 

Desakan kanak-kanak biasanya mudah dipenuhi oleh ibu bapa, terutama di kalangan keluarga yang mampu menunaikannya. Sekali merasa makanan segera jenama tertentu, kanak-kanak mudah terpikat dan ingin mengulanginya.  

Malah ibu bapa sering menjadikan ‘tawaran’ makan di restoran makanan segera sebagai hadiah, saat gembira, majlis keluarga dan sempena sambutan tertentu. Begitu besar sekali pengaruh makanan segera yang dianggap amat istimewa. 

Sebenarnya, makanan segera mudah memikat cita rasa rakyat negara kita kerana rasanya agak berbeza dengan rasa makanan tempatan. Resipinya dari luar negara tentulah rasanya lain daripada apa yang biasa dinikmati dengan makanan tempatan. 

Cita rasa yang berbeza mendorong ramai orang ingin mencubanya. Kata orang sekali sekala ingin mengubah selera dan menikmati makanan daripada Barat. 
 
Ternyata, setelah sekali mencuba ramai telah terpikat dan terus meminatinya. Banyak orang bukan lagi sekadar mengubah selera, tetapi bertukar menjadi selera utama.

Memandangkan restoran makanan segera menggunakan konsep franchise, ia mementingkan persamaan bagi seluruh cawangan. Setiap cawangan biarpun di bawah pemilik yang berlainan, tetapi mengamalkan satu standard yang sama.

Kawalan standard menjadi satu tarikan utama makanan segera jenama terkenal. Pergilah ke mana-mana cawangannya, semuanya kelihatan sama. Pelanggan tidak merasa ragu-ragu untuk menikmati suasana, rasa, kualiti, harga dan hampir keseluruhannya sama, termasuk pakaian staf, perhiasan dan sebagainya. 

Standard yang diperkenalkan dapat mengekalkan kesetiaan peminatnya biarpun di mana sahaja mereka berada. Mana-mana cawangan yang gagal memenuhi syarat tersebut akan dibatalkan hak menggunakan jenama dan kemudahan lain yang disediakan oleh syarikat induk.

Sambutan lebih baik penduduk di Malaysia terhadap makanan segera sejak akhir-akhir ini juga banyak bergantung kepada perubahan gaya hidup. Kebanyakan penduduk di bandar menghadapi masalah memilih restoran yang benar-benar memenuhi keperluan selera mereka. 

Oleh itu adalah lebih selesa memilih makanan segera. Harganya lebih berpatutan dan jaminan mutu yang berterusan. Keadaan restoran makanan segera juga selesa dan mudah dikenali melalui logo dan hiasan yang dipamerkan.

Selain itu faktor masa juga didapati menjadi sebab utama mengapa makanan segera menjadi pilihan kebanyakan orang. Menjamu selera di restoran biasanya mengambil masa lebih lama apabila perlu menunggu makanan dimasak. Sedangkan di restoran makanan segera pembeli tidak perlu menunggu masa lama untuk menikmatinya.

Tambahan pula kebanyakan restoran makanan segera beroperasi di dalam bangunan yang menempatkan pejabat, pusat membeli belah dan di tempat lain yang biasanya sukar untuk ditemui restoran masakan tempatan. 
 
Pelanggan tidak perlu menghabiskan masa untuk perjalanan ke restoran makanan segera yang berada dekat dengan mereka. 

Keistimewaan makanan segera juga mudah dibawa untuk dimakan di tempat lain. Makanan segera boleh di makan di dalam kenderaan, di pejabat, taman dan sebagainya. Hal ini menimbulkan rasa lebih selesa dan tidak terikat dengan cara makan hanya di meja makan sahaja.  

Masyarakat bandar sentiasa sibuk dengan tugas seharian. Masa amat penting bagi mereka. Menu makanan yang ringkas dan mudah dimakan menjadi pilihan mereka yang sentiasa sibuk.

Memilih makanan segera juga tidak perlu difikirkan soal kebersihan, rasa, mutu perkhidmatan, harga dan perkara-perkara lain. 
 
Di restoran makanan segera, semuanya sama di semua cawangan. Kita tidak akan berdepan dengan satu perkhidmatan yang tidak memuaskan, melainkan suatu keadaan yang di luar kawalan daripada kebiasaan.

No comments:

Post a Comment