Hijrah membawa pelbagai
pengertian. Pada pandangan lahiriah, hijrah akan diperkatakan setiap kali
diadakan sambutan Maal Hijrah. Banyak program tertentu diadakan di peringkat
kampung hinggalah kebangsaan sempena menyambut Tahun Baru Hijrah. Tanggal 1
Maharam diiystiharkan cuti umum di negara kita.
Dari sudut rohaniah,
hijrah sebenarnya berlaku sepanjang masa bagi mereka yang melakukan perubahan
dari keburukan kepada kebaikan dan daripada baik menjadi lebih baik. Perubahan
yang berlaku dijadikan penanda aras sama ada perjuangan untuk meletakkan diri
sebagai hamba-Nya yang lebih baik berjaya dilakukan atau sebaliknya.
Perkara ini berlaku jika
sentiasa melakukan muhasabah diri. Nilai dan perhatikan dalam diri dengan
ikhlas untuk mencari kebenaran apa yang telah dilakukan. Jika telah berjaya
melakukan perkara yang lebih baik, maka ditingkatkan lagi agar kebaikan itu
bertambah. Sebaliknya, jika prestasi hidup semakin buruk, terimalah ia dengan
satu azam untuk mengubahnya.
Mereka yang berusaha
berubah kepada kebaikan pasti akan berjaya jika dilakukan dengan
bersungguh-sungguh. Memang banyak halangan yang terpaksa dihadapi, tetapi itulah
hakikat yang terpaksa diterima jika kita benar-benar ikhlas melakukan kebaikan
itu kerana perintah Allah.
Sesuatu kebaikan yang
dilakukan pasti ada kesan kebaikannya biarpun tidak mencapai sepenuhnya apa
yang diharapkan. Sebab itu kita tidak boleh berputus asa. Allah tetap memberi
ganjaran kebaikan biarpun apa yang dilakukan tidak berjaya. Setiap niat melakukan
kebaikan dan tindakan yang dilakukan tetap dinilai sebagai pahala.
Jadi, mengapa kita perlu
bersedih atau ingin berhenti daripada terus berusaha hanya disebabkan tidak
berjaya? Matlamat hidup kita bukan setakat ingin melihat kejayaan, tetapi lebih
penting ialah mendapat balasan kebaikan. Itulah bekalan yang akan dibawa ke
alam akhirat nanti.
Sepatutnya kita semakin
bersemangat untuk berusaha setiap kali berdepan dengan kegagalan. Anggaplah
kegagalan itu sebagai permulaan kepada kejayaan dan bukannya sebagai penamat
usaha. Menerima kegagalan itu adalah lebih baik daripada tidak pernah berusaha.
Allah berfirman yang
maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu
kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri"
(Surah ar- Ra'd: 11)
Dalam konteks pembinaan ummah, roh hijrah adalah suatu keutamaan. Kegagalan umat Islam bukan kerana ditakdirkan, tetapi
satu keadaan yang berpunca kelemahan diri sendiri. Sebab itu, usaha
bersungguh-sungguh perlu dilakukan secara bersistematik, berterusan dan betul
pendekatannya.
Tamadun Islam tidak
dapat dibina semula hanya bersandarkan slogan indah atau retorik manis
semata-mata. Sejarah lalu sepatutnya dijadikan pengajaran bagimana untuk mengulanginya.
Maksudnya, umat Islam juga boleh berjaya sepertimana telah dilakukan umat
terdulu.
Jika kita mengkaji
kejayaan tamadun Islam, perkara paling jelas yang membawa kepada kejayaan ialah
semangat jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen jitu yang berteraskan
kepada takwa semata-mata memenuhi tuntutan agama.
Umat Islam wajar menjadikan peristiwa
hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah sebagai pengajaran. Detik hijrah
diingati sebagai garisan permulaan kepada kejayaan gemilang penyebaran dakwah
Islamiah. Selepas hijrah Rasulullah, Islam dapat disebarkan dengan lebih mudah
di Madinah berbanding di Makkah, dan bermulalah tamadun Islam yang berjaya
menguasai seluruh tanah Arab dan tersebar ke seluruh pelusuk dunia.
Walaupun tidak lagi berhijrah tempat
tinggal seperti dilakukan Rasulullah dan para sahabat, masih banyak konsep
hijrah yang perlu dilakukan. Hijrah yang dituntut sekarang ialah meninggalkan
keburukan, berusaha mencapai sesuatu yang lebih baik dan berusaha mendapat
kejayaan.
Rasulullah bersabda bermaksud:
“Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang
oleh Allah ke atasnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Ajaran Islam sentiasa mementingkan
usaha menuju kebaikan dan kejayaan. Apa yang dilarang oleh Allah bermakna ia
perbuatan mendatangkan keburukan dan membawa kepada kegagalan hidup. Kita perlu
berhijrah meninggalkan semua yang dilarang dan melakukan apa yang disuruh.
Justeru, berhijrah adalah sebahagian
daripada melaksanakan misi ketakwaan. Berhijrah adalah satu perintah yang perlu
dilakukan sepanjang masa. Sesiapa yang mengharapkan kehidupan lebih baik di
dunia dan akhirat, tidak dapat tidak mesti berhijrah setiap masa.
Konsep hubungan hijrah dan kejayaan
mendapat rahmat Allah disebut dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 218
bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di
jalan Allah (fisabilillah), mereka itulah yang boleh mengharap (mendapat)
rahmat dari-Nya.”
Untuk mencapai apa jua kejayaan
memerlukan pengorbanan. Sesuatu pengorbanan tidak semestinya membuahkan
kejayaan dalam tempoh masa singkat. Adakalanya pengorbanan itu perlu dilakukan
berulang-ulang setelah menempuh kegagalan sebelum mencapai apa yang diimpikan.
No comments:
Post a Comment