Ketika penjajahan
Jepun di Tanah Melayu, penggerak fahaman komunis menubuhkan Malayan Peoples
Anti Japanese Army (MPAJA) dan berkerjasama dengan British.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, ahli
MPAJA diarahkan menyerahkan senjata kepada kerajaan yang kembali mentadbir
negara. Namun, sebilangan ahli MPAJA tidak berpuas hati dengan arahan tersebut
dan membantah British yang kembali menguasai negara.
MPAJA dibubarkan, namun ahli yang
membantah British kembali berkuasa menjadikan PKM sebagai landasan untuk terus
memperjuangkan perjuangan mereka. Mereka telah mengundurkan diri dan
bersembunyi di hutan-hutan dan menghasut rakyat menentang pemerintahan
British.
Beberapa kejadian pembunuhan terhadap
rakyat serta menyerang dan merosakkan ladang-ladang getah, membakar bas dan
kenderaan yang telah dilakukan oleh kumpulan ini dengan
sewenang-wenangnya. Kerajaan British terpaksa mengistiharkan keadaan
Darurat diseluruh negara pada 8 Jun 1948.
Semasa Darurat diistiharkan Askar
Melayu hanya berkekuatan 3 batalion. Mereka telah berjuang menentang pengganas
komunis bersama Tentera British, Komanwel dan pasukan Polis. Askar Melayu
telah diperbesarkan meningkat kepada 7 batalion sehingga tahun 1956. Dalam
jangkamasa yang sama Kor Peninjau (Armor) dan Rejimen Semboyan telah
ditubuhkan. Dengan penubuhan dua pasukan baru ini perkembangan Tentera
Darat bertukar corak dengan memberi kesempatan kepada bangsa-bangsa bukan
Melayu berganding bahu bersama mempertahankan negara.
Kemudian Rejimen Jurutera ditubuhkan
diikuti dengan Kor Polis Tentera. Dengan bertambahnya anggota Tentera
Darat, kejayaan demi kejayaan dalam menghapuskan pengganas komunis telah
tercapai. Akhirnya dalam tahun 1960 Darurat diistiharkan tamat.
Perjuangan
komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan. Mereka
hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Sebab
itu, biarpun negara telah mencapai kemerdekaan, PKM terus menentang kerajaan dan
terus membuat onar yang menyebabkan darurat terus dikuatkuasakan sehingga tahun
1960.
Perjuangan
PKM mendapat sokongan orang Cina dan sebilangan orang Melayu. Antara tokoh
komunis di kalangan orang Melayu ialah Samsiah Fakeh dan Abdullah CD. Namun, secara keseluruhan perjuangan PKM tidak mendapat sambutan rakyat.
Akibat
kesukaran dan kekurangan sokongan daripada masyarakat, Setiausaha Agung PKM, Chin
Peng telah meminta perundingan diadakan pada 1955. Rundingan Baling diadakan
di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada 1955.
Bapa
Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima
syarat pembubaran PKM dan menolak menyertai pilihan raya melalui parti lain
sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan
bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.
Chin
Peng kembali ke dalam hutan dan melakukan keganasan. PKM terus menyebarkan
propaganda agar rakyat membenci usaha untuk mencapai kemerdekaan. Sepanjang
keganasan dilakukan oleh PKM, seramai 2,083 anggota keselamatan negara
terkorban dan mencacatkan 3,541 anggota lain manakala sebanyak 2,588 orang awam
pula dibunuh dengan 1,490 yang lain cedera.
Setelah
komunis runtuh di Rusia dan runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur pada 1989,
PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara kerajaan Malaysia, kerajaan
Thailand dengan PKM ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini
dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.
Setelah
1989 tidak ada lagi perjuangan bersenjata. Ahli PKM diterima sebagai
warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia dengan syarat membuat
permohonan. Namun Chin Peng tidak membuat permohonan kembali ke Malaysia dalam
tempoh yang ditetapkan.
No comments:
Post a Comment