Perjuangan mencapai
kemerdekaan biarpun dicatatkan dalam sejarah dilakukan dengan rundingan tanpa
pertumpahan darah, namun sejarah yang panjang sebelum itu telah terpahat nama
tokoh terbilang yang berjuang menentang penjajah secara kekuatan.
Jika disorot, pasti ramai di antara anak kita yang tidak
mengetahui nama terbilang seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Abdul
Rahman Limbong, Dol Said, Rentap dan ramai lagi kerana saban hari mereka
disogokkan dengan cerita hero khayalan seperti Spiderman atau Superman yang
lebih menyeronokkan.
Bagi tatapan generasi kini, elok jika diimbau sedikit perjuangan
Mat Kilau, seorang tokoh pejuang yang unggul di negeri Pahang. Beliau terkenal
dengan keberanian dan kegagahannya melancarkan gerakan penentangan (1891-1895)
kerana membantah campur tangan British dalam urusan pentadbiran Pahang.
Beliau membantah pelaksanaan sistem Residen yang mengurangkan
kuasa Sultan dalam hal-ehwal pentadbiran, sekali gus mengetepikan peranan
pembesar tempatan serta kesejahteraan rakyat. Dalam strategi awal
penentangannya, Mat Kilau mengarahkan pengikutnya memotong talian telegraf bagi
menyukarkan dan memutuskan perhubungan antara pegawai pentadbir British.
Bagaimanapun, perbuatan
ini dapat dikesan pihak British. Pihak British pula cuba memujuk
Mat Kilau agar bekerjasama dengan mereka, namun ditolak oleh Mat Kilau.
Keengganan Mat Kilau bekerjasama dijadikan alasan oleh British menangkapnya.
Dengan ini gerakan memburu Mat Kilau serta pengikutnya mula dilancarkan.
Perjuangan dan ketokohan Mat Kilau ini dapat dilihat daripada
kesungguhan dan kesanggupan beliau berjuang berterusan menentang British
walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Beliau menyedari Sultan yang berada di
bawah pengaruh dan telunjuk British tidak mungkin memberi sokongan kepada usaha
penentangan itu.
Ini ditambah pula dengan ada beberapa pembesar dan orang tempatan
sendiri yang sanggup berpihak kepada British dengan menyalurkan maklumat dan
menyertai gerakan memburu beliau dan pengikutnya. Mat Kilau juga menyedari
bahawa segala alatan senjata tradisi dan jumlah kecil senjata yang digunakan
oleh pengikutnya, sukar menandingi senjata moden digunakan askar upahan
British.
Gerakan penentangan yang tidak bersepadu ditambah dengan jumlah
pengikut yang tidak ramai, menyukarkan lagi peluang mereka mengalahkan dan
menghalau British dari bumi Pahang. Namun Mat Kilau tetap meneruskan
perjuangannya habis-habisan sehingga kampung tempat tinggalnya, iaitu Kampung
Budu, dibakar British.
Penentangan Mat Kilau walaupun tidak berjaya menyekat kemaraan
British, setidak-tidaknya dapat menyedarkan pihak British agar tidak memandang
remeh terhadap keupayaan rakyat tempatan yang memiliki kekuatan tersendiri
seperti ditonjolkan oleh Mat Kilau.
Berdasarkan kepada sumber rasmi di Arkib Negara Malaysia, pihak
pentadbir British terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk
mendapatkan khidmat tambahan polis Sikh bagi membantu memerangi kumpulan
penentang (ada hampir 200 fail dalam simpanan Arkib Negara berkaitan Mat Kilau
dan pergolakan di Pahang yang boleh dirujuk).
Perbelanjaan tambahan juga diperlukan untuk mendirikan kubu
pertahanan, jambatan dan menyediakan peralatan senjata selain membiayai
ekspedisi memburu penentang berkenaan. Perkara ini jelas menunjukkan betapa
besar ancaman dan tekanan dihadapi pihak British, walaupun kumpulan penentang
ini terdiri daripada orang kampung yang tidak terlatih.
Malah, mereka ini tidak memiliki senjata canggih untuk menandingi
senapang dan polis upahan British, sebaliknya hanya berbekalkan semangat juang
yang tinggi dan kecintaan kepada negara yang tidak berbelah bagi.
No comments:
Post a Comment