Tuesday, 23 October 2018

SUMBER MAKANAN TENTUKAN IBADAT


Pemilihan makanan halal perlu diberi perhatian. Perkara ini penting memandangkan banyak makanan dihasilkan oleh pengusaha bukan Islam. Kemungkinan termakan makanan haram disebabkan bercampur kandungan haram seperti sumber daripada babi atau cara penyembelihan tidak mematuhi syariat, agak besar jika kita tidak berhati-hati.

Tidak haram makan makanan dihasilkan pengusaha bukan Islam jika dipastikan bahannya halal dan disediakan mengikut kehendak Islam. Namun, lebih baik jika umat Islam mengutamakan makanan disediakan orang Islam untuk mengelak keraguan. Memastikan yang halal wajib diusahakan.

Firman Allah bermaksud: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyambah-Nya semata-mata.”  (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Makanan haram memberi kesan besar kepada kehidupan muslim terutama dalam mempengaruhi jiwa dan minda. Jasad yang terbina daripada makanan haram akan mendorong melakukan perbuatan durhaka kepada Allah. Sifat-sifat buruk seperti tamak, hasad, malas melakukan ibadat dan cintakan kehidupan dunia lebih cenderung dilakukan oleh mereka yang hidupnya menggunakan makanan haram.

Seorang ulama, Sheikh Ali Syazali ada menyebut: "Sesiapa memakan benda yang halal, maka hatinya menjadi lunak, tipis dan bersinar, sedikit tidurnya dan tidak terhalang daripada berhadapan dengan Allah. Sebaliknya, sesiapa yang makan benda tidak halal, maka tergeraklah semua anggota badan untuk melakukan maksiat."

Memakan makanan haram menyebabkan kemurkaan Allah. Jasad terdapat daging dan darah yang terhasil dari sumber haram tidak diterima ibadatnya dan sukar dimakbulkan doanya. Di akhirat hidupnya adalah di dalam neraka.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada sesuatu haram, maka apa neraka baginya adalah lebih utama." (Hadis riwayat Tirmizi).

Justeru, amat penting selidiki dan memastikan sumber makanan dan minuman yang dimakan dan diminum adalah halal. Ahli keluarga yang hidup dari sumber makanan haram tidak akan menikmati kebahagian hidup biarpun dalam kemewahan dan kesenangan. Hati dan perasaan kosong dan sentiasa tidak bahagia. 

Kita perlu makan untuk keperluan jasad membina kekuatan fizikal dan minda. Satu anggapan tidak tepat jika makan untuk kepuasan hidup. Fahaman ini mendorong perbuatan minum arak dan terpengaruh dengan teori karut untuk memuaskan nafsu dengan memakan haiwan eksotik.  

Semakin banyak menikmati pelbagai jenis hidangan, keinginan merasai kelainan tidak pernah puas. Sikap tersebut termasuk perbuatan boros yang menjadi amalan syaitan. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Antara sifat boros itu adalah makan apa yang teringin oleh selera." (Hadis riwayat Ibnu Majah).    

Islam tidak melarang menikmati makanan dan minuman yang diingini selagi tidak melampuai batasan agama. Malah, sesiapa mengucapkan kesyukuran atas nikmat makanan dan minuman yang dinikmati, maka dialah orang yang beruntung.   

Melayan nafsu makan mendatangkan banyak keburukan. Masalah utama ialah memberi kesan kepada kesihatan. Makan banyak dan tidak terkawal menjadi punca obersiti dan mendatangkan banyak masalah kesihatan.

Amat rugi kita terpaksa menghabiskan banyak wang untuk memenuhi selera makan dan pada masa sama terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk mengubat penyakit berkaitannya.  

Kita perlu bersyukur nikmat makanan dikurniakan Allah SWT.  Bayangkan nasib mereka berdepan masalah kekurangan bekalan makanan. Mereka tidak kisah apa rasa makanan asalkan dapat memberi peluang untuk terus hidup. Ketika itu, nikmat makan menjadi amat besar dan penting dilakukan untuk mendapatnya.      

Allah SWT menjadikan kelaparan sebagai satu ujian. Sesiapa yang bersabar dia beroleh kegembiraan. 

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami hendak menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan kepupusan buah-buahan, dan berikanlah berita gembira kepada mereka yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Kelaparan yang dimaksudkan bukan saja tiada makanan, tetapi juga pantang akibat penyakit. Banyak orang terpaksa menahan diri daripada pelbagai jenis makanan dan minuman disebabkan mengidap penyakit bahaya yang majoritinya berpunca cara pemakanan. Justeru, langkah awal untuk mengelak penyakit ialah mengawal cara pemakanan.   

No comments:

Post a Comment