Bilangan individu yang dikategori
obesiti semakin banyak. Lantas itu, banyak individu berusaha untuk kelihatan
langsing dengan cara mengambil kapsul atau ubat-ubatan kurus. Cara itu banyak
resikonya. Terdapat kes kematian disebabkan mengambil kapsul pelangsing badan.
Cara yang betul untuk mengawal berat
badan adalah dengan makan secara sihat dan bersenam. Tidak ada jalan pintas
untuk kelihatan langsing dan sihat. Ia lebih mendatangkan kebaikan dan
bersesuaian dengan ajaran Islam.
Makan dan minum adalah keperluan
hidup seharian. Kita perlu makan dan minum untuk mendapat tenaga, kesihatan dan
menikmati rasa makanan. Untuk menikmati kehidupan yang sihat, seseorang perlu
mengambil makanan seimbang.
Bagaimanapun, kita tidak perlu makan
banyak untuk mendapat tenaga yang lebih. Sebaliknya, makan banyak mendatangkan
masalah kepada kesihatan. Nikmat dan kepuasan makan juga berkurangan apabila
makan terlalu banyak.
Dalam al-Quran dijelaskan tentang
sederhana dalam soal makan dan minum. Ia satu panduan yang mesti dipatuhi untuk
mendapat kebaikan. Firman Allah bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta jangan
berlebih-lebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31).
Jumlah makanan yang perlu diambil
hanya mengikut keperluan untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sihat dan
bertenaga. Setiap individu mempunyai pola pemakanan yang berbeza bergantung
kepada umur, jantina, jenis pekerjaan dan keadaan kesihatan.
Tenaga dan kesihatan yang baik
diperlukan untuk melakukan tugas sebagai khalifah di muka bumi. Untuk mencapai
kebaikan optimun, Islam menetapkan aturan makan secara bersederhana. Orang
mukmin makan apabila rasa lapar dan berhenti makan sebelum rasa kenyang.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak
ada bekas yang lebih keji yang diisikan oleh anak Adam daripada perut. Cukuplah
bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya dan
sekiranya dia terpaksa juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga
untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Tirmizi,
Ahmad, Ibnu Majah dan Nasai).
Walaupun Nabi Muhammad bukan pakar
pemakanan dan perubatan, kata-kata baginda adalah wahyu Ilahi. Kebenaran fakta
diucapkan Nabi Muhammad telah dibuktikan secara ujian oleh pakar moden.
Dr Henry Bieler yang menumpukan
kajian selama 50 tahun mengenai kesan pemakanan terhadap badan menjelaskan
sebab utama penyakit bukannya bermula daripada bakteria, tetapi toksid yang
dihasilkan makanan.
Toksid menyebabkan kerosakan kepada
sel badan yang membuka peluang untuk bakteria membiak dan seterusnya merosakkan
sel badan. Toksid yang mendapat di dalam usus menyebabkan penyakit berkaitan
usus dan menghalang penyerapan zat makanan yang diperlukan oleh badan.
Makanan halal tidak semestinya baik
sepenuhnya. Ia biasanya berkaitan dengan kuantiti. Jika terlalu kerapa dimakan atau dalam
kuantiti yang banyak, makanan yang baik bertukar mendatangkan keburukan. Contohnya,
pengambilan gula secara berlebihan.
Sekarang ini heboh diperkatakan
mengenai kesan makanan segera yang dianggap sebagai pembunuh senyap. Perkara
ini timbul disebabkan budaya makan makanan segera yang meningkat, sedangkan ia
memberi kesan tidak baik baik kepada kesihatan.
Menjaga perut daripada diisi dengan
makanan mendatangkan mudarat adalah cara penjagaan kesihatan paling berkesan. Individu
berdisiplin menjaga makan dan tidak gelojoh memakan apa saja diingini sukar
mendapat penyakit.
Konsep berpuasa atau menahan
daripada mengambil makanan tertentu dijadikan cara rawatan paling berkesan. Banyak
cara rawatan penyakit bahaya adalah dengan cara mengawal pengawalan
makanan.
Amalan makan tidak mementingkan
kesan kepada kesihatan menyebabkan banyak penyakit berbahaya seperti kecing
manis, darah tinggi, barah, lemah tenaga dan masalah jantung. Pengidapnya
terpaksa menahan diri daripada mengambil makanan secara sesuka hati.
Adalah lebih baik mencegah daripada
merawat. Hargai nikmat sihat yang
dikurniakan Allah. Allah menurunkan balasan sakit terhadap sesiapa tidak
bersyukur dengan nikmat sihat. Jika
sudah mengidap penyakit, biasanya patang larang adalah berkaitan dengan
pemakanan.
Firman Allah bermaksud: “Oleh itu
makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah
kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan
nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyambah-Nya semata-mata.” (Surah al-Baqarah, ayat 172).
Jelas sekali Allah hanya membenarkan
makan makanan yang baik-baik. Maksud makanan yang baik ialah dapat memberi
manfaat hasil memakannya. Yang halal tidak mestinya mendatangkan kebaikan,
terutama bergantung kepada keadaan dan cara pemakanan.
Paling penting, kita tidak mengambil
makanan yang mendatangkan kesan buruk. Jika kita telah mengenal pasti jenis
makanan yang mendatangkan alahan kepada diri, adalah ditegah kita daripada
memakannya.
Jika jenis makanan halal ditegah
dimakan kerana memberi kesan buruk, lebih-lebih lagi kita ditegah makan jenis
makanan yang diharamkan. Arak, daging babi dan makanan dari sumber yang tidak
halal ditegah sama sekali dimakan.
Kesan serta merta makan berlebihan
ialah menyebabkan badan menjadi lemah. Pada masa kekenyangan, rasa malas dan
mengantuk akan menguasai diri. Fikiran pula menjadi buntu dan ingin berehat
berterusan.
Justeru, individu yang mementingkan
produktiviti perlu mengawal makan. Kuantiti dan jenis makanan yang dimakan
perlu diberi perhatian bagi menjaga kesihatan dan kecergasan fizikal dan
mental. Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan untuk mengetahui cara pemakanan
baik.
Makan terlalu banyak memberi kesan
tidak baik kepada sistem penghadaman dalam badan. Makanan tidak diproses dengan
sempurna dan menyebabkan penyerapan zat dan pencernaan makanan tidak berlaku
sepenuhnya. Itu satu kerugian kerana tidak memperoleh zat yang sepatutnya.
Untuk memberi keselesaan dan
kesempurnaan proses penghadaman makanan, ketika makan hendaklah dilakukan
dengan sabar dan perlahan-lahan. Makanan perlu dikunyah dengan sempurna sebelum
ditelan. Jangan makan terlalu banyak dan gelojoh.
Makan melebih apa yang diperlukan
oleh badan menunjukkan sifat boros. Islam menegah sifat boros kerana
mendatangkan banyak keburukan. Kita menanggung kerugian kewangan dan
mengurangkan tahap kesihatan.
Dari Anas bin Malik, sabda
Rasulullah bermaksud: “Antara sifat boros itu adalah makan apa yang teringin
oleh selera.” (Hadis riwayat Ibnu
Majah).
Syaidina Umar pernah berkata: “Jauhi
makan berlebihan. Sesungguhnya ia penyebab rosak diri, mewarisi penyakit,
menyebabkan malas sembahyang, dan hendaklah kamu menjaga makan, kerana ia
paling baik untuk jasad, dan hindarkan daripada berlebih-lebihan, sesungguhnya
Allah bencikan orang alim yang gemuk.”
Sesiapa yang berkemampuan
menyediakan banyak makanan, haruslah dikongsikan dengan orang lain. Sesiapa
memberi makanan kepada orang dalam kelaparan, maka Allah menghindarkan dirinya
daripada salah satu kesukaran di akhirat kelak.
Masih banyak orang miskin yang
mengharapkan peluang untuk mendapatkan makanan bagi meneruskan hidup. Sesungguhnya
wajib orang muslim membantu muslim lain dalam keadaan kesusahan mengikut kadar
kemampuan masing-masing.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila
kamu memasak satu kuali, maka banyakkan airnya (kuah). Kemudian lihatlah kepada
sesetengah jiran tetanggamu untuk diberikan kepada mereka.” (Hadis riwayat
Muslim).
Makan secara beramai-ramai atau
mengagih-agihkan makanan kepada jiran tetangga menambah keberkatan rezeki
diperoleh selain dapat mengeratkan tali persaudaraan. Amalan itu dapat
menjauhkan perasaan tamak dan mementingkan diri.
Sabda Rasulullah bermaksud:
“Makanlah kamu beramai-ramai dan jangan berpecah belah.” (Hadis riwayat Ibnu
Majah).
No comments:
Post a Comment