Pengaruh iklan memang kuat menarik
minat pembeli kepada sesuatu barangan atau perkhidmatan. Iklan dapat memberi
tahu atau menyebarkan maklumat mengenai kewujudan, kelebihan, keistimewaan,
harga dan sebagainya mengenai sesuatu barang. Maklumat itu penting menarik
minat pengguna membeli atau menggunakan perkhidmatan yang diiklankan.
Sebab itu, peniaga sanggup
memperuntukkan sejumlah besar perbelanjaan semata-mata untuk tujuan
pengiklanan. Ini terutamanya bagi barangan yang baru di pasaran dan mempunyai
banyak persaingan. Biarpun perbelanjaan iklan tinggi, ia juga menjanjikan
keuntungan yang lebih tinggi kepada peniaga.
Kepentingan iklan untuk menarik
pelanggan digunakan sepenuhnya oleh pengusaha makanan segera. Boleh dikatakan,
antara iklan yang paling kerap ditayangkan di televisyen di negara kita ialah
makanan segera. Stesen televisyen mendapat keuntungan besar hasil pendapatan
pengiklanan makanan segera.
Syarikat makanan segera sentiasa
memperkenalkan menu baru untuk menarik minat orang ramai. Justeru itu, ia
memerlukan iklan untuk memberi tahu tentang menu baru itu. Iklan perlu disiar
berulang-ulang untuk ‘mengubah’ minda orang ramai tertarik dengan apa yang
diiklankan.
Tanpa pengaruh iklan mungkin budaya
memakan makanan segera yang menjadi trend baru di negara kita tidak mendapat
perhatian. Bukan mudah untuk mengubah budaya pemakanan jika ia tidak melibatkan
pengaruh iklan yang begitu kuat.
Makanan segera bukan berasal dari
negara kita. Pada masa ia mula diperkenalkan di negara kita, makanan segera
sering dimomokkan dengan perkara tidak baik. Ia dianggap makanan penjajah dan
siapa yang minat memakan makanan segara dianggap tidak mempunyai semangat
patriotisme.
Tetapi keadaan sekarang telah banyak
berubah. Rakyat di negara kita tidak asing lagi dengan makanan segera. Menu
burger, ayam goreng, pizza, sosej, keju, steak, chips dan sebagainya sudah
menjadi sebahagian hidangan utama golongan tertentu. Semua itu adalah hasil
pengaruh iklan yang diadakan secara agrasif di media massa, sama ada elektronik
dan cetak.
Dulu makanan segera hanya dinikmati
golongan kaya dan yang tinggal di bandar, yang hanya boleh didapati di restoran
mewah. Makanan makanan segera dianggap sebagai lambang status dan menjadi
kebanggaan sesiapa yang dapat menikmatinya.
Bagaimanapun, sekarang ini makanan
segera seperti burger dapat dibeli di gerai kecil di tepi jalan dengan harga
murah. Malah, menikmati makanan segera kini telah dianggap sebagai cara untuk
berjimat. Selera dan cara hidup masyarakat kita kini sudah boleh menerima
makanan segera sebahagian kehidupan yang biasa.
Beberapa jenama makanan segera dari
luar negara telah menguasai pasaran dan menjadi sebutan ramai. Apabila disebut
makanan segera seperti ayam goreng dan burger, maka terbayanglah jenama
terkenal yang sinonim dengan masyarakat kita.
Pengaruh makanan segera amat besar
sehingga kanak-kanak yang baru pandai bercakap sudah boleh menyebut nama jenama
makanan segera yang terkenal. Malah, apabila melihat sahaja logo, warna dan
wataknya, kanak-kanak sudah dapat mengenalinya.
Makanan segera kini tidak saja
dipasarkan oleh pengeluar jenama terkenal dari luar negara. Bahkan sekarang ini
sudah ada jenama makanan segera yang diasaskan di negara kita. Mereka dapat
memberi saingan kepada jenama makanan segera terkenal dari luar negara.
Malah, syarikat kecil yang
menghasilkan jenis makanan segera tertentu telah memulakan operasi bagaikan
cendawan tumbuh selepas hujan. Operasi mereka termasuk di dalam kategori
industri kecil dan sederhana yang mendapat sokongan dan galakan daripada pihak
kerajaan.
Restoran makanan segera yang pertama
di negara kita ialah A & W yang dibuka pada tahun 1963 di Kuala Lumpur dan
diikuti Ayam Goreng Kentucky (KFC) pada tahun 1972 di Petaling Jaya. Malaysia
adalah antara negara terawal yang menerima pengaruh makanan segera di Asia
Tenggara.
No comments:
Post a Comment