Tuesday, 23 October 2018

USAHA PROAKTIF HAPUS DADAH

Malaysia mengisytiharkan dadah sebagai musuh utama negara sejak 1983. Malangnya, bilangan yang menjadikan dadah sebagai 'rakan' bertambah setiap masa. Tanggungjawab membasmi penyalahgunaan dadah bukan di tangan kerajaan saja.  Ibu bapa, keluarga dan seluruh ahli masyarakat perlu mengambil langkah proaktif untuk menghalang dadah menjadi pemusnah negara.   

Kebanyakan ibu bapa bertindak agrasif apabila hak atau maruah mereka diusik. Sayangnya perkara sama tidak dilakukan dalam usaha untuk mempertahankan atau menjaga anak daripada terjebak dengan pengaruh dadah. Lebih mendukacitakan apabila ada ibu bapa menyembunyikan (membiarkan) anak mereka terus hanyut dalam dunia dadah.

Dadah adalah bahan kimia psikoaktif yang antara lain mendatangkan kesan paling ketara ke atas sistem saraf pusat, terutama otak dan saraf tunjang. Ia juga boleh mengakibatkan kematian mengejut dan kegagalan fungsi otak.

Dadah boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti opiat yang terdiri daripada candu, morfin, heroin dan kodein iaitu bahan perubatan untuk menidur atau melegakan kesakitan. Canabinoid pula terdiri daripada ganja, hashish dan marijuana.

Manakala psikotrapik terdiri daripada methamphetamine, amphetamine, Methylene Dioxymetham phetamine dan pil Ecstasy pula dadah yang bertindak kepada otak dan merangsang fizikal penggunanya.

Dalam keadaan mabuk dan khayal, penagih tidak dapat mengawal pergerakan badan dan minda mereka. Mereka melakukan tindakan di luar kewarasan fikiran hingga ada membawa kepada perbuatan membunuh. Banyak kes penagih dadah membunuh ibu atau bapa sendiri yang tidak menuruti kehendak mereka.  

Penagih dadah turut menanggung risiko tinggi jangkitan HIV/AIDS, hepatitis dan kancing gigi apabila menggunakan alat suntikan yang dikongsi. Perkongsian alat suntikan akan memindahkan virus berkenaan melalui darah di kalangan mereka yang telah dijangkiti virus itu.  Sebab itu pengidap HIV dan AIDS di kalangan penagih dadah adalah tinggi.

Kesan kepada wanita mengandung pula ialah seperti keguguran, kelahiran bayi songsang, kelahiran bayi belum cukup bulan, kematian bayi ketika lahir dan kesan buruk lain. Anak yang dilahirkan juga berkemungkinan besar mengalami kecacatan dan tahap kesihatan yang tidak memuaskan.  

Mereka yang terlibat dadah merasakan diri mereka cerdik dan hebat berbanding orang lain. Sedangkan sebenarnya perbuatan itu secara perlahan-lahan akan melemah dan merosakkan daya pemikiran, sekaligus menyebabkan kesukaran bercakap, memahami dan gangguan lain.

Kebanyakan penagih terus hanyut dalam dunia dadah dengan harapan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi. Hakikatnya, perbuatan itu semakin memburukkan keadaan yang turut memberi kesan kepada kehidupan keluarga dan masyarakat.

Penagih memerlukan bekalan dadah yang berterusan. Masalah timbul apabila mereka tidak memiliki wang untuk membelinya. Harga dadah mahal. Seorang penagih tegar memerlukan antara RM50 hingga RM500 sehari mengikut jenis yang digunakan.

Bagi memastikan terus mendapat bekalan dadah, penagih melakukan usaha untuk mencari wang secara peras ugut, mencuri, merompak, meragut dan perbuatan menyalahi undang-undang lain, termasuklah menjadi pengedar dadah.  

Majoriti penagih dadah dari golongan belia. Mereka harapan bangsa, bakal memimpin negara pada masa depan. Jika sudah terlibat dadah, tentulah harapan itu musnah.  Mereka bukan sekadar tidak boleh dipimpin, tetapi juga sukar untuk dipimpin.

Antara sebab permulaan masalah penagihan dadah ialah pengaruh kawan, untuk keseronokan, tekanan jiwa, rangsangan, tahan sakit, meningkatkan keupayaan seksual, perasaan ingin tahu dan secara tidak sengaja. 

Apa yang mereka harapkan kebaikan daripada dadah hanya sementera. Mereka perlu terus menggunakan dadah untuk mendapatkan apa yang diharapkan. Penggunaan yang berulang-ulang menyebabkan mereka ketagih dan terpaksa terus bergantung kepada dadah.   

Hakikatnya mereka ini bukan tidak ada peluang untuk dipulihkan. Usaha ini perlu melibatkan semua pihak. Paling penting dari dalam diri penagih sendiri. Mereka perlu mempunyai keyakinan untuk bebas sepenuhnya daripada dadah. 

Penagih dadah perlu dilayan sebagai pesakit kronik dan bukan sebagai penjenayah. Stigma dan persepsi masyarakat terhadap penagih dadah perlu anjakan paradigma yang betul agar penagih dadah tidak disisih, dihina dan dipulau masyarakat tanpa sebarang bantuan dan pemulihan sewajarnya.

Namun, sekiranya mereka melakukan jenayah, menjadi tanggungjawab kita membawa mereka ke muka pengadilan. Keluarga jangan menyembunyikan anak yang menagih dadah. Lapor kepada pihak berkuasa atau dihantar ke pusat pemulihan secara sukarela.

Dadah tidak mengenal mangsa. Ada penagih dadah dadah di kalangan orang ternama, kaya serta tidak terkecuali ahli akademik. Mereka bukan tidak tahu kesan buruk dadah.  Malah ada antara mereka sering mengingatkan orang lain tentang bahaya dadah. 

Dadah haram dalam Islam. Aktiviti penagihan dan semua perkara membabitkan kewujudan dadah seperti penyediaan, pengedaran, penjualan dan sebagainya dipandang keji dan amat dimurkai Allah. Islam mengharamkan semua bentuk perbuatan yang mendatangkan keburukan.

Mereka yang berpegang teguh kepada ajaran agama akan berusaha menjauhkan perbuatan yang mendekatkan diri dengan pengaruh dadah.  Iman dan takwa mencegah daripada melakukan perkara diharamkan. 

Sebab itu, kesedaran dalam melaksanakan amalan agama perlu disuburkan dalam diri.  Jangan mudah terpengaruh dengan ajakan rakan melakukan perbuatan ditegah agama seperti pergaulan bebas, mengunjungi tempat maksiat dan sebagainya kerana di situlah budaya dadah berleluasa.

Sesiapa yang terjebak dengan amalan buruk perlu segera bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Taubat membersihkan diri dan melahirkan rasa benci terhadap segala bentuk keburukan. Mereka yang bertaubat mempunyai kekuatan diri untuk meninggalkan perbuatan buruk.

Apa yang penting, penagih sendiri perlu beransur-ansur meninggalkan amalan ketagihan itu. Antara cara pemulihannya ialah dengan menerapkan penghayatan Islam sepenuhnya kepada penagih dan mendidik hati penagih supaya berhenti secara beransur-ansur. Usaha dan doa kepada Allah adalah dapat membantu memulihkan penagih dadah.

Memandangkan masalah dadah telah merebak lama dalam masyarakat, maka usah untuk membanteras memerlukan berterusan dan bersungguh-sungguh. Semua ahli masyarakat bertanggungjawab dan mempunyai peranan masing-masing untuk menjayakan matlamat murni ini. 

Jangan pandang mudah dan menganggap masalah dadah hanya melibatkan individu dan ahli keluarga berkenaan saja. Sesungguhnya jika kita ingin membanterasnya ke peringkat akar umbi, maka seluruh tenaga perlu digembelingkan tanpa pengecualian.    

Di samping itu, ahli politik, pemimpin agama, cerdik pandai, sasterawan, golongan profesional, aktivis sosial boleh berperanan membantu hasrat kerajaan untuk membasmi masalah penagihan dadah secara holistik dan efektif.

Rawatan penagihan seharusnya memberi perhatian terhadap pelbagai keperluan penagih mencakupi aspek fizikal, psikologi, mental, spiritual dan sosial untuk membantu proses pemulihan. Penagih perlu diyakinkan bahawa mereka boleh bebas dari pengaruh dadah dan mengelak dari daripada kembali menagih.

No comments:

Post a Comment