Tuesday, 23 October 2018

DAHULU GANJA TIDAK DIHARAMKAN


Sejarah penggunaan dadah mula dikesan di negara kita sejak akhir kurun ke 19.  Pendatang Cina dan India yang dibawa masuk oleh Inggeris untuk bekerja di Tanah Melayu telah mengamalkan tabiat menghisap opium dan ganja. Kedua-dua jenis dadah itu adalah  sebahagian daripada jenis dadah yang paling awal digunakan.

Pada ketika itu ia lebih dikenali sebagai bahan mujarab untuk memulihkan penyakit batuk kering, sakit paru-paru, cirit-birit, malaria dan sebagainya. Beban kerja yang berat dan persekitaran yang tidak selesa menyebabkan ramai pekerja Cina dan India menghadapi pelbagai jenis penyakit yang memerlukan kaedah rawatan tanpa menemui doktor. 

Opium dan ganja juga asalnya digunakan untuk memulihkan tenaga dan memberi kesegaran badan oleh buruh yang bekerja keras sepanjang hari.

Malah, daun ganja juga pernah menjadi bahan campuran di dalam nasi yang sedang dimasak untuk menghasilkan aroma yang lazat dan menyegarkan. Jenis nasi itu cukup terkenal di seluruh negara.  

Ketika itu belum wujud istilah penyalahgunaan dadah. Sebab itu menghisap opium dan ganja tidak menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang.  Bagaimanapun, masyarakat telah mula sedar keburukan perbuatan itu yang menyebabkan ketagih dan mendatangkan masalah kesihatan apabila digunakan secara berterusan. 

Penggunaan dadah terus meresap dalam masyarakat kita secara perlahan-lahan dan turut melibatkan bangsa Melayu serta bangsa-bangsa lain. Tanda-tanda bahaya ketagihan  kepada masyarakat mula diberi perhatian oleh kerajaan setelah mencapai kategori penyalahgunaan. 

Justeru, langkah pengcegahan melalui pengguatkuasaan undang-undang telah diambil.  Pada tahun 1952, kerajaan telah memperkenalkan Akta Dadah Berbahaya 1952.  Akta lain berkaitan dadah ialah Akta Racun 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1995 dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1998.

Pada tahun 1970, perangkaan rasmi mencatatkan bilangan penagih dadah di negara kita sejumlah 711 orang. Jumlah ini terus meningkat sehingga 12,468 orang penagih baru dalam tempoh 1970 hingga 1975.  Jumlah penagih baru pada 1976 meningkat secara mendadak sehingga 9850 orang. 

Perangkaan itu secara langsung memberi amaran tentang bahaya ancaman dadah. Semenjak itu kerajaan tidak berlengah lagi mengadakan pelbagai usaha dan pendekatan untuk membasmi masalah penyalahgunaan dadah. 

Memandangkan usaha membendung peningkatan penagihan dadah semakin sukar dan memerlukan komitmen semua pihak, maka pada tahun 1983 kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh utama negara. 

Sesiapa terlibat dalam penyalahgunaan dadah sama ada penanam ganja, pemeroses, pengedar dan penjual dadah adalah musuh negara. Hukuman berat menanti pengedar dadah yang boleh dijatuhi hukuman gantung.    

Ini membuktikan kesungguhan kerajaan membasmi penyalahgunaan dadah dan diharapkan memberi kesedaran kepada semua pihak tentang kesan buruk penyalahgunaan dadah.

Malangnya, sehingga sekarang tidak ada tanda-tanda akan susut dan reda. Malah masalah penagihan dadah dipandang lebih bersifat ‘irreversible’, iaitu tidak mungkin berpusing ke asal. Pengaruh dadah telah meresap dan sebati dalam permasaalahan masyarakat.

Kesan pengaruh dadah tidak mengenal batasan usia, kedudukan, keturunan dan tahap pendidikan. Sesiapa yang tidak teguh pendirian akan mudah dipengaruhi oleh keinginan mencuba dadah.

Program Terapi Gantian dengan Metadon adalah agenda nasional bagi menangani masalah penagih dadah di negara ini yang turut menjadi punca peningkatan wabak Aids, khususnya mereka yang menggunakan dadah secara suntikan. 

Terapi gantian adalah satu pendekatan 'Harm Reduction' yang diberi kepada penagih dadah. Ia bermaksud menggantikan dadah yang lebih kuat seperti heroin dan morfin dengan ubatan daripada kumpulan yang sama tetapi mempunyai tahap ketagihan dan gian yang lebih rendah seperti Metadon mengikut pengawasan perubatan dan kaunseling yang sistematik. 

Metadon boleh diambil secara oral (melalui mulut). Ini secara tidak langsung menjadikan penagih dadah di bawah rawatan Metadon kurang berisiko terhadap jangkitan HIV/Aids dan penyakit berjangkit lain yang dikaitkan dengan perkongsian jarum suntikan yang tercemar, biasanya penagih dadah jenis heroin atau morfin.

Usaha mengelak terjebak masalah penyalahgunaan dadah perlu bermula dari peringkat diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Tugas kerajaan sebagai pihak berkuasa lebih tertumpu kepada menyediakan rangka yang menyeluruh, panduan, bantuan dan perlaksanaan undang-undang.

Banyak yang terjebak dengan kancah penyalahgunaan dadah bermula dengan separuh sedar. Mereka didedakti oleh ‘punca’ secara perlahan-lahan sehingga kemudiannya terjebak. Perkara ini berpunca akibat kurangnya pengetahuan dan kesedaran tentang bahaya dadah.

Beberapa faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku dalam masyarakat ialah penaruh kawan-kawan, perasaan ingin tahu, untuk mencari keseronokan dan tekanan jiwa.

Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam usaha menanam kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Dalam hal ini, ibu bapa mesti menunjukkan contoh tauladan yang baik untuk dijadikan ikutan anak. 

Anak mudah meniru apa dilakukan oleh ibu bapa. Sekiranya baik pekerti ibu bapa, maka mudahlah diikuti oleh anak. 

Mmajoriti penagih dadah pada mulanya terjebak dahulu dengan ketagih merokok, sebelum menjadi penagih dadah. Kira-kira 99 peratus penagih dadah adalah perokok. Dari segi daya penarik, rokok dan dadah tidak banyak bezanya.  

Pelajar dan remaja yang berani menghisap rokok biarpun menyedari satu kesalahan disiplin dan dilarang oleh ibu bapa, sudah pasti tidak dapat menahan pengaruh kawan-kawan untuk mencuba dadah. 

Justeru, usaha memerangi dadah di kalangan pelajar dan remaja perlu bermula dengan pencegahan amalan menghisap rokok. Oleh itu, kerajaan perlu menetapkan sasaran memerangi masalah pelajar menghisap rokok sepertimana usaha membasmi penyalahgunaan dadah. Pihak keluarga jangan memandang mudah anak yang terlibat merokok.   

Kita seharusnya memberi ‘nilai’ berbeza antara perokok dewasa dengan perokok di kalangan pelajar dan remaja. Orang dewasa merokok boleh dianggap biasa, sedangkan jika pelajar dan remaja merokok itu adalah lambang keruntuhan moral, disiplin dan etika hidup.

Ancaman terhadap keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara yang wujud akibat masalah pengedaran dan penagihan dadah semakin serius memerlukan tindakan lebih proaktif untuk membendungnya. 

Tidak dinafikan bahawa pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan telah melakukan pelbagai usaha membenterasnya. Namun, bilangan penagih dadah semakin bertambah setiap hari. Kerajaan telah menggunakan segala pendekatan dan usaha, serta melibatkan peruntukan kewangan yang besar untuk membasmi masalah penyalahgunaan dadah.  

Sebenarnya, usaha pencegahan aktiviti berkaitan dadah perlu dijayakan dengan kerjasama semua pihak dan menganggapnya sebagai musuh nombor satu negara itu. Tanpa kerjasama, masalah dadah tidak ada kesudahannya. Katakan tidak kepada dadah mesti diterapkan dalam diri setiap rakyat yang cintakan negara.  

No comments:

Post a Comment