Kedudukan wanita sebagai pemimpin
juga tidak asing lagi. Sekarang ini bilangan wanita yang menjadi ketua atau
pengarah di peringkat kementerian dan jabatan semakin bertambah bilangannya.
Penglibatan wanita sebagai pemimpin
tidak dilarang dalam Islam selagi batas-batas agama dijaga dengan baik. Biarpun
dikatakan lelaki sebagai pemimpin kepada wanita, ia sebenarnya merujuk kepada
kehidupan rumahtangga. Dalam konteks ini, kedudukan suami sebagai pemimpin
rumahtangga tidak dapat dinafikan.
Firman Allah SWT bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh
kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang
lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta
mereka.” - (Surah an-Nisa, ayat 34)
Kejayaan wanita menjadi pemimpin lahir
hasil nikmat kemerdekaan yang mana kerajaan memberi peluang pendidikan yang
sama kepada semua rakyat tanpa membezakan jantina dan kaum. Malah, kebelakangan
ini bilangan pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta
lebih banyak berbanding lelaki.
Sesiapa yang lebih layak berkaitan
pendidikan, kemahiran, kebijaksanaan, kredibiliti dan kemampuan melaksanakan
tugas akan dilantik melaksanakan tanggungjawab tanpa prejudis jantina. Perkara
ini bertepatan dengan konsep amalan dan ibadat dalam Islam.
Firman
Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 124 bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan
amal salih, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, mereka akan
masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau dikurangkan balasannya)
sedikit pun.”
Sesungguhnya setiap perkara yang
dilakukan dengan niat mendapat kebaikan dan keredaan Allah SWT, maka ia dikira
ibadat. Ini termasuklah dalam soal mencari rezeki dan kepimpinan. Pemimpin yang
baik dan mampu melaksanakan tugas dengan baik dikira telah melakukan kebaikan
yang besar dan diganjari pahala.
Sumbangan dan kejayaan wanita
menjadi pemimpin telah membuka mata banyak pihak. Golongan yang dulu
mengharamkan wanita menjadi pemimpin kini telah berubah pegangan dengan membenar
dan membuka peluang seluas-luasnya untuk wanita menjadi pemimpin.
Namun, tidak menfikan masih wujud di
kalangan masyarakat ialah berkaitan budaya dan tanggapan. Masih terdapat
individu yang memandang wanita tidak setanding, setaraf dan kurang kemampuan
untuk melaksanakan tugas yang lumrahnya dilakukan oleh lelaki.
Hakikatnya, apapun pandangan
masyarakat mengenainya, wanita telah membuktikan kemampuan mereka menjadi
pemimpin. Persaingan antara lelaki dan wanita perlu dilihat dari sudut
pandangan positif penciptaan lelaki dan wanita untuk tujuan kebaikan.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Hai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan
dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku (kaum) supaya kamu saling
kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi
Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui lagi Maha Mengenal”. (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Mana-mana pihak meminggirkan wanita dalam
arus kepimpinan bererti dia kembali kepada kehidupan zaman Jahiliah yang mana
wanita hanya dianggap masyarakat kelas kedua. Kedatangan Islam telah membawa
sinar baru kepada pengiktirafan terhadap wanita. Sebelum kedatangan Islam, kedudukan
wanita dipandang hina, sial dan membawa rasa malu dalam keluarga mendorong
masyarakat Jahiliah menanam hidup-hidup anak perempuan mereka.
Rasulullah SAW banyak membuktikan
kedudukan wanita tinggi, perlu dihormati dan bijak. Rasulullah selalu berbincang dan meminta pendapat daripada isteri Baginda. Perbincangan
itu meliputi segenap aspek kehidupan bersesuaian dengan keintelektualan isteri
Baginda.
Rasulullah SAW pernah berbincang
dengan isteri Baginda Ummu Salama mengenai isu penting negara dan kepentingan umat
Islam. Bahkan Baginda tidak melarang wanita berada dalam majlis perbincangan,
agar wanita sama-sama dapat memberi pendapat, terutama bersangkutan dengan
wanita sendiri.
Wanita di negara kita bertuah
mendapat kedudukan sama dengan lelaki, di mana kerajaan memberi komitmen padu
ke arah kesaksamaan gender yang dimenifestasikan melalui penggubalan Dasar
Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita.
Untuk menjaga secara khusus
kepentingan wanita, kerajaan menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat pada Januari 2001 bertujuan mempertingkatkan lagi dasar
dan pembangunan wanita.
Malah, tidak cukup dengan itu,
komitmen kerajaan dalam usaha membangun dan memperkasakan wanita terbukti
apabila Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan, dipinda pada Ogos 2001 bagi
mengatasi masalah diskriminasi gender yang sekali gus melarang undang-undang
dan polisi diskriminasi wanita.
Kepada wanita yang terpilih atau
dilantik menjadi pemimpin perlu membuktikan kemampuan menjalankan tugas. Ia
memberi prospektif baik untuk seluruh wanita. Kejayaan seorang pemimpin wanita
menjadi lambang kejayaan wanita keseluruhannya.
No comments:
Post a Comment