Keupayaan wanita sebagai pekerja dan
pemimpin sering diperdebatkan memperlihatkan pro dan kontranya. Ketika
masyarakat dunia semakin mengiktiraf sumbangan wanita, masih ada pihak
menggunakan hukum agama untuk melarang wanita menjadi pekerja dan pemimpin.
Keraguan terhadap kemampuan wanita
lahir berdasarkan tabie wanita. Wanita
sifatnya lemah dan lembut, emosional dan mudah dipengaruhi. Justeru
wanita dianggap tidak sesuai menjadi pemimpin. Pemimpin mesti memiliki
perwatakan tegas, tetap pendirian dan kuat fizikal.
Sejarah mencatatkan wanita
dikategorikan sebagai masyarakat kelas kedua dalam kebanyakan masyarakat kuno.
Wanita tidak dianggap penting dalam masyarakat. Tugas mereka hanya sebagai
isteri dan ibu. Soal lain, termasuklah berkaitan diri wanita sendiri sepenuhnya
ditentukan oleh lelaki.
Malah dalam masyarakat tertentu,
wanita dianggap pembawa sial dan bala. Justeru,
wanita tertentu perlu dijauhi. Mereka dijadikan korban kepada pelbagai
acara karut. Wanita diletakkan lebih hina daripada binatang buas.
Bagaimanapun nasib wanita Islam
diangkat pada kedudukan sebaik-baiknya. Wanita tidak dibezakan daripada lelaki,
melainkan dari segi jantina dan peranan bersesuaian dengan kejadiannya.
Namun, masih ada pihak yang
ironisnya terhadap kedudukan itu. Wanita masih diperlekehkan kedudukan dan hak.
Ini termasuk di kalangan umat Islam sendiri. Golongan anti wanita cuba sedaya
upaya menggunakan fakta lemah dan hadis palsu sebagai dalil dakwaan mereka.
Antara hadis palsu yang tersebar
luas membawa maksud: “Mintalah pendapat wanita dan lakukan sebaliknya.” Satu
lagi hadis palsu bermaksud: “Wanita itu keseluruhannya jahat, dan kejahatan
yang paling besar ialah kaum lelaki tidak dapat melakukan kejahatan tanpa mereka
(wanita)”.
Kedua-dua hadis palsu itu
membayangkan betapa wanita tidak bijak dan hanya mendatangkan keburukan.
Bahkan, wanita dianggap tidak wajar diajar tentang apa-apapun. Untuk menyokong
alasan itu maka digunakan hadis palsu: “Jangan ajarkan wanita bagaimana membaca
dan menulis kerana mereka akan menggunakan ilmu itu untuk melakukan sihir.”
Sesiapa yang terbuka fikirannya
tentu dapat dengan mudah mematahkan hadis palsu itu. Perhatikan pertentangan dengan hadis sahih
yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap orang Islam, sama ada
lelaki atau perempuan.”
Firman Allah bermaksud: “Bacalah
atas nama Tuhanmu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu
itu Maha Pemurah yang mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum
ketahui.” (Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).
Ayat itu menjelaskan suruhan membaca
dan sekaligus menuntut ilmu. Suruhan itu tidak menyebut siapa perlu membaca.
Ini bermakna untuk semua, tidak kira lelaki atau perempuan. Wanita juga
dituntut membaca al-Quran sebagai salah satu ibadah dan mencari keredaan Allah.
Ternyata hadis melarang diajarkan
membaca dan menulis kepada wanita adalah palsu. Jika wanita tidak tahu membaca, bagaimana mereka ingin membaca al-Quran.
Itu sebahagian contoh bagaimana golongan
anti perempuan menjalankan niat buruk terhadap perempuan. Mereka sanggup mencipta hadis palsu semata-mata ingin menjatuhkan
wanita.
Rasulullah banyak membuktikan
kedudukan wanita tinggi, perlu dihormati dan bijak. Rasulullah selalu berbincang dan meminta pendapat daripada isteri Baginda.
Perbincangan itu meliputi segenap aspek kehidupan bersesuaian dengan
keintelektualan isteri Baginda.
Rasulullah pernah berbincang dengan
isteri Baginda Ummu Salama mengenai isu penting negara dan kepentingan umat
Islam. Bahkan Baginda tidak melarang wanita berada dalam majlis perbincangan,
agar wanita sama-sama dapat memberi pendapat, terutama bersangkutan dengan
wanita sendiri.
Malah, para sahabat ada menemui
isteri nabi, terutama Siti Aisyah untuk menanyakan sesuatu perkara berkaitan
hukum agama dan pentadbiran. Perbuatan
itu diketahui oleh Rasulullah dan Baginda tidak melarangnya.
Jikalah wanita dikatakan bodoh sudah
tentu Rasulullah melarang para sahabat ‘belajar’ sesuatu perkara, tambahan
berkaitan hukum agama daripada isteri Baginda. Justeru, selepas kewafatan
Rasulullah, para sahabat masih menjadikan isteri Baginda sebagai sumber rujuk
hukum.
Perkara ini jelas membuktikan wanita
juga memiliki kemampuan seperti lelaki dalam soal pengetahuan dan kemahiran
dalam bidang tertentu. Maka, hal seumpama itu wanita dianggap sebagai pemimpin
dalam bidang berkenaan.
Maksud pemimpin bukan terhad kepada
jawatan perdana menteri, menteri atau ahli politik semata-mata. Pemimpin
bermaksud sesiapa yang bertanggungjawab mentadbir dan mengurus sesuatu
organisasi mengikut tahap-tahapnya.
Jawatan sebagai pengetua sekolah,
ketua jabatan, penyelia dan sebagainya adalah pemimpin. Banyak wanita menjadi
pemimpin peringkat ini. Adapun peringkat kepimpinan tidak dinafikan bahawa
pemimpin wanita terpaksa menghadapi cabaran lebih gentir berbanding rakan
sejawat lelaki dalam menjalankan tugas.
Memang tidak dinafikan wanita
terpaksa menghadapi cabaran lebih berat dalam menjalankan tugas sebagai
pemimpin. Tetapi, bagi wanita cekal dan bersemangat, masalah itu dihadapi
dengan sebaik-baiknya.
Dengan bukti kejayaan menghadapi
cabaran itu, bermakna wanita diakui mampu menjadi pemimpin. Wanita yang
diangkat menjadi pemimpin sudah tentu telah menunjukkan prestasi dan rekod yang
cemerlang dalam bidang berkenaan.Jika begitu keadaannya maka tidak timbul soal
wanita lebih rendah kemampuannya
Umat Islam dituntut mencari kebaikan
yang lebih. Siapa lebih baik, maka dialah dilebihkan haknya tanpa membezakan
sama ada dia lelaki atau perempuan.
Perkara ini termasuklah dalam soal memilih pemimpin.
Memang tidak dinafikan wanita banyak
kelemahannya. Tetapi jika telah diatasi, maka tidak perlu ditimbulkan lagi
masalah itu. Kita tidak boleh mengambil pukul rata dalam menilai sesuatu
perkara.
Mungkin atas sebab itu ada golongan
menggunakan fakta itu untuk menolak kepimpinan wanita. Apabila ada wanita ingin
dicalonkan sebagai pemimpin, maka ramai yang menggunakan isu kemampuan wanita
untuk menggambarkan kelemahan calon wanita itu.
Wal hal keadaan sebaliknya telah
ditunjukkan oleh wanita berkenaan. Jika dia tidak mampu memimpin, sudah tentu
dia tidak akan dicalonkan. Sepatutnya sesiapa yang tidak menyukai atau ingin
menetang wanita sebagai pemimpin, carilah kelemahan lain.
Membandingkan soal jantina, bukan
cara ‘gentelmen’ dalam soal perebutan jawatan. Lelaki perlu membuktikan
keupayaan sendiri untuk merebut jawatan sebagai pemimpin. Persaingan sihat
secara tidak langsung akan menaikkan mutu kepimpinan dan keupayaan lelaki dan
perempuan.
Wanita yang dipilih menjadi pemimpin
perlu membuktikan kemampuan menjalankan tugas. Ia memberi prospektif baik untuk
seluruh wanita. Kejayaan seseorang
pemimpin wanita menjadi lambang kejayaan wanita seluruhnya.
Wanita jika ingin berjaya sebagai
pemimpin perlu melatih diri mengawal ketahanan emosi. Wanita diakui lemah
mengawal perasaan. Keadaan tersebut sering terbawa-bawa dalam tugas. Ia turut
mempengaruhi dalam mengambil keputusan melibatkan organisasi.
Berdasarkan kepada tersebut,
pemimpin wanita perlu mengetahui kelemahan emosi masing-masing. Pengawalan diri
supaya tidak terbawa-bawwa ke dalam keadaan tersebut perlu dilakukan.
Soal ketahanan fizikal juga sering
dikaitkan dengan wanita. Bagaimanapun ia tidak banayak mempengaruhi keadaan
berkaitan kepimpinan. Kebanyakan wanita dipilih menjadi pemimpin di lapangan
yang tidak memerlukan kekuatan fizikal lebih.
Bagaimanapun sebagai pemimpin
kecergasan dan ketangkasan perlu dtunjukkan.
Kesihatan perlu dijaga. Ketika berdapan dengan anggota di bawah,
buaangkan sifat wanita yang lemah lembut tetapi tidak sehingga melampaui susila
sebagai wanita.
Untuk mengelak pandangan negatif
terhadap wanita yang menjadi pemimpin atau bekerja, wajarlah wanita sendiri
mengawal diri daripada melakukan perkara yang dipandang buruk, terutama dalam
kerukunan rumah tangga.
Negara kita masih kekurangan tenaga
manusia untuk membangunkan negara.
Sumbangan wanita dalam pekerjaan dan kepimpinan amat penting. Tenaga
wanita memberi sumbangan bermakna kepada kejayaan dan kemakmuran negara.
Satu kerugian jika wanita dihalang
daripada bekerja dan memimpin. Lelaki dan wanita kena bersatu menyumbang tenaga
untuk kesejahteraan ummah.
No comments:
Post a Comment