Wednesday, 24 October 2018

SYARAT WANITA BEKERJA BERKERJAYA


Ramai masih beranggapan wanita tidak sesuai bekerja mencari rezeki di luar rumah. Wanita dianggap hanya sesuai menjalankan tugas sebagai isteri di rumah.  Sebab itu wujud pandangan negatif cuba menyekat kebebasan wanita dalam bidang pekerjaan.

Cadangan wanita cantik tidak diberi keutamaan mendapat pekerjaan, wanita dilarang bekerja malam dan pelbagai sekatan lain memberi gambaran seperti Islam tidak memberi ruang luas untuk wanita bekerja mencari rezeki. 

Gambaran negatif terhadap kesesuaian wanita bekerja dibangkitkan berpunca daripada kesilapan tafsiran dan gambaran salah pihak yang sengaja mencari kepopularan memperkatakan apabila sesuatu berkaitan wanita. Berselindung di sebalik agama, ramai mengaku memperjuangkan kepentingan wanita tanpa mendengar suara hati dan kepentingan wanita sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak menyekat kebebasan bagi lelaki dan wanita melakukan sesuatu mendatangkan kebaikan bagi diri dan keluarganya. Malah perkara mendatangkan kebaikan perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh agar mendapat keredaan serta ganjaran pahala daripada Allah.

Allah tidak membeza-bezakan di antara lelaki dan wanita dalam urusan mencari kebaikan di dunia dan akhirat. Perkara yang baik, tetap diberi ganjaran setimpal tanpa melihat sama ada yang melakukannya itu lelaki atau wanita.

Firman Allah bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal salih, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, mereka akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.” (Surah an-Nisa, ayat 124).

Sesungguhnya usaha melakukan sesuatu pekerjaan untuk mencari rezeki yang halal dan baik merupakan suruhan agama. Sesiapa jua tidak boleh dihalang melakukan kebaikan.  Sesuatu kebaikan yang dilakukan mendapat balasan yang lebih baik di sisi Allah.

Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 97 bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, sedangkan dia beriman, sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberi pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.”

Pendapat menghalang wanita bekerja sebenarnya didasarkan kepada tafsiran yang sempit.  Wanita dikatakan tidak perlu mencari rezeki kerana lelaki yang wajib menyara isteri dan anak-anak.  Lelaki sememangnya telah ditetapkan oleh Allah sebagai pemimpin kepada wanita.  Firman Allah bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin wanita.” (Surah an-Nisa, ayat 34).

Kewajiban suami menyara isteri dan anak-anak tidak dipersoalkan. Lelaki dilantik sebagai pemimpin perlu melaksanakan tugas mencari rezeki. Malah, Allah melebihkan lelaki berbanding wanita antara lain kerana lelaki memberi nafkah kerana isteri.

Bahkan tugas suami dalam memimpin rumahtangga, termasuk menyediakan segala keperluan isteri berupa nafkah zahir dinyatakan oleh Allah sebagai satu perkara yang amat berat (perkara yang perlu dilaksanakan).

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu bersekedudukan berumahtangga (dengan penuh mesra dan kasih sayang) dengan perempuan (yang kamu kahwini) itu dengan demikian kamu telah mengambil satu perjanjian yang amat berat.” (Surah an-Nisa, ayat 21).

Namun suruhan dan ketetapan tugas kepada lelaki itu tidak pula bermakna wanita tidak dibenarkan bekerja. Wanita tidak boleh mengharapkan lelaki sepenuhnya dalam memenuhi keperluan hidup. Banyak keadaan yang mana wanita perlu berusaha sendiri mencari rezeki.

Perhatikan berapa ramai wanita terpaksa menjadi ibu tunggal. Jika tidak mempunyai pekerjaan sendiri, sudah tentu ibu tunggal tidak mampu menyara anak-anak yang ditinggalkan oleh suami akibat perceraian maupun kematian.

Jika sekatan terhadap wanita bekerja diperkenalkan, siapa yang akan bertanggungjawab terhadap kehidupannya dan anak-anak. Mereka yang melaungkan seruan agar wanita tidak bekerja tidak pernah memikirkan cara penyelesaian masalah tersebut.
 
Sesungguhnya bukan sedikit ibu tunggal terpaksa melakukan pelbagai kerja di luar kemampuan dan kerelaan mereka semata-mata demi menuruskan kehidupan menjaga anak-anak. Malah ada yang terdesak sehingga terpaksa melakukan pekerjaan terkutuk menjadi pelacur, menerima rasuah dan sebagainya.

Sememangnya apabila keadaan terlalu terdesak atau mencari jalan mudah, maka ramai yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan mendapat apa yang diperlukan. Sebab itu Rasulullah mengingatkan agar diusahakan mencari rezeki halal agar tidak menjadi papa atau miskin.

Dalam hal ini, wajib setiap individu sama ada lelaki maupun wanita mencari rezeki mengikut keperluan. Ibu tunggal dan perempuan dewasa yang belum berkahwin perlu bekerja untuk mencari rezeki. Keadaan sekarang dengan segala keperluan hidup perlu dibayar dengan wang menjadikan bertambah penting bagi wanita bekerja.

Bagi isteri yang mempunyai suami berkemampuan menyediakan keperluan hidup bagi dirinya dan anak-anak mempunyai pilihan sama ada ingin bekerja atau tidak.  Isteri berhak mengharapkan sepenuhnya rezeki dari suaminya tanpa perlu bekerja kerana tugas mencari rezeki sememangnya terpikul sepenuhnya ke atas suami.

Namun, keadaan sekarang agak berubah. Bilangan isteri bekerja semakin ramai. Ini selaras dengan peredaran masa dan corak kehidupan kini. Penglibatan wanita menyumbangkan tenaga, fikiran dan kemahiran dalam aktiviti ekonomi semakin ketara dan meluas.

Kemampuan wanita menguasi pelbagai kemahiran hasil pendidikan yang terbuka tanpa menbezakan jantina telah memberi peluang wanita bekerja mengikut kemahiran masing-masing. Tambahan pula peluang pekerjaan ditawarkan sama rata. Majikan tidak membezakan antara lelaki dan wanita, asalkan mereka dapat menghasilkan produktiviti yang baik.

Wanita yang berkelulusan tinggi dan mempunyai peluang menjawat pekerjaan yang baik dengan pendapatan tinggi tentu tidak melepaskan peluang untuk bekerja. Penat lelah belajar dan perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk belajar tidak akan dibiarkan tanpa digantikan dengan pendapatan yang baik melalui pekerjaan.

Malah ramai wanita yang sebenarnya ‘terdesak’ perlu memiliki pekerjaan. Wanita dari keluarga miskin mempunyai impian untuk membantu keluarganya. Ramai kakak yang terpaksa berkorban demi adik-adik tersayang. Mereka terpaksa mengambil alih menyara keluarga dari bapa dan ibu.

Statistik mendapati majoriti wanita dari bandar sanggup merantau ke bandar dan menghadapi segala dugaan hidup yang asing bagi mereka semata-mata demi untuk membantu keluarga. Sekiranya wanita dihalang bekerja, sudah pasti banyak keluarga menghadapi masalah. 

Sesungguhnya sekarang ini, wanita bukan sekadar ‘nasi tambah’ dalam usaha mencari rezeki. Sebaliknya, ramai wanita bekerja menjadi tunggak kewangan untuk keluarga. Bermakna jika wanita tidak bekerja dalam keluarga berkenaan, tunggak kewangan keluarga akan runtuh dan segala berkaitan kewangan akan menghadapi masalah besar.

Namun bagi seorang isteri kebenaran bekerja terletak di tangan suami. Tanpa kebenaran suami adalah haram bagi isteri bekerja. Sesungguhnya ketaatan merupakan satu kemestian selagi suami tidak menyuruh melakukan perkara yang dilarang oleh agama. 

Apapun alasan suami melarang isteri daripada bekerja tidak perlu dipersoalkan. Namun atas dasar kebaikan rumahtangga elok ia dibincangkan dengan mendalam. Mungkin lebih baik isteri tidak bekerja kerana faktor-faktor tertentu. Bagaimanapun, banyak kebaikan lain mungkin diperoleh jika isteri bekerja. 

Rasulullah berkahwin dengan Khatijah seorang saudagar kaya. Selepas berkahwin Khatijah masih lagi meneruskan usaha berniaga dengan dibantu oleh Rasulullah. Malah dengan menggunakan kekayaan Khatijah membolehkan Rasulullah berdakwah pada peringkat awal di Makkah. 

Dengan pengorbanan besar Khatijah demi mengembangkan Islam banyak membantu Rasulullah dalam usaha dakwahnya. Ini membuktikan bagaimana isteri mampu membantu suami dengan kekayaan yang dimilikinya.   

Wanita bekerja perlu memahami batas-batas antara pekerjaan dan kepentingan rumahtangga. Dalam apa keadaan sekalipun, kepentingan rumahtangga perlu diutamakan. Tugas mendidik anak dan mengurus rumahtangga merupakan tugas hakiki sebagai isteri dan ibu.

Justeru wanita bekerja tidak harus terikut-ikut dengan fahaman golongan wanita Barat yang memperjuangkan kebebasan bagi wanita dalam semua hal, termasuk tidak bergantung dalam soal ekonomi kepada lelaki. 

Sebab itu wanita Barat melihat peluang dan kebebasan bekerja sebagai membebaskan mereka daripada segala tanggungjawab hakiki mereka sebagai isteri dan ibu. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi menuntut persamaan hak dengan lelaki sehingga wujud permusuhan dengan lelaki.

Wanita Barat yang bekerja dengan mudah memohon perceraian disebabkan sesuatu masalah yang kecil dalam rumahtangga. Mereka tidak perlu memikirkan kesan ekonomi ke atas diri disebabkan telah mempunyai sumber pendapatan tetap dan sejumlah harta.

Sebaliknya Islam memberi kebenaran wanita bekerja demi kebaikan diri sendiri, suami (bagi wanita berkahwin) dan keluarga. Sekiranya disebabkan bekerja akan menimbulkan masalah kepada kehidupan suami isteri, maka perlu suami melarang isteri bekerja dan mesti dipatuhi oleh isteri.

Islam tetap meletakkan isteri di bawah pemimpin suami biarpun isteri mempunyai jawatan tinggi. Kedudukan isteri dalam pekerjaan atau organisasi tidak mengubah kedudukan dalam hariki keluarga.  

No comments:

Post a Comment