Manusia
diutuskan oleh Allah ke bumi ini sebagai khalifah, yakni memakmurkan kehidupan
ini berlandaskan perintah ditetapkan oleh-Nya. Termasuk dalam tugas itu ialah
mencari rezeki.
Sesungguhnya
suruhan mencari rezeki dan kebahagiaan hidup di dunia banyak dinyatakan dalam
al-Quran dan Hadis. Ajaran yang menghalang orang Islam mengejar kemewahan dan
kesenangan hidup sengaja dicipta oleh pihak yang tidak mahu Islam berkembang
dan maju.
Antara
ayat al-Quran yang menyebut mengenai suruhan mencari rezeki ialah ayat 77 surah
al-Qasas bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah
kepadamu itu kebahagian hari akhirat dan
janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.”
Walaupun
kehidupan di akhirat lebih utama perlu direbut oleh setiap Muslim, tetapi tidak
pula bermakna harus melupakan kehidupan di dunia. Apa yang dilakukan di dunia
ini, termasuk dalam urusan mencari rezeki mendapat balasan di akhirat.
Ini
bermakna bekerja bukan sekadar menyediakan bekalan hidup di dunia, bahkan
diberi ganjaran sebagai ibadah untuk balasan kebaikan di akhirat. Islam tidak
hanya mementingkan akhirat, kerana permulaan hidup adalah di dunia. Dunia
adalah ladang bagi manusia bercucuk tanam (melakukan kebaikan) untuk bekalan di
akhirat.
Justeru
itu bekerja disamakan dengan jihad ke jalan Allah. Kisahnya, sedang Rasulullah
berbual-bual dengan para sahabat, seorang lelaki berbadan tegap dan kuat lalu
di hadapan mereka. Maka salah sorang sahabat pun berkata: “Ya Rasulullah,
alangkah baiknya jika orang itu berjuang untuk membela agama Allah.”
Lalu
Rasulullah pun menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Jika lelaki itu keluar dari
rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang masih kecil, itu juga
fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua,
juga dinamakan fisabilillah. Mencari rezeki untuk dirinya supaya tidak
meminta-minta juga dikira fisabilillah. Tetapi, jika dilakukan kerana niat
bongkak dan menunjuk-nunjuk, ia dikira sebagai fisabililissyaitan (mengikut
jalan syaitan).” - (Hadis riwayat at-Thabrani).
Hadis
tersebut jelas meletakkan sesuatu kerja yang dilakukan demi mencari rezeki
halal bagi diri sendiri, ibu bapa dan keluarga merupakan satu jihad. Ini
bermakna sepanjang melakukan kerja akan dikira sebagai ibadat selagi tidak
melakukan perkara yang ditegah oleh agama.
Fahaman
yang mengatakan sesiapa ingin mencari bekalan akhirat hanya dengan melakukan ibadat khusus seperti sembahyang
dan berzikir, sebenarnya tidak memahami perintah Allah. Allah memerintahkan
kita bertaburan di muka bumi merebut limpah kurnia-Nya.
Firman
Allah bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertaburanlah kamu
di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari apa yang
kamu hajati daripada limpah kurnia Allah dan ingatlah akan Allah banyak-banyak
(dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya di dunia dan akhirat.” - (Surah
al-Jumaah, ayat 10).
Jelas
sekali, sebaik selepas sembahyang hendak kita bersegera kembali meneruskan
urusan hidup. Pun begitu, maksud bersegera tidaklah bemakna selesai sahaja
memberi salam terus bangun. Kita disarankan berwirid dan berdoa setiap selepas
sembahyang.
Urusan
mencari rezeki dan berhubungan sesama manusia bukan saja untuk kepentingan diri
sendiri. Bahkan, segala aktiviti yang mendatangkan kebaikan adalah untuk
seluruh umat Islam dan manusia sejagat.
Kelemahan
umat Islam kini adalah disebabkan berpunca kelemahan individu. Bilangan
individu Islam yang miskin, melarat dan tidak berpengetahuan lebih banyak. Hal
ini menyebabkan umat Islam dengan mudah ditindas dan dijadikan mangsa oleh
pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan mereka.
Kini
di seluruh dunia nasib umat Islam diselubungi malang. Namun keadaannya tidak
sedemikian di negara kita disebabkan kita berupaya membangunkan ekonomi dan
kemudahan untuk rakyat.
Tetapi,
apa dinikmati ini tidak kekal lama jika kita tidak terus berusaha
mengekalkannya. Adalah menjadi tanggungjawab kita berusaha gigih, serta
mengelak segala sengketa sesama sendiri yang boleh menyebabkan kita lemah.
Tanamlah
semangat dan cita-cita untuk berubah ke arah kehidupan lebih baik. Usaha ini
adalah satu bentuk hijrah yang amat digalakkan dalam Islam. Kita perlu berusaha
untuk diri sendiri, serta kesejahteraan seluruh ummah.
Sesungguhnya
bekerja merupakan permulaan kepada banyak ibadat. Tidak sempurna sembahyang
jika dalam keadaan pakaian yang tidak menutup aurat dan kotor. Untuk membeli
kain dan sabun membersihkannya memerlukan wang yang diperolehi dengan bekerja.
Untuk
menunaikan fardu haji memerlukan sejumlah wang yang agak besar. Hanya mereka
yang bekerja gigih menyimpan wang mampu menunaikan fardu haji. Manakala
berzakat dan sedekah juga hanya mampu dilakukan oleh golongan berada.
Jelaslah
bekerja mencari rezeki atau kekayaan bukan sekadar memenuhi keperluan hidup di
dunia, bahkan membolehkan persiapan mengecapi kebahagiaan hidup di akhirat. Sebab
itu Islam menekankan kepada kekuatan ekonomi umat Islam agar dapat menjalani
kehidupan dengan sempurna dan dapat beribadat kepada Allah dengan
sebaik-baiknya.
Malah
kekayaan merupakan satu cara dakwah. Umat lain mudah menerima Islam jika
melihat keadaan umat Islam yang sempurna kehidupan dengan kekayaan dan budi
pekerti yang mulia. Segala keperluan masyarakat dapat disediakan dengan
sempurna dan usaha-usaha kebaikan dapat dijalankan sepenuhnya.
Bekerja
perlu dilakukan tanpa mengira usia selagi berdaya melakukannya. Bekerja bukan
terhad makan gaji atau melakukan sesuatu yang mendapat upah. Sebaliknya bekerja
itu termasuklah melakukan sebarang tugas yang mendatangkan kebaikan,
termasuklah kerja-kerja sukarela.
Antara
bidang kerja yang mampu dilakukan kebanyakan orang yang memiliki tanah ialah
bercucuk tanam. Menanam bukan bermakna semestinya membuka kebun atau ladang. Apa
yang penting ialah melakukan usaha menanam apapun jenis pokok yang boleh
mendatangkan hasil.
Sekarang
ini dilihat terlalu banyak tanah dibiarkan tanpa diusahakan. Tanah bendang
dibiarkan ditumbuhi lalang, sedangkan tanah kebun dipenuhi semak samum. Ini
membuktikan tanah-tanah itu subur. Sekiranya ditanamkan dengan pokok
buah-buahan atau tanaman lain tentu mendatangkan hasil yang baik.
Bercucuk
tanam mendatangkan sumber makanan dan pendapatan. Biarpun mungkin ia mengambil masa yang
panjang untuk mengeluarkan hasil, tidak bermakna orang tua tidak lagi
digalakkan melakukannya jika berdaya melakukannya.
Walaupun
mungkin hasilnya nanti tidak dapat dinikmatinya, ganjaran pahala melakukan
kerja menanam itu tetap diberikan oleh Allah. Allah menilai apa yang dilakukan
sekarang dan bukannya hasilnya nanti.
Sebab itu biarpun hampir menemui ajal, sekiranya masih berkesempatan
melakukan sesuatu kerja yang baik, maka perlulah diteruskan.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Sungguhpun hari kiamat telah hampir, tetapi di tangan
salah seorang daripada kamu masih ada benih kurma, maka hendaklah dia segera
menanamnya.” – (Hadir riwayat Ahmad dan Bukhari).
Namun,
janganlah kerana terlalu leka bekerja sehingga menghalang daripada melakukan
ibadat-ibadat khusus. Melakukan kerja
secara demikian dikira haram. Contohnya, disebabkan asyik bekerja sehingga lupa
bersembahyang, maka kerja itu tidak mendapat ganjaran pahala.
No comments:
Post a Comment