Persoalan kepemimpinan
adalah persoalan penting dan strategik, dengan lain kata kepemimpinan
menentukan jatuh bangun sesebuah bangsa dan negara. Justeru, ia sangat
menentukan nasib sesebuah masyarakat dan peradaban.
Sejarah sudah
membuktikan, salah satu ciri masyarakat unggul dan menguasai peradaban adalah
masyarakat yang memiliki pemimpin berwibawa, tegas, adil, berpihak pada
kepentingan rakyat, mempunyai visi kuat serta mampu menghadirkan perubahan ke
arah lebih baik.
Ajaran Islam secara
tegas menyatakan kepemimpinan adalah mercu yang tidak boleh diabaikan dalam
pembangunan masyarakat, bangsa dan negara. Al-Quran banyak memberi gambaran
adanya hubungan positif antara pemimpin yang baik dengan tingkat kesejahteraan
masyarakat.
Salah satunya adalah
kisah Nabi Yusuf, seorang nabi yang memegang amanah mengurus kewangan dan
perekonomian negara. Nabi Yusuf dengan bermodalkan kejujuran dan kecerdasannya
mampu menyelamatkan Mesir daripada krisis makanan dan ekonomi berpanjangan.
Di bawah
kepemimpinannya, Mesir mampu mempertahankan tingkat kemakmurannya, meskipun
keadaan perekonomian global pada waktu itu berada dalam situasi tidak baik
akibat musim kemarau berpanjangan beberapa lama.
Demikian juga
kepemimpinan Rasulullah SAW, yang mampu menciptakan revolusi peradaban hanya
dalam masa 23 tahun. Baginda SAW adalah model pemimpin yang sangat luar biasa
dan tidak ada tandingannya, diakui oleh dunia.
Potensi sahabat mampu
dioptimumkan dengan baik sehingga mereka dapat menjadi contoh teladan
masyarakat. Contohnya, Abdul Rahman bin Auf, dengan potensi dimilikinya oleh
Rasulullah SAW dijadikan sebagai kunci penting yang mampu menggerakkan
perekonomian masyarakat.
Kemudian, Abu Bakar dan
Umar yang dipersiapkan oleh Rasulullah SAW sebagai negarawan besar. Demikian
juga Khalid bin Walid yang dioptimumkan peranannya sebagai jeneral perang yang
sangat disegani dan digeruni dunia waktu itu.
Ali bin Abi Talib pun dididik Rasulullah SAW menjadi ilmuwan dan
pemimpin yang dipersiapkan sejak usia muda belia. Masih banyak sahabat lainnya
yang mampu melakarkan sejarah kejayaan mereka dalam peradaban manusia.
Yang sangat luar biasa adalah Rasulullah SAW mampu menjadikan
mereka sebagai pasukan yang mantap dan sepadu. Sehingga melalui usaha mereka,
dakwah Islam tersebar luas ke seluruh penjuru dunia.
Semua membuktikan bahawa persoalan kepemimpinan bukan persoalan
remeh dan kecil yang boleh dipermainkan. Ia
adalah persoalan serius yang kelak akan diminta pertanggungjawaban di hari
akhirat.
Justeru, ajaran Islam
mengingatkan umatnya untuk berhati-hati dalam memilih pemimpin, sebab tersalah
pilih bererti sama dengan turut terjebak dalam menciptakan kesengsaraan
masyarakat. Tanggungjawab pemimpin sangat besar dan berat di hadapan Allah dan
manusia.
Wajarlah jika Rasulullah
SAW tidak pernah dapat tidur nyenyak sebelum memastikan masyarakatnya boleh
tidur dengan nyenyak. Bahkan hal itu terbawa hingga menjelang ajal Baginda.
Rasulullah sangat khuatir nasib umatnya.
Teladan yang wajar
diambil, Baginda SAW terus ingat nasib rakyat hingga nyawa berpisah dari jasad.
Kerana itu, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa pemimpin yang baik dan adil akan
menjadi salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat naungan serta
perlindungan Allah di hari kiamat.
Sebaliknya, pemimpin
yang tidak amanah, menyeleweng, rasuah, adalah salah satu daripada tiga
kelompok dikategorikan sebagai penyakit kronik agama, yang hanya akan membawa
kemudaratan dan kesusahan bagi agama serta masyarakat.
Ciri pemimpin yang baik
ialah sentiasa bersikap adil dan menjunjung tinggi kebenaran. Pentingnya
masalah ini sehingga Rasulullah SAW menyatakan, satu jam keadilan memimpin,
jauh lebih baik dibandingkan dengan seribu rakaat solat sunat.
Kedua, sentiasa menjadi
pembela dan penolong sehingga masyarakat berasa aman, sejahtera, selesa dan
terlindung. Kehidupan menjadi tenteram, selamat dan bahagia. Tindakannya tidak
merugikan rakyat, walaupun terjadi konflik antara kepentingan elit dan rakyat
kecil, ia memilih membela kepentingan rakyat kecil keseluruhannya.
Ketiga, berpihak dan
berorientasi pada kesejahteraan rakyat. Contohnya, Khalifah Umar adalah
pemimpin yang selalu mengawal setiap malam, memastikan rakyatnya tidak ada yang
kelaparan. Tidak hanya itu, malahan beliau menyatakan, “Jangankan manusia,
haiwan pun tidak boleh ada yang kelaparan ketika pemerintahannya.”
Begitu juga Khalifah
Umar bin Abdul Aziz, yang mampu menangani kemiskinan rakyatnya melalu institusi
zakat, pada masa pemerintahannya sehingga dikenali sebagai khalifah yang paling
adil. Itulah model dan contoh teladan kepemimpinan yang dirindu, yang mampu
membawa rakyatnya ke mercu kejayaan dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment