Wednesday, 24 October 2018

MENGAPA PERLU TAAT KEPADA PEMIMPIN

Sekarang amat jelas kesan perpecahan di kalangan umat Islam sehingga hilang suara majoriti dan terpaksa tunduk kepada tuntutan orang lain. Ini semua disebabkan kita terlupa kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, apabila meletakkan kepentingan dan cita-cita politik di tempat yang lebih tinggi.

Wujudnya perpecahan di kalangan umat Islam adalah disebabkan kumpulan-kumpulan kecil yang cuba menonjolkan diri bahawa merekalah yang lebih benar, lebih mulia dalam memperjuangkan Islam yang suci sehingga memusuhi pemimpin seagama dan sanggup berkawan dengan musuh-musuh Islam yang nyata dan jelas.

Perkembangan mutakhir ini amat menyedihkan dan membimbangkan. Umat Islam berpecah kerana kelompok-kelompok ini cuba menegakkan sesuatu yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah sehingga meninggalkan perpaduan sesama Islam. 
 
Kita sama sekali tidak dapat menerima perpecahan ini. Islam menganjurkan perpaduan sesama saudara seagama kita.

Amat malang punca perpecahan di kalangan umat Islam berpunca sikap pemimpin yang yang mempunyai agenda untuk kepentingan diri dan kelompok tertentu sahaja. Demi mendapat kuasa, mereka sanggup melakukan perkara yang nyata memberi kesan buruk kepada Islam.

Pelbagai propaganda dicipta bagi menarik perhatian rakyat menyokong mereka dengan memberikan gambaran mengelirukan tanpa memikirkan kesan buruk yang semakin menimpa umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda, "Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunahku dengan panduan sunahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (fasik). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Perlembagaan negara telah memberikan kedudukan istimewa kepada agama Islam dan ia harus dijaga dan tidak boleh membiarkan sama sekali orang lain mengganggu gugatnya. Namun terdapat pemimpin parti politik tertentu bertindak sebaliknya untuk menjaga kepentingan pengaruh daripada bukan Islam.

Perpaduan sesama umat Islam amat penting. Biar apa pun perbezaan ideologi politik marilah kita bersatu kembali dan lupakan persengketaan, kembali kepada kepada perintah Allah SWT bahawa hendaklah kamu sentiasa memperbaiki saudara-saudara kamu.

Sebagai umat Islam kita perlu mentaati pemerintah selagi ia tidak kufur kepada Allah. Tindakan menentang dan menyebakan keburukan kerajaan akan memberikan ruang kepada musuh-musuh Islam untuk mengambil peluang untuk mengganggu gugat urusan negara sehingga menimbulkan pelbagai ancaman.

Rakyat wajib patuh kepada pimpinan dalam hal yang makruf selama mana tiada perintah melakukan kemaksiatan dan tiada kekafiran yang nyata. Kefasikan seorang pemimpin tidak menjadikan kita menanggalkan ketaatan kita terhadapnya dalam hal yang maruf. Melainkan zahir baginya kekufuran yang jelas.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wajib ke atas seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada pemerintah) pada apa-apa yang dia sukai atau dia benci, melainkan apabila penguasa tersebut menyuruh untuk melakukan kemaksiatan. Apabila dia menyuruh untuk melakukan maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat (dalam urusan maksiat tersebut).” (Hadis riwayat Muslim no. 3423, al-Tirmidzi no. 1629)

Sekiranya kegagalan pemimpin dalam melaksanakan tugas, dia perlu secara rela berundur. Itu untuk kepentingan umat Islam. Namun, jika pemimin berkenaan tidak mahu berundur, maka dalam sitem pemerintahan demokrasi, terdapat waktu di mana rakyat diberi hak untuk memilih pemimpin. Pemimpin yang gagal jangan dipilih kembali untuk menjadi pemimpin.   

Proses pilihanraya adalah kaedah untuk memilih pemimpin. Jika dirasakan seseorang pemimpin sedia ada tidak lagi sesuai terus memegang sesuatu jawatan, maka pemilih boleh menolaknya di kertas undi. Pada masa yang sama, pemimpin yang dipercayai dan diyakini dapat melaksanakan tugas kepimpinan dengan baik, wajar dipilih untuk melaksanakan tugas tersebut.

Sebarang isu yang wujud perlu diselidik dengan betul-betul untuk memastikan kebenarannya. Jangan mudah menyalahkan pemimpin semata-mata dalam sesuatu isu.  Proses kepimpinan negara amat kompleks dan melibatkan banyak peringkat. Jadi, tidak adil segala permasalahan dibebankan kepada seorang pemimpin saja.

Amalan menentang pemimpin secara kekerasan atau menyalahi proses biasa diamalkan dalam sistem pemerintahan negara boleh dianggap sebagai 'khawarij' sepertimana wujud pada zaman permulaan Islam dulu. 

Golongan ini banyak menimbulkan masalah kepada pemerintahan dan perpaduan umat Islam.

Banyak kitab para ulama firaq (kumpulan-kumpulan) yang membahaskan tentang "khawarij".  Ia mencatatkan tentang celaan Nabi, para sahabat dan para ulama ahli sunnah terhadap khawarij. Perlu dijelaskan sepertimana dibahasakan para ulama, khawarij tidak hanya merujuk kepada sikap mengangkat senjata.

Kata ulama besar Mazhab al-Syafie, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani (w. 852H):

"Al-Khawarij "al-qa'diyyah" (yang duduk); mereka tidak menyeru manusia memerangi pemerintah (dengan senjata), namun mereka mengingkari pemerintah yang zalim dengan menyeru manusia kepada pendapat mereka yang memperelokkan serta memperindahkan sikap khuruj (keluar dari mentaati pemerintah)." (lihat: Tahzib al-Tahzib, oleh Ibnu Hajar, 8/114)

Difahami dari kata-kata Ibnu Hajar (w.852H), bahawa khawarij al-qa'diyyah adalah golongan yang melakukan provokasi juga menyebarkan persepsi supaya rakyat tidak mentaati pemerintah.

Kerana itu al-Imam Abu Daud (w.275H) menukilkan perkataan dari Abdullah bin Muhammad al-Sha'if bahawa: "Khawarij al-Qa'diyyah adalah seburuk-buruk khawarij." (lihat: Masa'il al-Imam Ahmad, oleh Abu Daud, ms 271)

Dalam Islam membenarkan pemimpin ditegur. Namun ada cara dan adabnya perlu dilakukan. Menegur kesalahan pemerintah adalah wajib sama ada dalam sistem demokrasi seperti hari ini atau yang lainnya.

No comments:

Post a Comment