Wednesday, 24 October 2018

PEMIMPIN BIJAK KUKUHKAN ORGANISASI


Kepimpinan adalah suatu kuasa menghubungkan pemimpin (ketua) dengan pengikut (pekerja) dan mendorong pengikut supaya menggunakan tenaga secara tersusun menuju objektif yang dirumus secara kolektif.

Kepemimpinan memberi perwatakan dan menerima perwatakan daripada media, persekitaran dan iklim di tempat ia berfungsi bagi menggerakkan sekumpulan manusia menuju ke arah ditentukan melalui dorongan yang tidak memaksa.

Dalam Islam, kepemimpinan adalah satu proses dinamik, tidak statik dan mempunyai objektif sendiri iaitu satu kaedah pengarahan dan pembentukan manusia berasaskan keimanan kepada Allah SWT.

Kepemimpinan dalam pengurusan adalah suatu amanah dan tunggak kejayaannya ialah penghasilan anggota organisasi berakhlak, diikuti pembentukan tamadun Islam seluruhnya (holistic).

Kepemimpinan adalah suatu yang amat diperlukan dalam pengurusan Islam supaya di dalam suatu kumpulan atau organisasi itu ada pihak yang mengarah dan mengatur urusan. Ia juga dilakukan bagi mengelak penggunaan pendapat sendiri yang boleh merosakkan kepentingan ramai.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abi Said al-Khudi menyatakan dalam sabdanya bermaksud: “Jika tiga orang keluar bermusafir hendaklah salah seorang daripada mereka dilantik menjadi ketua”.

Berdasarkan hadis itu menunjukkan jika Rasulullah memerintahkan supaya dilantik ketua bagi kumpulan terdiri daripada tiga orang, sudah tentu amat diperlukan dalam konteks pengurusan organisasi yang mempunyai warga organisasi yang ramai bagi melaksanakan segala fungsi dan peranannya supaya selaras dengan tuntutan Islam.

Fungsi kepemimpinan dalam sesuatu organisasi adalah penting kerana ia membabitkan skop pembabitan peranan kepimpinan secara keseluruhan. Antara fungsi kepemimpinan dalam sesuatu organisasi, jabatan atau syarikat dapat dinyatakan seperti berikut:

Membentuk dan membimbing ahli ke arah kejayaan dunia akhirat. Menyatukan kumpulan dengan bertindak sebagai pakar rujuk, orang tengah, penasihat, kawan, pendengar yang sabar dan seumpamanya. 

Mewujudkan suasana selesa kepada orang yang dipimpin termasuk memberikan dorongan berdasarkan ganjaran atau hukuman dan teguran. Merancang, menyelia dan menilai prestasi setiap tugasan yang diberikan kepada warga organisasi.

Memudahkan perhubungan di kalangan anggota organisasi dengan berkemahiran mengenai teknik komunikasi sama ada antara perseorangan, kumpulan kecil atau kumpulan besar.

Memastikan setiap perancangan organisasi berjalan baik dan sentiasa mengambil berat mengenai latihan dalam pelbagai bidang kemahiran diperlukan pekerja.

Dalam pada itu, pemimpin organisasi perlu mempunyai kewibawaan untuk menjalankan tugas dengan cemerlang. Ia dapat dilakukan dengan mengamalkan unsur kepemimpinan dan pengurusan berikut, Berani mengatakan tidak boleh ketika keadaan yang memerlukan. Menghentikan sesuatu aktiviti apabila didapati merugikan atau bercanggah dengan hukum Islam.

Mementingkan kebajikan dan keperluan orang ramai daripada keperluan peribadi. Bijak mengurus masa dengan ada keseimbangan di antara tanggungjawab dalam organisasi, rumah tangga dan masyarakat.

Mengambil perhatian kepada hubungan kemanusiaan dengan mewujudkan suasana persaudaraan di dalam dan luar organisasi. Memilih kakitangan dengan rapi dan mengambil kira keperluan organisasi dan tuntutan Allah SWT.

Sentiasa mengambil berat pembentukan peribadi, kemahiran dan kreativiti anggota organisasi. Mementingkan apa yang dapat dilakukan dengan sempurna dari memikirkan halangan dan sekatan dihadapi. 

Menghebahkan perkara baik dan positif dan menyembunyikan keburukan dan kelemahan orang lain. Mengambil kira kemaslahatan organisasi secara menyeluruh. Mempunyai kaedah dan sistem pengawasan dan penilaian yang baik.

Menjaga rahsia atau perkara sulit organisasi daripada pengetahuan umum. Menggalakkan kecemerlangan, tetapi tidak mengharapkan keunggulan daripada anggota organisasi. Mengenal pasti keutamaan dan dapat mengagihkan tugas menurut keutamaan berdasarkan kebolehan dan kemampuan individu yang diamanahkan.

Memberi penghargaan dengan jujur untuk setiap tugasan dari orang yang dipimpin yang dijalankan dengan sempurna. Pengikut atau ahli organisasi pula perlu mematuhi dan menghormati kepemimpinan organisasi dalam arahan dan peraturannya kerana kerana simbol kekuatan organisasi ada pada kepimpinan dan ia seharusnya dipatuhi dengan sepenuhnya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang berkuasa) daripada kalangan kamu,” - Surah al-Nisa, ayat 59.  

Kepatuhan atau kesetiaan anggota organisasi kepada kepemimpinan amat penting. Tanpa kesetiaan, organisasi tidak berfungsi dengan baik. Adalah menjadi tanggungjawab yang dipimpin mentaati dan mengikuti arahan diberikan selagi sesuatu kepemimpinan itu menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tidak menyuruh atau melakukan perbuatan atau arahan yang melanggar hukum Islam. 

Ketaatan kepada pemimpin tidak terhad kepada perkara yang disukainya saja, tetapi menyeluruh sama ada perkara itu disukai atau dibenci.

Adalah menjadi kewajipan pemimpin mendengar segala teguran itu dengan sikap terbuka, berlapang dada tanpa menyimpan rasa dendam terhadap mana-mana orang bawahannya, kerana mereka juga selaku pengikut atau ahli organisasi perlu memainkan peranan dalam soal kepemimpinan, bertanggungjawab, bangga dengan organisasi, mempunyai semangat pengorbanan tinggi, berbudi pekerti dan beretika mulia.

Seseorang pemimpin atau pengurus sesebuah organisasi yang cukup berwibawa tidak mungkin dapat memimpin dengan berkesan seandainya ada sekumpulan pengikut atau ahli organisasi yang sentiasa mempunyai pandangan negatif, tidak mempunyai matlamat sealiran dengan pemimpin dan tidak pernah bersetuju dengan pandangan dan pemikirannya.

Adalah jelas, keberkesanan kepemimpinan sesebuah organisasi bergantung kepada beberapa faktor, diri pemimpin itu sendiri, situasi dalam organisasi dan faktor yang mempengaruhi kelakuan dan peranan ahli organisasi. Gaya kepemimpinan yang dipraktikkan ketua mungkin berkesan di dalam sesuatu keadaan dan tidak berkesan di dalam sesuatu keadaan lain.

Menyedari bahawa manusia, masyarakat, kumpulan dan alam persekitaran adalah unsur dinamik dan mengalami perubahan. Oleh itu, sebarang bentuk kepemimpinan seharusnya bersifat dinamik.

Kepemimpinan yang berkesan sewajarnya peka dan sensitif dengan segala perubahan dalam persekitaran dan seterusnya melengkapkan diri dengan segala ilmu yang dapat membantu untuk mengurus dan menyesuaikan diri dengan segala situasi dan persoalan yang dihadapi di samping mewarnakan diri dengan perhiasan ketakwaan, keilmuan, hikmah dan kebijaksanaan di dalam mentadbir sesuatu organisasi atau syarikat.

No comments:

Post a Comment