Sesuatu yang mempunyai nilai sejarah
wajar dipelihara atau diselia dengan bersistematik secara berterusan agar
sentiasa dalam keadaan baik dan menarik. Di negara maju, bahan bersejarah yang
berusia ratusan bahkan ribuan tahun mendapat perhatian pihak berkuasa dan
masyarakat sebagai khazanah yang berharga.
Sudah menjadi sifat semulajadi
manusia berminat mengetahui sesuatu yang berunsur sejarah. Ini kerana manusia
berminat mengetahui cara hidup masyarakat terdulu atau sesuatu yang berlainan
dengan apa yang ada sekarang.
Sebab itu, manusia sanggup merantau
jauh dan menghabiskan belanja yang besar semata-mata ingin melihat apa yang
dianggap istimewa dan memberi pengajaran. Justeru, tarikan utama pelancong ke
negara maju bukan semata-mata ingin melihat dan menikmati kehidupan moden,
tetapi juga tempat-tempat bersejarah yang terjaga rapi di negara itu.
Malangnya, sikap demikian kurang
dihayati oleh masyarakat kita. Banyak tinggalan sejarah yang sepatutnya
mendapat penjagaan sewajarnya tidak dilakukan. Contohnya, Jambatan Gantung
Sultan Ismail yang merentangi Sungai Nal, kira-kira 9 kilometer dari bandar
Kuala Krai.
Jambatan atau disebut dalam dialek
Kelantan Gertak Gantung Sultan Ismail dibina merentangi Sungai Nal
menghubungkan jalan raya dari Machang ke Kuala Krai oleh pihak British.
Struktur binaannya seperti jambatan gantung yang banyak terdapat di negara-negara
Eropah.
Gertak Gantung Sultan Ismail adalah satu-satunya
jambatan gantung di Kelantan. Ia dibuka dengan rasminya pada 19 April 1932 oleh
Al-Marhum Sultan Ismail ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Keempat. Gertak itu terletak
di Kilometer 9, Jalan Kuala Krai - Machang.
Pembinaan Gertak Gantung Sultan
Ismail dilihat oleh pihak Inggeris yang menjajah negara kita pada ketika itu sebagai
amat penting. Ini memandangkan bandar Kuala Krai dianggap antara bandar yang
terpenting di Kelantan Selatan ketika itu. Pihak Inggeris lebih memberi
perhatian kepada Kelantan Selantan kerana kaya dengan hasil bumi seperti emas
dan hasil pertanian.
Kuala Krai menjadi pusat
mengumpulkan hasil dari Kelantan Selatan melalui sungai, sebelum dibawa ke Kota
Bharu dan daerah lain seluruh Kelantan melalui jalan darat. Terdapat beberapa
buah syarikat besar dari Britain beroperasi di Hulu Kelantan.
Pembinaan Tangga Krai bagi
memudahkan pemunggahan barang dari bot ke darat di tebing Sungai Kelantan
berhampiran bandar Kuala Krai membuktikan pentingnya bandar itu sebagai pusat
pengumpulan hasil seperti rotan, getah dan emas yang diperoleh di Hulu
Kelantan.
Jambatan ini sepanjang 21.3 meter
dan lebarnya 6.1 meter yang membolehkan ia digunakan dua hala. Ia dipanggil jambatan
gantung kerana struktur bawahnya digantung oleh dua utas tali besi keluli yang
begitu teguh di kiri dan kanannya.
Tali besi itu berukuran sebesar
30.48 sentimeter ukurlilit dipintal pula dengan enam utas tali besi kecil yang
mempelihatkan ia seperti dipintal sepenuhnya. Tali itu ditambat kepada struktur
konkrit setebal 1.2 meter pada ketinggian 3.7 meter.
Ketika Perang Dunia Kedua, gertak
ini bernasib baik tidak menjadi mangsa letupan bom ketika Inggeris berundur
semasa serangan Jepun ke Tanah Melayu. Dalam usaha melenggahkan kemaraan
tentera Jepun, pihak British akan meletupkan jambatan yang menghubungkan
sesuatu kawasan.
Penduduk kampung menjadikan bahagian
bawah jambatan sebagai tempat perlindungan ketika kemaraan tentera Jepun.
Ketika Rancangan Malaysia Keempat
(RMK 4), kerajaan Pusat menaikkan taraf jalan di kawasan itu untuk keselesaan
pengguna. Ini menyaksikan sebuah jambatan baru yang lebih lebar dan konkrit
sepenuhnya dibina di sebelah kanannya (dari laluan Machang).
Pada hujung tahun 1986 jambatan baru
siap dan mula dibuka untuk kegunaan ramai. Ini bermakna tamatlah khidmat Gertak
Gantung Sultan Ismail yang telah digunakan selama lebih 54 tahun dan memainkan
peranan besar kepada proses kemajuan kawasan Kelantan Selatan dan turut menjadi
laluan pengguna jalan raya menuju ke selatan tanah air melalui Gua Musang.
Gertak Gantung Sultan Ismail wajar
dijaga dan diselia sebagai bahan sejarah. Jangan biarkan ia terbiar dan tidak
memberi apa-apa erti.
No comments:
Post a Comment