Negeri Kelantan adalah tempat
pertama meletusnya Perang Dunia Kedua di negara kita. Tentera Jepun mendarat di
kawasan pantai negeri Kelantan, iaitu di Pantai Sabak, Pantai Semut Api, Pantai
Pulau Panjang dan beberapa tempat lain pada 8 Disember 1941.
Setelah berjaya menawan Kelantan,
tentera Jepun meneruskan kemaraan dan mengambil masa selama 70 hari untuk
menawan seluruh Tanah Melayu. Jepun memerintah negara kita dari tahun 1941
hingga 1945, sebelum menyerah kalah kepada British.
Biarpun tempoh penjajahan Jepun
terhadap negara kita agak singkat, namun terdapat banyak bahan sejarah yang
berkaitannya. Malah, sejarah semasa pemerintahan Jepun lebih diingati di
kalangan penduduk negara kita berbanding pada era pemerintahan British.
Bagi generasi muda, maupun generasi
tua yang ingin mengimbau kembali kenangan lalu, Memorial Peperangan Dunia Kedua
adalah destinasi kunjungan yang mempamerkan banyak bahan sejarah berkaitan
Peperangan Dunia Kedua, khususnya di Kelantan dan amnya di Tanah Melayu.
Memorial Peperangan Dunia Kedua
terletak berhampiran dengan Padang Merdeka, Kota Bharu. Lokasi ini termasuk
dalam Zon Budaya Kota Bharu yang turut merangkumi bangunan bersejarah terkenal
seperti Masjid Muhammadi, bangunan lama Majlis Agama Islam Kelantan, Istana
Jahar, Istana Balai Besar dan Istana Batu.
Bangunan
Memorial ini asalnya dibina oleh The Mercantile Bank orang India Limited
sebagai cawangan bank tersebut di Kelantan.
Bangunan yang lebih dikenali di kalangan penduduk Kelantan sebagai ‘Bank Kerapu” siap dibina dan digunakan pada tahun 1912. Perkataan ‘kerapu’ adalah merujuk kepada permukaan dinding bangunan tersebut yang ditampal dengan simen berkerutu.

Tahun
1981 Kerajaan Negeri Kelantan mengambil alih bangunan tersebut bagi kegunaan Perbadanan
Muzium Negeri Kelantan. Tahun 1991 ditubuhkan Memorial Perang Dunia Kedua dan
digunakan sepenuhnya sebagai tempat pameran kesan-kesan sejarah peperangan
Dunia Kedua (1941-45) oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
Di memorial ini dipamerkan
keterangan, gambar dan bahan-bahan yang berkaitan dengan Perang Dunia Kedua. Ini
merangkumi bekaitan pertahanan tentera British, kronologi kejatuhan Kelantan ke
tangan tentera Jepun, zaman pemerintahan Jepun, serta kejatuhan Jepun dengan
gugurnya bom atom Hiroshima dan Nagasaki.
Di satu sudut pemeran mengkhususkan
mengenai sejarah penderitaan buruh paksa. Terdapat replika landasan keretapi
yang mempunyai kaitan secara langsung dengan buruh paksa yang dikerah membina
landasan keretapi di Burma.
Terdapat juga bahan pemeran
berkaitan dengan kelahiran semangat nasionalisme dan era perkembangan negara
kita hingga mencapai kemerdekaan, seterusnya membawa kepada penubuhan Malaysia.
Turut terdapat bahan pameran berkaitan zaman darurat dan perundingan mencapai
kemerdekaan.
Selain bahan pameran di dalam
bangunan, memorial ini terdapat sebuah taman yang menempatkan beberapa bahan
sejarah berkaitan Perang Dunia Kedua dan beberapa bahan sejarah lain.
Di taman ini terdapat replika kubu kebal (pillbox) yang dibina oleh tentera British untuk digunakan tentera ketika serangan tentera Jepun. Selain itu terdapat sebuah tugu yang dibina oleh Kerajaan Australia sebagai mengenang tenteranya yang terkorban ketika pertempuran dengan tentera Jepun.

Memorial ini memang sesuai dilawati
bagi mengimbau kembali sejarah Peperangan Dunia Kedua, dan rentetan peristiwa
sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan.
Melihat pameran itu, mengingatkan kita betapa sukarnya hidup pada zaman peperangan. Bersyukurlah kita dapat hidup pada era negara sedang aman, damai, serta mencapai kemajuan pesat.
Melihat pameran itu, mengingatkan kita betapa sukarnya hidup pada zaman peperangan. Bersyukurlah kita dapat hidup pada era negara sedang aman, damai, serta mencapai kemajuan pesat.
No comments:
Post a Comment