Kota
Jembal adalah nama baru bagi Kedai Lalat. Penukaran nama Kampung Kedai Lalat kepada
Kota Jembal adalah berdasarkan sejarah bahawa tempat itu menjadi lokasi
pemerintahan terawal Kelantan. Sekolah Menengah Kedai Lalat ditukar nama kepada
Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti.
Kerajaan
Jembal asalnya diasaskan oleh Raja Besar yang dikatakan dari keturunan Raja
Bersiung yang memerintah negeri Kedah dalam abad ke-14.
Baginda Raja Bersiung
dihalau oleh adinda baginda yang berpangkat Raja Muda. Baginda telah melarikan
diri ke Kelantan.
Mengikut
ringkasan "Cetera Kelantan" yang ditulis oleh Dato' Nik Mahmud Nik
Ismail (Dato' Paduka Raja), Raja Besar dan Raja Bersiung adalah orang yang
sama.
Kenyataan
ini agak kabur dan bercanggah dengan fakta sejarah kerana Raja Bersiung
memerintah Kedah pada abad ke-14, sedangkan pembukaan Jembal oleh Raja Besar
ialah pada awal abad ke-17 (tahun 1600-an).
Raja
Besar dan pengikut-pengikut baginda mencari satu tempat yang sesuai untuk
dijadikan negeri. Angkatan baginda telah menemui satu kawasan tanah yang subur
yang terletak di tepi Sungai Babong dan Pulau Melaka.
Di
situ baginda mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya mendirikan sebuah kota. Di
dalam kawasan itu terdapat sebatang pokok yang sangat besar iaitu pokok jambu
jembal, lalu baginda menamakan tempat itu Jembal.
Baginda
Raja Besar tiba di Jembal bersama beberapa orang pengikutnya serta dua orang
kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.
Kedua-duanya dipercayai
cucu baginda. Yang lelaki bernama Raja Sakti dan yang perempuan bernama Puteri
Mani Kemeyan.
Setelah
kedua-duanya meningkat dewasa lalu mereka dikahwinkan. Pada tahun 1638 M Raja
Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai raja di Jembal dan memerintah di
bahagian utara dan timur Kelantan. Jembal dijadikan pusat pemerintahannya.
Tidak
lama selepas pertabalan Raja Sakti, Raja Besar pun mangkat. Setengah cerita
mengatakan Raja Besar ghaib menghilangkan diri, kerana itulah tidak terdapat
makam baginda di kawasan Jembal itu.
Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu.
Mengikut
buku Abdullah Nakula, Raja Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera
atau Long Betong. Puteri baginda iaitu Puteri Unang Melor telah berkahwin
dengan Raja Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin 1.
No comments:
Post a Comment