Friday 21 June 2019

SEJARAH MUKIM LABU, NEGERI SEMBILAN

Labu adalah salah satu mukim di dalam daerah Seremban, Negeri Sembilan. Labu adalah sebuah bandar yang pesat membangun terletak antara bandar Seremban dengan Nilai.

Pembangunan Labu selari dengan pembangunan pesat kawasan sekitarnya seperti Nilai dan kedudukannya berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Menurut catatan buku susunan Datuk Abdul Samad Idris, 'Negeri Sembilan dan Sejarahnya' Labu telah dibuka ketika era pemerintahan Datuk Undang Sungai Ujong Kelapan, YAM Dato Klana Petra Sri Jaya, Dato Kelana Leha (1780-1800 masihi).

Dato Kelana Leha telah memberi kebenaran kepada Dato Mangkun untuk membuka Labu. Beliau telah diberi gelaran "Dato Bergajah Tunggal".

Tidak dinyatakan asal usul nama 'labu' yang digunakan untuk nama Mukim Labu. Adakah ia bermaksud buah labu atau maksud lain.

Namun, di kalangan penduduk Kampung Batu 10 Labu, menjadikan buah labu sebagai replika di kampung tersebut yang bermaksud nama Mukim Labu diambil dari nama buah labu.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Labu menjadi salah satu tempat yang menjadi markas tentera Jepun. Ini memandangkan terdapatnya landasan kereta api yang menjadi penghubung antara utara dan selatan.

Terdapat banyak kubu di sekitar kawasan stesen Labu. Walau bagaimanapun, dengan pembinaan landasan kereta api berkembar pada tahun 1995, kesan sejarah itu telah hilang.

Labu juga pernah menjadi tempat mendaratnya helikopter yang membawa Presiden Amerika Syarikat, Lyndon B Johnson sempena lawatan beliau ke Felda LBJ yang dinamakan sempena nama beliau juga dikenali dengan Labu Jaya.

1 comment:

  1. Labu sering disebut bakal jadi macam Damansara. Kemajuan pesat akan menyebabkan harga hartanah melambung kelak.

    ReplyDelete