Friday 21 June 2019

LABU MUDAH DITANAM, TAHAN LASAK

Labu sejenis tanaman menjalar daripada keluarga Cucurbitaceae yang sering ditanam secara selingan dengan jagung atau tembikai. Ia antara tanaman yang paling mudah ditanam tanpa memerlukan penjagaan rapi.

Labu mengambil masa 75 hari dengan tempoh mula berbunga pada hari ke-45 dan ia lebih mudah jika ditanam di kawasan berhampiran ternakan kelulut dan lebah kerana tidak memerlukan bantuan pendebungaan.

Proses penjagaan tanaman sangat mudah dan tidak memerlukan air yang banyak. Semusim hanya tiga atau empat kali disiram air manakala baja digunakan adalah baja asas najis ayam, baja daun dan baja buah secara berperingkat.

Penjagaan juga tidak lama apabila mencapai usia 30 hari dan mula menjalar pokok sudah tidak memerlukan penjagaan rapi.

Bagi mendapatkan hasil yang baik pokok ditanam pada jarak dua meter dan sepokok boleh mengeluarkan enam hingga tujuh biji labu. 

Labu mempunyai pelbagai jenis dengan bentuk panjang atau bulat .

Penanaman labu tidak memerlukan modal besar seperti sesetengah tanaman lain, malah risiko serta musuh tanaman juga kurang.

Bagi mereka yang berminat menceburkan diri dalam bidang ini atau yang bermodal kecil, labu adalah tanaman sesuai. Namun, apa yang penting adalah semangat, usaha dan minat harus ada untuk bergelut dalam bidang pertanian.

Antara jenis labu yang banyak ditanam petani di Malaysia ialah labu mas. Ada juga yang memanggilnya labu manis, ibu lemak, labu madu atau labu taiwan.

Keistimewaan labu mas ialah isinya lebih manis dan seratnya lebih halus berbanding jenis lain. Buah yang dihasilkan pula mempunyai berat sekata serta bentuk bulat dan berlekuk yang cantik. Malah, jenis ini juga mampu mengeluarkan lebih banyak hasil dan pokoknya tahan lasak.

Labu mas sesuai dijadikan pelbagai jenis masakan terutamanya kuih lepat labu kerana isinya yang manis selain mempunyai serat halus. Ia juga sesuai dibuat masak lemak cili padi.

Labu mas juga sesuai dibuat sira, serawa atau bubur labu. Untuk dimasak, boleh bersama kulit atau dibuang kulitknya.

Untuk mengetahui ketebalan isi labu, ketuk-ketuk belakang/ bawah labu dengan jari ala mengetuk pintu dan dengar bunyi. Kalau bunyi kuat, isi sedikit nipis. Kalau bunyi macam "tumpul", isi tebal. Satu lagi petua untuk mendapatkan isi tebal ialah pilih yang pusat tangkalnya besar.

No comments:

Post a Comment