Masa adalah kehidupan. Tanpa masa, hidup tidak bermakna. Tiada apa boleh
dilakukan tanpa masa. Oleh itu orang hidup perlu menggunakan masa sepenuhnya.
Sedangkan orang mati tidak memerlukan masa, kerana tidak ada apa boleh
dilakukan olehnya. Sebab itu, mumia yang diawet beribu-ribu tahun lalu ‘hidup’
lama, tetapi tidak dapat melakukan apa-apa.
Tugas kita akan berakhir sebaik tibanya masa ajal. Jadi, kita perlu
memanfaatkan sepenuhnya masa yang masih berbaki ini sebelum tertutup sepenuhnya
peluang yang diberikan. Jika masa ajal telah tiba ia tidak sedikitpun boleh
ditangguhkan lagi.
Firman-Nya yang bermaksud: “Dan bagi setiap umat ada tempoh masanya (yang
telah ditetapkan), maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan
walaupun sesaat, dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya.” (Surah
al-Araf, ayat 34).
Kita perlu memahami konsep masa. Jika kita bertangguh atau melewatkan sedetik, maka akibatnya sedetik
jugalah kita lewat dalam hal yang berkaitan. Diumpamakan seperti pengembara
perlu bertolak secepat mungkin jika ingin cepat sampai ke destinasi.
Daripada Ibnu Omar, sabda Rasulullah yang bermaksud: “Rasulullah memegang
bahuku sambil berkata dengan sabdanya bermaksud: Anggaplah dirimu di dunia ini
sebagai seorang pengembara. Jika kamu berada pada waktu petang, jangan tunggu
sampai pagi. Jika kamu pada waktu pagi, jangan tunggu sampai petang. Gunakan
peluang masa sihat sebelum sakit dan gunakan masa hidup sebelum tiba mati.”
(Hadis riwayat Bukhari).
No comments:
Post a Comment