Jumlah makanan yang perlu diambil hanya mengikut keperluan untuk meneruskan
kehidupan dalam keadaan sihat dan bertenaga. Setiap individu mempunyai pola
pemakanan yang berbeza bergantung kepada umur, jantina, jenis pekerjaan dan
keadaan kesihatan.
Tenaga dan kesihatan yang baik diperlukan untuk menjalani kehidupan yang
baik. Untuk mencapai kebaikan optimun, Islam menetapkan aturan makan secara
bersederhana. Orang mukmin makan apabila rasa lapar dan berhenti makan sebelum
rasa kenyang.
Menjaga perut daripada diisi dengan makanan mendatangkan mudarat adalah
cara penjagaan kesihatan paling berkesan. Individu berdisiplin menjaga makan
dan tidak gelojoh memakan apa saja diingini.
Konsep berpuasa atau menahan daripada mengambil makanan tertentu dijadikan
cara rawatan paling berkesan. Banyak cara rawatan penyakit bahaya adalah dengan
cara mengawal pengawalan makanan.
Amalan makan tidak mementingkan kesan kepada kesihatan menyebabkan banyak
penyakit berbahaya seperti kecing manis, darah tinggi, barah, lemah tenaga dan
masalah jantung. Pengidapnya terpaksa menahan diri daripada mengambil makanan
secara sesuka hati.
Adalah lebih baik mencegah daripada merawat. Hargai keadaan sihat yang
dinikmati sekarang. Jika sudah mengidap penyakit, biasanya patang larang adalah
berkaitan dengan pemakanan.
Paling penting, kita tidak mengambil makanan yang mendatangkan kesan buruk.
Jika kita telah mengenal pasti jenis makanan yang mendatangkan alahan kepada
diri, adalah ditegah kita daripada memakannya.
Kesan serta merta makan berlebihan ialah menyebabkan badan menjadi lemah.
Pada masa kekenyangan, rasa malas dan mengantuk akan menguasai diri. Fikiran
pula menjadi buntu dan ingin berehat berterusan.
Justeru, individu yang mementingkan produktiviti perlu mengawal makan.
Kuantiti dan jenis makanan yang dimakan perlu diberi perhatian bagi menjaga
kesihatan dan kecergasan fizikal dan mental. Dapatkan nasihat daripada pakar
pemakanan untuk mengetahui cara pemakanan baik.
Makan terlalu banyak memberi kesan tidak baik kepada sistem penghadaman
dalam badan. Makanan tidak diproses dengan sempurna dan menyebabkan penyerapan
zat dan pencernaan makanan tidak berlaku sepenuhnya. Itu satu kerugian kerana
tidak memperoleh zat yang sepatutnya.
Untuk memberi keselesaan dan kesempurnaan proses penghadaman makanan,
ketika makan hendaklah dilakukan dengan sabar dan perlahan-lahan. Makanan perlu
dikunyah dengan sempurna sebelum ditelan. Jangan makan terlalu banyak dan
gelojoh.
Makan melebihi apa yang diperlukan oleh badan menunjukkan sifat boros.
Islam menegah sifat boros kerana mendatangkan banyak keburukan. Kita menanggung
kerugian kewangan dan mengurangkan tahap kesihatan.
Jika peraturan berkaitan pemakanan ini dipatuhi, sudah pasti masalah
kegemukan dan penyakit berkaitan dengannya dapat diatasi. Kita bukan sahaja
tidak perlu menghabiskan banyak wang untuk membeli pil pelangsing, tetapi jimat
tidak perlu banyak membeli makanan yang tidak diperlukan.
Dapatkan badan yang langsing dan pada masa yang sama tahap kesihatan yang
baik. Jangan mudah terpengaruh dengan teori langsing yang disogokkan melalui
iklan pusat-pusat yang menawarkan program melangsingkan badan atau pil-pil
pelangsing badan.
Tidak ada cara mudah untuk langsing, melainkan disiplin diri yang
tinggi. Jaga
pemakanan dan tingkatkan kekerapan bersenam.
No comments:
Post a Comment