Tuesday, 19 February 2019

BILAKAH MASA KEMATIAN

Pernahkah kita terfikir bilakah kita akan mati? Ada orang mengatakan mengingati mati tanda keimanan. Manakala setengah yang lain pula berpendapat mengingati mati membawa sial. 

Apapun tanggapan kita mengenai mati, hakikatnya setiap daripada kita tetap akan mati, sama ada diingati atau dilupai. Firman Allah dalam surah al-Anbia ayat 34 bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.”

Dalam ayat lain pula Allah menjelaskan bahawa apabila tiba masa ajalnya, maka ia tidak dapat dipercepatkan atau diperlambatkan walau sesaat. 

Firman Allah bermaksud: “Dan bagi setiap umat ada tempoh masanya (yang telah ditetapkan), maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan walaupun sesaat, dan tidak pula mereka mempercepatkannya.” - (Surah al-Araf, ayat 34).  Hal yang sama dijelaskan dalam surah Yunus ayat 49.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.” - (Surah an-Nisa, ayat 78).

Malah Allah menjelaskan tiada siapapun mengetahui di manakah dia akan mati.  Maksud firman-Nya: “Dan tiada seorang pun yang tidak mengetahui di bumi (tempat) manakah dia akan mati.” - (Surah Luqman, ayat 34).

Setiap hari di sekeliling kita terdapat saudara, kawan, jiran dan sesiapa saja diketahui meninggal dunia secara tiba-tiba, selain disebabkan tua dan penyakit.  Jelas sekali kematian adalah sesuatu yang  pasti.  Justeru, wajar sekali kita bersedia untuk menghadapi saat kematian, terutama memikirkan mengenai bekalan untuk kehidupan di akhirat.

Sesungguhnya kehidupan manusia di dunia ini bukan sekadar makan dan minum, berkelamin serta melakukan sesuatu sesuka hati. Sebaliknya, manusia dicipta dan hidup di dunia ini untuk beribadat kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” - (Surah adz-Dzariyat, ayat 56).

Maka, dengan mengingati kematian, diharapkan menjadi motivasi untuk melipatgandakan ibadat dan amalan baik, dan pada masa yang sama menjauhkan perbuatan dosa dan keji. Malah, Rasulullah mengaitkan orang yang selalu mengingati mati adalah manusia yang cerdik. 

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa telah datang seorang lelaki kaum Ansar menemui Rasulullah, lalu bertanya: “Siapakah yang paling cerdik dan mulia wahai Rasulullah?”

Lantas baginda bersabda: “Secerdik-cerdik manusia ialah orang yang paling banyak mengingati mati serta yang gigih membuat persiapan menghadapi kematian itu. Merekalah orang yang paling cerdik. Mereka meninggalkan dunia dengan kemuliaan dan menuju akhirat dengan keagungan.” - (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abi Dunya).

Bagi golongan memiliki darjat iman yang tinggi, kematian adalah sesuatu yang mereka rindui dan nanti-nantikan. Kematian dianggap perjalanan menghampir diri kepada Maha Pencipta. Perjalanan hidup selepas kematian ialah persinggahan sementara di alam barzakh. 

Seharusnya kita sentiasa mengingati kematian bagi membolehkan kita muhasabah diri. Orang mengingati kematian tidak dilalaikan dengan pesona hidup yang mengheret diri ke jurang kebinasaan. 

No comments:

Post a Comment