Wednesday, 6 February 2019

TANGGUH TAUBAT HATI SEMAKIN KOTOR

Satu perkara sangat dilarang daripada ditangguhkan adalah melakukan taubat. Bertaubat dituntut dilakukan sepanjang masa bagi memastikan seluruh perjalanan hidup kita berada dalam keampunan dan keredaan Allah sepanjang masa. 

Sebenarnya taubat dilakukan bukan hanya untuk menghapuskan dosa. Orang beriman sentiasa melakukan tubat sebagai kerana sedar bahawa hidup ini perlu mendapat keampunan dan keredaan Allah sepanjang masa. 

Kita tidak sunyi daripada melakukan dosa, terutamanya dosa yang berlaku dalam lintasan hati. Ada-ada sahaja yang terlintas di dalam hati seperti perasaan tidak puas hati, dengki, marah dan sebagainya. Biarpun lintasan itu belum dizahirkan melalui perbuatan atau perkataan, namun sudah menjadi sebahagian 'dosa' yang perlu dibersihkan dengan bertaubat.  

Orang beriman merasa dirinya tenang apabila sentiasa memperbanyakan taubat yang juga dikira satu bentuk ibadat. Orang banyak bertaubat mendapat tempat terbaik di sisi Allah kerana sesungguhnya Allah amat suka kepada orang suka bertaubat.  

Kita tidak patut bertangguh untuk bertaubat biarpun ia boleh dilakukan sepanjang masa. Hal ini ditakuti nanti kita tidak sempat lagi bertaubat apabila ajal telah berada terlalu hampir. Ketika itu peluang bertaubat telah tertutup.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi nyawa belum sampai di halkum (yakni belum sakaratulmaut).” (Hadis riwayat Tirmizi).

Sesungguhnya, sikap bertangguh dalam apa hal sekalipun tidak mendatangkan kebaikan, melainkan bertangguh daripada melakukan perkara kemungkaran. Sesiapa yang  menangguhkan niat melakukan kemungkaran, pada dirinya sudah mendapat satu kebaikan.

Tindakan menangguh daripada melakukan kemungkaran adalah satu kejayaan besar kerana mampu menyaingi godaan syaitan yang sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan manusia. Kejayaan menangguh atau mengelak diri daripada melakukan dosa adalah sebahagian keberkesanan taubat yang sentisa dilakukan biarpun belum melakukan dosa. 

Sesungguhnya syaitan amat sukar mendekati orang yang banyak bertaubat kerana taubat boleh diumpama seperti antibodi yang mencegah pengaruh syaitan daripada mendekati diri kita.  

Kita perlu sentiasa beringat agar tidak tertipu dengan pujukan syaitan yang berusaha mempengaruhi anak Adam agar membuat kemungkaran. 

Syaitan akan muncul dari berbagai-bagai sudut yang diketahui satu kelemahan yang terdapat pada diri seseorang. Memang sukar untuk kita mengenal pasti sesuatu itu satu hasutan syaitan kerana kehadirannya bukan dalam bentuk fizikal yang boleh dilihat.

Bagi mengelak tipu daya syaitan hendaklah kita memperbanyakkan beristighfar. Sesungguhnya ucapan kalimah ‘astaghfirullah’ dapat menjauhkan diri daripada dipengaruhi syaitan. 

Kalimah istighfar itu bukan saja tanda memohon keampunan Allah selepas melakukan dosa, malah ia juga wajar diucapkan sebagai peringatan agar tidak melakukan kemungkaran. Dengan mengucap ‘astaghfirullah’ dapat menyucikan hati. 

Allah mengingatkan agar manusia tidak terpedaya dengan hasutan syaitan. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu,  maka itu musuhilah dia, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongan yang terpedaya agar sama-sama menjadi penghuni neraka.” (Surah Fathir, ayat 6).

Sebenarnya peluang yang diberikan kepada kita untuk melakukan sesuatu perkara tidak terbuka sepanjang masa. Kadangkala adanya halangan masa, kekuatan, kesihatan, kewangan dan sebagainya. Justeru itu, jika ada peluang untuk melakukan sesuatu kebaikan, janganlah ditangguh-tangguhkan lagi.

Kita bukan sahaja perlu merebut peluang melakukan sesuatu kebaikan dengan secepat mungkin, tetapi juga perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh. 

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 148 bermaksud: “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.”

Ketika peluang hidup ini masih berjalan, janganlah kita mengamalkan sifat bertangguh melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi. Tugas itu yang diistilahkan sebagai mengabdikan dan beribadat kepada-Nya, yakni melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah. 

Sesungguhnya peluang hidup ini sebenarnya adalah satu medan ujian untuk menguji sejauh mana kepatuhan kepada-Nya. Mudah-mudahan kita tidak bertangguh lagi untuk melakukan amalan kebaikan yang menjadi bekalan hidup di akhirat.

No comments:

Post a Comment