Tuesday 26 March 2019

MAJLIS PERKAHWINAN IKUT KEMAMPUAN


Hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya. Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.

Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki.

Amalan budaya itu adalah harus atau dibolehkan. Namun, perlu dipastikan tiada berlaku pembaziran dan sikap ingin bermegah.

Hendaklah majlis perkahwinan itu dilakukan secara sederhana mengikut kemampuan dirinya sendiri, sama ada di sebelah pengantin lelaki mahupun perempuan.

Inilah hikmah dari arahan Nabi SAW kepada Abd al-Rahman bin Auf di atas bahawa biarlah diadakan walimah, sekalipun dengan seekor kambing.

Dinasihatkan kepada ibubapa kepada bakal-bakal pengantin supaya sentiasalah mempermudahkan urusan anak-anak dalam mengadakan majlis perkahwinan supaya mereka dapat melayari bahtera perkahwinan dengan sebaiknya.

Disebabkan ingin mengadakan majlis perkahwinan yang besar, banyak perkahwinan tertangguh atau pihak pengantin lelaki terpaksa berhutang.

Sesungguhnya keberkatan dan kebahagiaan dalam perkahwinan bukan ditentukan oleh besar atau kecil majlis perkahwinan dilangsungkan.  

Perbuatan membazir ditegah oleh agama.

No comments:

Post a Comment