Tuesday, 19 March 2019

TIADA SEBAB BOLEH MENCARUT

Perkataan mencarut memang amat hina. Sesiapa mengucapkan perkataan hina melambangkan kehinaan dirinya. Apapun alasan, perkataan mencarut tidak patut diucapkan, melainkan sebagai bukti di mahkamah yang mana perkataan itu terpaksa diucapkan untuk mencari keadilan.

Perkataan mencarut biasanya penuh dengan unsur fitnah dan dusta. Perkataan fitnah dan dusta memang mudah diucapkan dengan perkataan mencarut tanpa segan silu dan berfikir panjang. Mereka yang mengucapkan perkataan mencarut dan fitnah dikuasai fikiran oleh syaitan.

Syaitan memang bermaksud agar perkataan mencarut dan fitnah diucapkan oleh mereka yang menyokong perjuangan syaitan. Melalui perbuatan itu mudahlah syaitan melaga-lagakan umat manusia agar sentiasa bermusuh-musuhan dan melakukan khianat di muka bumi.

Sesungguhnya, kejayaan syaitan merosakkan hidup anak cucu Adam banyak bergantung kepada ‘pertolongan’ manusia sendiri yang ingkar kepada perintah dan amaran Allah. Sesiapa yang di dalam dirinya mempunyai sifat-sifat syaitan, maka bersaksilah bahawa merekalah akan menjadi teman syaitan di neraka jahanan.

Di antara perbuatan yang menyokong perjuangan syaitan ialah membuat fitnah. Justeru, membuat fitnah amat besar dosanya. Allah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah bermaksud: “Fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan.” (Surah al-Baqarah, ayat 217).

Malah, perkataan buruk bukan saja dilarang dilakukan secara terang-terang. Ia tetap dilarang dilakukan biarpun secara bersembunyi atau berbisik-bisik. Berbisik-bisik bermaksud dilakukan dengan niat jahat untuk menyebarkan khabar angin dan fitnah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, apabila kami berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan dehaka kepada Rasulullah. Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, yang kepada-Nya kamu kelak bakal dihimpunkan.” (Surah al-Mujaadalah, ayat 9).

Ironisnya, tidak ada sebarang keharusan disebut dalam mana-mana ayat al-Quran dan hadis mengenai perkataan buruk. Justeru, jika ada pihak mengatakan perkataan buruk boleh digunakan sebagai memenuhi naluri manusia, maka itu bertentangan dengan kehendak agama.

Natijah daripada pandangan dangkal itu, maka ramai mengambil kesempatan menggunakan perkataan buruk dalam mencapai matlamat perjuangan mereka. 

Ramai di kalangan masyarakat sekarang begitu berbangga menaburkan kata-kata buruk di khalayak ramai. Mereka bermegah dan mendabik dada memperkataan berbentuk mencarut, dendam, bongkak, menghina dan sebagainya.

Perbuatan sedemikian sebenarnya bukan hanya mendatangkan keburukan kepada orang yang ditujukan perkataan, tetapi juga akan berbalik kepada diri sendiri. Orang berakal akan melihat betapa hinanya peribadi mereka yang suka mencaci dan mencarut. Keburukan dan kehinaan itu akan kembali kepada diri penutur perkataan itu sendiri.

Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci.” (Surah al-Humazah, ayat 1).

Setiap orang perlu mempunyai perasaan tidak suka kepada perkataan tidak baik sama ada mengucapnya atau mendengarnya. Mereka yang mengucap dan mendengar sama mendapat dosa jika kedua-duanya dalam keadaan suka kepada perkataan itu.

Dalam konteks mendidik anak, elak sama sekali mengucapkan perkataan mencarut dan memperkatakan yang tidak baik di hadapan anak-anak. Ini kerana jika didengar oleh kanak-kanak perkataan-perkataan itu akan mendorong kanak-kanak juga turut mengikutinya.

Jika perkara ini dilakukan berulang-ulang, maka ia akan menjadi satu kebiasaan dan seterusnya menanam akhlak buruk ke dalam diri kanak-kanak. Kanak-kanak memang mudah meniru apa yang disebut dan dikatakan oleh orang dewasa.

Sekiranya perkataan ini berlaku kepada siapakah harus dipersalahkan. Sekarang ini ramai remaja tanpa segan silu bercakap perkara-perkara buruk. Ibu bapa dan orang tua diherdik dengan perkataan-perkataan yang tidak sedap didengar.

Semua ini berpunca daripada sikap orang dewasa yang tidak memandang berat soal percakapan kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengikut dan menyebut perkataan mencarut dianggap satu hiburan dan lawak. Ibu bapa tidak sedar akibat sikap itu kesan buruknya ditanggung oleh ibu bapa sendiri.

Kita tidak mahu pada suatu hari nanti masyarakat kita dipenuhi dengan mereka yang suka mencarut dan mengeluarkan kata-kata tidak baik. Budi bahasa itu menunjukkan bangsa. Bangsa Melayu penuh dengan sopan santun dan berbudi bahasa.

No comments:

Post a Comment