Wednesday, 20 March 2019

PERKARA DITEGAH BERKAITAN BERPAKAIAN


Pada asasnya semua fesyen pakaian harus atau dibolehkan, yang mendedahkan aurat. Namun, dalam perkara yang dibolehkan itu, ada batasan atau perkara yang perlu dipatuhi.

Perkara yang ditegah dalam agama adalah membazir atau berlebih-lebihan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Al-Maraghi menyatakan Allah SWT menghendaki manusia bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah dan tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas.

Bahkan Allah SWT menghukum mereka atas sikap berlebih-lebihan ini sesuai dengan bahaya dan kerosakan yang mereka timbulkan. Ini kerana, mereka telah melanggar sunnah-sunnah fitrah dan berbuat jahat terhadap diri mereka sendiri serta harta mereka. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 4/2174)

Demikian juga hadis berkaitan larangan terhadap pembaziran dalam berpakaian sehingga mendatangkan fitnah terhadap agama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Makanlah, bersedekah dan pakailah tanpa membazir dan bermegah-megah.” (Hadis riwayat al-Nasaei (2559)

Juga ditegah melakukan sesuatu dengan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Definisi menunjuk-nunjuk menurut Lisan al-Arab adalah: “Menzahirkan sesuatu yang dengan kesombongan sehingga dilihat oleh manusia.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Surah al-Hadid, ayat: 23)

Untuk mengelakkan setiap muslim menjauh diri daripada tuduhan sombong diri, maka Nabi SAW melarang daripada memakai pakaian yang menagih kemasyuran kerana manusia yang memakainya akan merasa bangga diri dan berlagak angkuh.

Tersebut di dalam hadis yang bermaksud: “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Ibn Majah (3606)

Ibn Qayyim dalam ‘Aun al-Ma’bud menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan kepada pemakaian satu baju yang ketara perbezaannya dengan manusia lain dari sudut warnanya  atau bentuknya yang mampu untuk mengalih pandangan manusia lain untuk melihat kearahnya sehingga menimbulkan perasaan ujub, takbur dan bermegah-megah dalam diri pemakai. (Rujuk Kitab ‘Aun al-Ma’bud,11/50)

Memakai pakaian yang menyalahi adat kebiasaan orang ramai adalah makruh kerana ia membawa kepada menunjuk-nunjuk dan juga umpatan orang lain.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada dua perkara yang menunjuk-nunjuk. Maka dia bertanya : Wahai Rasulullah, apakah dia dua perkara yang menunjuk-nunjuk?

Rasulullah bersabda: “Pakaian terlalu halus atau terlalu kasar, pakaian terlalu panjang atau terlalu pendek yang terlalu lembut dan terlalu kasar dan yang terlalu panjang dan terlalu pendek tetapi sederhana di antara kedua-duanya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi (3/273). Hadis ini dihukum munqati’.

Nabi SAW juga melarang umatnya daripada sifat menunjuk-nunjuk dalam berpakaian. Hal ini kerana, sikap tersebut akan mendatangkan fitnah tidak hanya kepada pemakai malah turut kepada agama Islam.

Demikian juga hadis berkaitan larangan menunjuk-nunjuk dalam berpakaian sehingga mendatangkan fitnah terhadap agama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Makanlah, bersedekah dan pakailah tanpa membazir dan bermegah-megah.” (Riwayat al-Nasaei (2559)

Pemakaian kostum atau perhiasan yang tidak perlu boleh jadi sama ada  membawa kepada pembaziran harta, masa atau sebaliknya. Maka ia adalah membuang masa dan tidak bermanfaat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Di antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat” (Riwayat al-Tirmizi (2317)

Prinsip kehidupan umat Islam adalah meninggalkan sesuatu perkara yang dirasa tidak penting dalam kehidupan mereka. Ini kerana, perkara tersebut tidak akan mendatangkan apa-apa faedah dalam kehidupan umat Islam.

Menurut Imam al-Tabari: “Sesungguhnya menjaga diri untuk berpakaian yang sesuai dengan penduduk zamannya adalah termasuk dalam memelihara maruah selagi bukan perbuatan dosa. Dan dalam berbeza pakaian (kebiasaan) dengan mereka, terdapat bentuk menunjuk-nunjuk.” (Rujuk Fath al-Bari, 10/306)

No comments:

Post a Comment