Saturday 9 March 2019

FAKTA MENGENAI POKOK KABUNG

Pokok kabung sejenis pokok palma. Pokok kabung juga dipanggil pokok enau, pokok aren dan pokok kantau (kantor). Pokok kabung tumbuh di kawasan lembah mahupun hutan di bukit.  

Pokok kabung agak pelik berbanding jenis palma lain. Pokok kabung semakin ia meninggi dan matang, tandan bunga dan buahnya pula tumbuh kian merendah di bahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.

Malah dikatakan bahawa apabila tandan yang tumbuh di batang itu sudah hampir ke tanah itu menandakan bahawa pokok kabung berkenaan sudah tua dan akan mati.

Ini berbeza dengan pokok daripada spesies palma yang lain seperti pokok kelapa yang tandan bunga dan buahnya akan tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggian pokok berkenaan.

Pokok kabung mengeluarkan hasil buah yang boleh diproses untuk menghasilkan isi buah kabung. Isi buah kabung digunakan sebagai campuran dalam minuman, cendol, ABC dan sebagainya.

Satu lagi hasil dari pokok kabung ialah nira atau tuak. Nira pokok kabung sama seperti hasil nira pokok palma lain, bezanyanya hanya dari segi rasa. Yang dikatakan sama ialah nira pokok kabung boleh dijadikan minuman segar, diproses menjadi gula kabung dan cuka kabung.

Nira dihasilkan pokok kabung di kawasan tanah kering dikatakan lebih berkualiti berbanding pokok kabung di kawasan lembah atau tepi sungai.

Pokok kabung kini sudah ditanam secara ladang untuk mendapatkan buah dan nira dalam kuantiti yang lebih banyak.


No comments:

Post a Comment