Friday, 1 March 2019

TABAH HADAPI MUSIBAH


Kita tidak dapat lari sepenuhnya daripada menghadapi musibah atau kecelakaan. Namun, sebesar mana musibah menimpa perlu dihadapi dengan tabah. Anggaplah musibah menimpa sebagai peluang memperbaiki kehidupan. Ada sinar harapan menanti bagi orang sabar. 

Jika tidak tertahan menanggung penderitaan, diharuskan memohon doa kepada Allah agar segera dimatikan jika itu mendatangkan kebaikan. Namun, didahulukan doa agar dapat meneruskan hidup. Dengan kata lain, bukan kematian diutamakan ketika berdoa, sebaliknya kehidupan lebih baik diharapkan kepada Allah.  

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana menimpanya. Kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah dia memohon dengan berkata: "Ya Tuhanku, hidupkan aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Musibah diturunkan melibatkan banyak orang seperti wabak penyakit dan bencana seperti banjir, kemarau, gempa bumi dan ribut satu ujian perlu ditanggung semua orang berada di kawasan berkenaan. Musibah ditanggung semua orang tanpa mengira tahap keimanan dan ketakwaan.  

Dalam hal ini, musibah itu perlu diusahakan bersama mengatasinya. Mungkin ia berpunca tindakan seseorang atau segelintir saja, tetapi kesannya ditanggung semua. Sebab itu, sebarang tindakan buruk perlu dihalang agar tidak melibatkan orang lain.  

Namun, jika berlaku musibah, terimalah satu dugaan bersama. Tentunya ada kebaikan di sebalik musibah itu. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan Tirmizi bermaksud: “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah.”

Dalam sabda lain Rasulullah SAW menjelaskan bermaksud: “Demi zat yang diriku ada di tangan-Nya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim).

Setiap musibah menimpa perlu diusahakan mengatasinya. Anggapan bahawa musibah cubaan daripada Allah dan berserah kepada takdir semata-mata satu fahaman salah. Berusaha mengubah apa ditakdirkan Allah bukan bermakna melawan kekuasaan-Nya.  

Sesungguhnya usaha dilakukan untuk kebaikan akan mendapat balasan Allah.  Muslim yang yakin kekuasaan Allah, tidak ada apa mustahil bagi-Nya. Banyak ‘keajaiban’ Allah kurniakan kepada mereka yang tidak mudah menyerah kalah dalam perjuangan hidup.  

Firman Allah bermaksud: “Apa saja nikmat yang kamu peroleh ialah daripada Allah dan apa saja bencana yang menimpa kamu, maka daripada (kesalahan) diri kamu sendiri.” (Surah an-Nisa, ayat 79)

Sesungguhnya dengan keyakinan, keimanan, ketakwaan, iltizam, istiqamah dan keinsafan dapat menghadapi sebarang musibah menimpa diri sendiri, orang tersayang, keluarga dan negara dengan perasaan tenang dan berserah kepada-Nya.

No comments:

Post a Comment