Friday, 7 June 2019

KEMERIAHAN HARI RAYA DIRASAI SEBULAN


Dahulu sambutan Aidilfitri hanya dua tiga hari saja. Keadaan berubah dengan perubahan cara hidup dan kemudahan yang dimiliki. 

Ramai tidak dapat beraya dengan jiran tempat mereka tinggal dan mencari rezeki kerana pulang berhari raya di kampung. Jadi, apabila habis cuti baru boleh berhari raya dengan jiran, teman sekerja seperti di pejabat dan institusi-institusi yang lain. 

Apabila mereka pulang mereka ucap mengucap selamat hariraya dan menukar juadah atau membawa makan bersama terutama seperti di pejabat dan di tempat kerja.

Bagi penduduk di taman perumahan dan Bandar mereka mengadakan pertemuan hari raya seperti di masjid, surau, di balai komuniti, balai raya, padang atau di bangunan-bangunan tertentu. 

Oleh kerana banyak majlis ingin diadakan, maka perlu ada pemilihan hari agar tidak bertindih dengan jiran atau rakan rapat. Kerana sudah hari kerja, hari hujung minggu jadi pilihan.

Sepanjang Syawal, hari hujung minggu dan hari cuti menjadi seperti 1 Syawal. Mading-masing menerima banyak undangan rumah terbuka sehingga tidak mampu dipenuhi sepenuhnya.

Namun, bagi pejabat-pejabat dan institusi-institusi keperluan bagi mengadakan hari raya membawa kepada pemilihan hari bagi sambutan iaitu pada hari-hari kerja, maka jadilah seluruh hari daripada bulan Syawal itu menjadi pilihan bagi mengadakan sambutan hari raya.

Hari raya dilihat sebagai hari menyambung silatur-rahim, bergembira dan bermaaf-maafan, sebab itu jemputan yang dibuat ialah terhadap berbagai-bagai lapisan masyarakat.

Hasil dari budaya raya sebulan melibatkan penyediaan makanan bagi satu-satu tempat sambutan. Maka dilihat juadah makanan tidak lagi sama dan biasa. Penyediaan mereka yang datang dari berbagai-bagai negeri, maka terhasil juadah dan makanan yang disediakan berpelbagaian. 

Juadah-juadah utama seperti ketupat, lemang, nasi impit, nasi beriani, laksa yang berbagai jenis laksa, sate, nasi dagang, putu mayang, soto, mei, begitu juga dengan kuih berbagai jenis kuih.

Pendek kata hari raya menampilkan juga budaya keunikan berbagai juadah yang disediakan. Keceriaan juga dilihat dari berbagai pakaian yang disukai. Bagi lelaki berpakaian baju Melayu, bagi perempuan berbaju kurung atau kebaya bertudung dan bagi anak-anak lebih berpelbagaian.

Akibat dari ziarah menziarahi, maka pada hujung-hujung minggu bagi bulan Syawal jalanraya penuh sesak dengan kenderaan yang antara satu sama lain ziarah menziarahi dengan pakaian raya berwarna warni dan menarik pandangan.

Pada satu peringkat sambutan hari raya berlaku di kalangan orang Islam sahaja, tetapi jemputan juga dibuat terhadap yang bukan Islam dan mereka turut berziarah hari raya atau mereka dijemput sama.

No comments:

Post a Comment