Ketika menyambut Aidilfitri bermula masuk Maghrib malam raya
sehingga sebelum sembahyang sunat Aidilfitri, kita digalakkan bertakbir.
Manakala, waktu takbir untuk Aidiladha pula bermula masuk Maghirb
malam raya sehinggalah sebelum masuk Maghrib 13 Zulhijjah.
Takbir atau bertakbir adalah untuk menandakan kejayaan. Waktu
untuk bergembira dan rasa 'bangga' dapat melaksanakan ibadat puasa mahupun
ibadat haji serta korban pada sambutan Aidiladha.
Namun, peliknya orang Melayu atau umat Islam di Nusantara, alunan
suara orang bertakbir boleh membuat mereka sedih. Apa yang paling pelik ialah
walaupun takbir itu dialunkan di corong-corong radio atau dipaparkan di kaca
televisyen, ia boleh mengusik perasaan mereka!
Kalau ditanya apa yang buat mereka sedih, mereka akan beritahu,
suara dan lagu yang dibawakan yang membuat mereka sedih.
Bukan makna kalimat yang membuat mereka sedih, tetapi kelunakan
suara dan alunan lagu takbir itu yang membuat mereka sedih. Walhal, kalau kita
amati makna takbir Aidilfitri itu ia langsung tidak menunjukan kesedihan.
Sebaliknya, ia adalah kalimah-kalimah yang memuji kebesaran dan
keagungan Allah dan menolak kekufuran dan akhlak jahat. Tidak ada satu pun
kalimat atau bait yang mengajak kita bersedih.
Orang Timur Tengah kehairanan apabila melihat orang Melayu
melagukan takbir Aidilfitri dan menangis.
Di Timur Tengah, takbir Aidilfitri dibaca beramai-ramai dengan
suara yang tegas yang menjunjukkan kekuatan umat Islam dan pada masa yang sama
memuji dan membesarkan Allah. Tetapi kita di sini menangis sedih kerana alunan
lagunya.
Sebenarnya, lagu yang dibawakan itu adalah salah satu kaedah
tarannum yang dipanggil Jiharkah. Memanglah, kalau kita baca Quran, kita
bawakan lagu Jiharkah.
Iramanya sedih dan lunak, apatah lagi kalau kena pada ayat-ayat
yang sesuai dengan alunan irama tersebut.
Tetapi kalau irama itu dibawakan dalam takbir Aidilfitri mahupun
Aidiladha, ia menjadikan takbir itu lemah gemalai sehingga menimbulkan rasa
sedih.
Paling sedih bagi perantau yang tidak pulang berhari raya di
kampung bersama ibu bapa dan keluarga. Takbir menjadikan perantau amat-amat
sedih sehingga ada yang tidak mahu mendengarnya.
Peliknya, orang Melayu ini, jika ada individu yang ingin melagukan
takbir dengan suara tegas, mereka membantah dengan alasan ia tidak mendatangkan
rasa sedih. Tiada rasa keinsafan dan ketenangan.
Maka dapat dirumuskan, orang Melayu suka kepada yang sedih. Sebab
itu, bila bermaaf-maafan pun pasti ada yang mengeluarkan air mata.
Kerana ingin rasa sedih, takbir dilagukan oleh anggota tentera yang
kebiasannya bersuara lantang juga akan bertukar menjadi sayu dan sedih.
Alahai Melayu yang suka bersedih...
No comments:
Post a Comment