Tuesday 4 June 2019

WAKTU MULA DAN AKHIR SEMBAHYANG MAGHRIB


Penentuan waktu sembahyang lima waktu sehari semalam adalah berdasarkan kepada pergerakan bumi mengelilingi matahari yang ditentukan dengan 'tanda' atau 'kejadian'.

Waktu Maghrib bermula apabila terbenam matahari di ufuk barat. Terbenam matahari bermaksud tidak nampak lagi matahari. Terbenam matahari juga dikira tempoh akhir berpuasa, yakni boleh berbuka.

Tempoh waktu sembahyang Maghrib pula sehingga hilangnya mega merah (warna merah) di ufuk barat.  

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Waktu maghrib ialah selagi tidak hilang syafaq (mega merah)”. (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain pula disebut: “Waktu Maghrib ialah apabila terbenam matahari selagi tidak jatuh mega merah”. (Hadis Riwayat Muslim).

Memang ada pendapat mengatakan waktu Maghrib luput lebih awal, iaitu waktu maghrib ialah setakat waktu untuk bersuci, bersedia, dan solat termasuk qabliyyah dan baadiyyah. Selepas itu, habis waktunya walaupun belum masuk waktu Isyak.

Inilah pendapat sebenar Imam Syafie dalam qaul jadidnya. Tetapi pendapat ini ditinggalkan oleh muhaqqiqeen mazhab kerana bersalahan dengan hadis-hadis sahih.

Kata Nawawi: Apabila diketahui hadis-hadis sahih, maka wajiblah berpegang pendapat ini secara pasti. Tambahan, kaedah Imam Syafie menyebut: Apabila sahih sesuatu hadis, maka itulah mazhabku. Majmuk 3/30.

No comments:

Post a Comment