Tuesday 4 June 2019

BEZA MATAHARI JATUH DENGAN TERBENAM

Ramai antara kita keliru atau tidak tahu perbezaan antara matahari jatuh dengan matahari terbenam. Sebagai orang Islam, kita patut tahu perbezaannya kerana ia melibatkan perkara ibadat.

Salah satu ibadat berkaitan matahari jatuh dan matahari terbenam ialah berkenaan wajib zakat fitrah. Antara individu yang wajib dibayarkan zakat fitrah ialah anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

Waktu matahari terbenam memang ada tercatat dalam takwin waktu sembahyang iaitu masa masuk waktu sembahyang Maghrib. Tetapi, tidak ada 'jadual' mengenai masa matahari jatuh disediakan.

Sebelum itu, elok kita fahamkan dahulu apa yang dimaksudkan matahari jatuh dan matahari terbenam.

Matahari jatuh ialah 'bahagian' bawah matahari mula mencecah atau menyentuh ufuk barat. Manakala matahari terbenam ialah apabila seluruh bahagian matahari tidak lagi kelihatan di ufuk barat.

Tempoh masa antara matahari jatuh dengan terbenam sepenuhnya berbeza mengikut tempat. Namun, untuk kiraan mudah di Malaysia ialah masanya kira-kira 10 minit.

Kembali kepada persoalan " anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari" boleh dijelaskan begini.

Katakan, pada 29 atau 30 Ramadan (sehari sebelum 1 Syawal) waktu terbenam matahari atau masuk waktu berbuka ialah 7.30 petang. Jadi, waktu jatuh matahari ialah pukul 7.20 petang (berdasarkan kiraan 10 minit sebelum matahari terbenam).

Maka, bayi yang dilahirkan pada pukul 7.19 petang dan sebelumnya, dan masih hidup pada pukul 7.31 malam atau seterusnya, maka wajiblah ibu bapa atau wali kepada bayi itu membayar zakat bagi pihaknya.

Manakala individu yang meninggal pada pukul 7.31 malam, yakni selepas waktu matahari terbenam, maka juga wajib dibayarkan zakat fitrah untuknya (jika belum dibayar lagi).

No comments:

Post a Comment