Saturday, 13 May 2023

AK 31 – PENDUDUK GALI TELAGA TIUB DAPATKAN AIR

 
Masalah bekalan air bersih di Kelantan memang diketahui umum. Syarikat pengendali membekalkan air bersih kepada penduduk Kelantan, Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) gagal untuk memenuhi permintaan air bersih yang meningkat setiap tahun disebabkan pertambahan pengguna domestik dan perindustrian.
 
Disebabkan tidak yakin dengan keupayaan AKSB membekalkan air bersih, banyak penduduk mengambil usaha untuk membina sendiri telaga sama ada telaga tradisional atau telaga tiub.
 
Akhbar melaporkan, lebih 80 peratus daripada 2,000 penduduk sekitar Kampung Limbat, Kota Bharu mengambil keputusan menggali telaga tiub berikutan ketiadaan bekalan air bersih daripada AKSB sejak beberapa bulan lepas.
 
Alternatif itu diambil sebagai usaha terakhir mereka untuk mendapatkan air walaupun perlu mengeluarkan belanja hingga lebih RM2,000.
 
Penduduk di kawasan kampung masih memilih membina telaga tradisional, sedangkan penduduk di kawasan bandar atau taman perumahan lebih banyak memilih membina telaga tiub.
 
Telaga tiub menjadi pilihan kerana ia mudah dibina di mana-mana kawasan biarpun di kawasan sempit atau di mana-mana sudut di kawasan berhampiran rumah. Malah ada yang dibina kurang sekaki dari dinding rumah.
 
Telaga tiub dibina dengan “menggerudi” seperti proses cari gali minyak. Lubang dibina dan kemudian dimasukkan paip PVC yang berukuran garis pusat kira-kira 10 sehingga 15 centimeter.
 
PVC tersebut sebagai telaga yang kemudian akan dimasukkan pula paip kecil yang digunakan untuk menyedut air menggunakan pam.
 
Telaga tiub digerudi sehingga 10 hingga 30 meter dalam untuk sampai ke kawasan mempunyai air. Kedalaman bergantung kepada takat air di sesuatu kawasan.
 
Untuk mencapai takat air biasanya tidak berdepan masalah. Namun, tidak semua telaga tiub dapat membekalkan air bersih. Banyak telaga tiub dibina tidak dapat digunakan kerana airnya berkarat dan berbau.

No comments:

Post a Comment